Isu Palestin dan Masjidil Aqsa

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


Tiada yang baharu tentangnya kerana Masjidil Aqsa masih dijajah oleh kafir. 

Sehingga kini tiada sesiapa yang mampu mengambil semula tanahnya dan memberinya kepada  yang lain. 

Apa yang pasti Masjidil Aqsa adalah milik orang Islam dan ia telah dirampas daripada mereka. 

Semua kenyataan dan resoulusi mempertahankan isu Palestin dan Masjidil Aqsa bukanlah sesuatu yang luar biasa, manakala pihak yang mengeluarkannya tidaklah melakukan sesuatu yang baharu. Dia memberi apa yang tidak dimilikinya dan membicarakan sesuatu yang bukan di bawah kuasanya. Kerana itu kenyataan dan resolusinya tiada nilai apa-apa. 

Sewajarnya kita semua sedar bahawa tanggungjawab kita terhadap Agama dan umat Islam ialah untuk kita berusaha ke arah apa yang memuliakannya dan memperkasakannya. 

Sedangkan umat Islam tidak akan menjadi kuat melainkan dengan mereka mengamalkan isi ajaran Agama secara betul berasaskan kepada ikhlas dan ittiba’ - mengikuti apa yang ditunjukkan oleh Nabi ﷺ, di samping merealisasikan makna tauhid, menekankan keutamaannya serta mengajak manusia kepadanya. 

Sekiranya hal ini dilaksanakan maka umat Islam akan menjadi kuat, dan waktu itu mereka telah melayakkan diri mereka untuk diberi kemenangan oleh Alah ﷻ.  

Perlu ditegaskan bahawa kemenangan Allah ﷻ buat umat Islam tidak akan datang melalui jalan sekular, liberlisme, Syiah Rafidah mahupun golongan yang memusuhi as-Sunah. Sebaliknya kemenangan Allah ﷻ hanya akan datang melalui jalan Ahli Sunah apabila mereka merealisasikan makna tauhid, menyeru manusia kepadanya dan menjadikannya perkara paling utama yang hati mereka akan merasa sangat gusar jika melihat Allah ﷻ disekutukan. 

Adalah menjadi kewajipan atas para pemerintah Muslim supaya berusaha ke arah mengembalikan tanah Palestin dan Masjidil Aqsa kepada kaum Muslimin melalui jalan  kebijaksanaan, ketegasan dan kerjasama antara sesama mereka.

Adapun kaum Muslimin secara amnya, mereka perlu menyerahkan urusan politik yang melibatkan hubungan antara negara-negara dunia kepada ahlinya dengan iringan doa agar Allah ﷻ mengurniakan mereka kejayaan dan kemenangan. 

Dengan kata lain, masing-masing dengan kedudukan dan peranan masing-masing. 

Sama sekali isu Palestin dan Masjidil Aqsa tidak boleh ditangani dengan cara melemahkan negara-negara Islam seperti mana yang dilakukan oleh golongan sesat Syiah Rafidah, pengekor-pengekor mereka serta kumpulan-kumpulan hizbi yang terus menerus menunggang isu ini sebagai jalan untuk mendapat pengaruh dan kuasa.  

Seharusnya kita berwaspada kerana isu Palestin ini digunakan oleh musuh-musuh Islam serta musuh-musuh Ahli Sunah bagi merosakkan hubungan baik antara sesama kaum Muslimin dan melemahkan negara-negara Islam. Terdapat ramai penghasut dan pembohong yang menangguk di air keruh dengan jalan melemahkan umat Islam dan mengucar-ngacirkan mereka. 

Sebagai contohnya kumpulan Brigade al-Quds (سرايا القدس)  yang mengatasnamakan Masjidil Aqsa tetapi dalam masa yang sama  membunuh orang-orang Islam di Syria, Iraq dan Yaman seraya melalungkan ‘maut ke atas Israel’. Mereka berdusta dan berbohong dengan mengambil kesempatan atas kejahilan dan emosi sebahagian kaum Muslimin. 

Justeru menjadi kewajipan atas umat Islam supaya berhati-hati dan memperbanyakkan doa buat kaum Muslimin di Palestin. Moga-moga Allah memberi kesempatan kepada kita untuk dapat solat di Masjidil Aqsa satu hari nanti. 



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments