OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Sebagai perkataan yang baru tular, memang sepatutnya "Avatar" dipertikaikan. Perkara ini normal dan menunjukkan kita masih mempunyai sensitiviti terhadap benda asing yang baru masuk ke dalam masyarakat. Bahkan, sebahagian perkataan kekal dimakruhkan - mengikut sebahagian ulama - kerana kaitannya dengan maksud yang tidak elok, seperti 'aqiqah (akikah) disebabkan kaitannya dengan 'uquq iaitu penderhakaan.
Sungguhpun begitu, masalah etimologi ini boleh dipertimbangkan kerana perkataan asing lambat laun akan diterima juga dengan makna baharu yang tidak lagi dikaitkan dengan makna asal yang bercanggah dengan syariat. Ia sama seperti banyak perkara yang ditolak atas alasan tasyabbuh sebelum unsur-unsur penyerupaan itu hilang dan diterima umum umat Islam.
Cuma, isu yang lebih besar ialah isu melukis makhluk bernyawa, kerana ini sabit dalam banyak hadis yang sahih. Memang ada banyak pendapat tentang perkara ini dan ramai ulama yang membenarkan melukis gambar manusia yang tidak lengkap, tetapi saya lihat hukum-hakam ini tidak dipedulikan langsung oleh masyarakat kita, seolah-olah hukum haram sudah dimansuhkan sama sekali.
Kemudian, fenomena berlumba-lumba mengikut trend ini perlu difikirkan juga. Entah datang daripada mana dan apa faedahnya, tetapi seorang buat, semua buat. Kalau sebelum ini trend ramalan, kemudian trend mengubah rupa menjadi jantina lain, kini Avatar pula.
Selain kerana hukum menggambar makhluk hidup dan trend, saya tiada apa-apa masalah dengan fenomena ini. Tetapi, kita wajar bertanya kepada diri sendiri, tidak adakah trend yang lebih baik untuk dituruti?
Comments
Post a Comment