Hakim Neraka

 OLEH: Abu Aqif



Allah memerintahkan para hakim agar berlaku adil.


إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [Qs. An-Nisa 4:58].


Allah bersama dengan hakim yang adil. Ia adalah satu penghormatan yang sangat besar apabila menyatakan Allah bersama-sama dengannya.


Ini bukan VIP, ini bukan orang kenamaan, tapi ini adalah Allah, Pencipta, Tuhan sekalian alam, bersama-sama dengan hakim, jika dia adil.


Tapi Allah tinggalkan hakim itu sekiranya dia menyimpang lalu menjadikan syaitan sebagai pendamping-pendamping mereka.


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ اللَّهَ مَعَ القَاضِي مَا لَمْ يَجُرْ، فَإِذَا جَارَ تَخَلَّى عَنْهُ وَلَزِمَهُ الشَّيْطَانُ

Dari Abdullah bin Abi Aufa, dia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda,

"Sesungguhnya Allah bersama hakim selama dia tidak menyimpang, jika dia menyimpang Allah meninggalkannya, dan syaitan pun menemaninya." [HR. Tirmizi, no. 1330. Dihasankan oleh Syaikh Albani].


Hakim-hakim akan dihantar ke neraka jika mengadili sesuatu kes tanpa ilmu.


Sebagai contoh hakim dari bidang kes sivil dan komersial tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman di dalam kes-kes jenayah tiba-tiba mengadili kes-kes jenayah lalu membuat keputusan yang dia tidak ada ilmu padanya sehingga menganiaya manusia lain.


Apatah lagi jika hakim yang tidak ada ilmu itu tadi menjadi korup, melakukan pengkhianatan dan penyimpangan di dalam tugas-tugasnya, itu lebih parah.


Dari Abu Buraidah dari Rasulullah ﷺ, beliau bersabda: 


اَلْقُضَاةُ ثَلاَثَةٌ اثْنَانِ فِي النَّارِ وَوَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ رَجُلٌ عَلِمَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ فَهُوَ فِي الْجَنَّةِ وَرَجُلٌ قَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ فَهُوَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ جَارَ فِي الْحُكْمِ فَهُوَ فِي النَّارِ.


"Hakim itu ada tiga jenis, dua di Neraka dan satu masuk Syurga;


(1) seorang hakim yang mengetahui kebenaran lalu memberi keputusan dengannya, maka dia di Syurga,


(2) seorang hakim yang mengadili manusia dengan kebodohannya, maka dia di Neraka, dan


(3) seorang hakim yang menyimpang dalam memutuskan hukuman, maka dia juga di Neraka." [Sahiih al-Jaami'ish Shaghiir no. 4446, Sunan Abi Dawud IX/487, no. 3556, Sunan Ibni Majah II/776, no. 2315].


Perlu diingatkan kepada sekalian hakim-hakim bahawa seluruh ulama Islam telah bersepakat (Ijmak), kufurnya orang yang berhukum dengan selain syariat Islam, jika disertai dengan keyakinan bolehnya melakukan perkara itu, padahal dia tahu terdapat ayat dan hadis yang melarang berbuat demikian. [lihat Fatawa Lajnah Da'imah, no:1329].


Berhukum tanpa ilmu, menyimpang dan berkhianat dalam membuat keputusan di dalam sesuatu kes itu jelaslah tidak mengikut syariat Islam.


Jangan gadai akidah dan ke-Islaman kalian untuk habuan dunia. Sesungguhkan Nabi ﷺ telah bersabda,


فَوَاللَّهِ لَلدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ هَذَا عَلَيْكُمْ

"Demi Allah, sesungguhnya dunia lebih hina di sisi Allah dari pada bangkai ini (bangkai anak kambing, -pent) di mata kalian." [HR. Muslim 7607].



Berlaku adillah.


[Gerakan PENA Malaysia]

Comments