Hari Kebangsaan Dihukum Dengan Hari Kelahiran?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

"Hari jadi sendiri sambut, hari kelahiran Nabi bidaah." "Hari kebangsaan sambut, hari maulid Nabi bidaah." Hujah ini boleh dipertimbangkan jika ditujukan kepada orang yang sambut hari jadi sendiri dan hari kebangsaan.

Akan tetapi, yang membidaahkan sambutan maulid asalnya mengingkari juga sambutan hari lahir orang lain, termasuk raja. (Itu pegangan saya. Saya tidak menyambut hari lahir sesiapa, hatta hari lahir ibu, isteri, mahupun diri sendiri. Bukan kerana bidaah, tetapi kerana tashabbuh, dan kalau ia semata-mata adat sekalipun, adat boleh diterima dan boleh juga ditolak.)

Untuk makluman, sambutan hari lahir dan hari kebangsaan dibidaahkan oleh ulama besar Saudi. Amalan kerajaan Arab Saudi tidak boleh dikaitkan dengan ulama mereka, kerana banyak yang dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi bercanggah dengan fatwa ulama-ulama mereka sendiri.

 Kata Syeikh 'Abd al-'Aziz b. Baz rahimahullah:

حفلات الميلاد من البدع التي بينها أهل العلم... فالاحتفالات بميلاد النبي ﷺ أو بميلاد الصديق أو عمر أو عثمان أو علي أو الحسن أو الحسين أو فاطمة أو البدوي أو الشيخ: عبد القادر الجيلاني ، أو فلان أو فلان كل ذلك لا أصل له، كله منكر كله منهي عنه...

"Majlis-majlis hari lahir termasuk daripada bidaah yang dijelaskan oleh ahli ilmu... Oleh itu, sambutan hari lahir Nabi - salla Allah 'alay-hi wa-sallam -, atau (Abu Bakr) al-Siddiq, 'Umar, 'Uthman, 'Ali, al-Hasan, al-Husayn, Fatimah, al-Badawi, Syeikh 'Abd al-Qadir al-Jaylani, polan, atau si polan semua itu tiada asalnya. Semuanya mungkar. Semuanya dilarang."

Katanya lagi:

العيد الوطني بدعة، العيد الوطني بدعة...

"Hari kebangsaan bidaah. Hari kebangsaan bidaah."

Memang ada yang membidaahkan maulid membolehkan meraikan hari kebangsaan, tetapi itu atas dasar hari kebangsaan sama seperti hari bersama pelanggan, hari sukan negara, dan sebagainya. (Saya, secara peribadinya, dulunya berpegangan begitu, namun kini saya bertawaqquf dalam masalah ini.)

Kaji dan fahamilah dahulu pendapat orang lain sebelum membantahnya, kerana bimbang hujah yang dikemukakan tidak relevan dan memalukan diri sendiri.


[Gerakan PENA Malaysia]



Comments