Penyembah Matahari Memeluk Islam Kerana Mendengar Bacaan Al-Quran

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


Al Hafiz Abdul Ghaniy Al Maqdisi (w. 600 h.) berkata :

أضافني رجل بأصبهان، فلما قمنا إِلَى الصلاة، كَانَ هناك رجل لَمْ يصل، فقيل: هُوَ شمسي - يَعْنِي: يعبد الشَّمْس - فضاق صدري،

Maksudnya : Aku menjadi tetamu kepada seorang lelaki di Asbahan. Sebaik sahaja kami ingin mendirikan solat, terdapat di sana seorang lelaki yang tidak solat. Lalu dikatakan bahawa lelaki itu merupakan seorang syamsi - iaitu : Dia menyembah matahari. Maka jiwaku pun berasa sempit.

Kemudian ketika sampai waktu malam, aku pun mendirikan solat, dan penyembah matahari itu mendengar bacaanku. Selang beberapa hari, lelaki penyembah matahari itu pun datang kepada tuan rumah tempat aku bertamu.

Tuan rumah memberitahu : Lelaki penyembah matahari ini hendak memeluk Islam. Maka aku pun pergi ke arahnya dan dia pun memeluk agama Islam. Lalu dia berkata :

 من تلك الليلة لما سمعتك تقرأ الْقُرْآن، وقع الإِسْلام فِي قلبي.

Maksudnya : Semenjak dari malam itu, ketika aku mendengar kamu membaca Al-Quran, Islam telah mula terpaut di dalam hatiku.

Rujuk Zayl Tabaqāt Al-Hanabilah, Abu Al-Faraj Ibn Rajab Al-Hanbali (3/16)

Saya katakan, inilah rahmat Allah S.W.T yang Allah nyatakan dalam firman-Nya :

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya : Dan apabila dibacakan Al-Quran, hendaklah kamu mendengarnya dengan teliti dan diamlah kamu, mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.

Surah Al-A’rāf (204)

Rahmat apakah yang lebih besar saat Allah menyelamatkan seseorang dari kegelapan kesyirikan kepada cahaya Tauhid ? Sesungguhnya ini bukti zahir akan keberkatan Al-Quran, bagi mereka yang merenungnya.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments