OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli
Mulai maghrib hari ini, akan masuklah 9 Zulhijjah yang turut disebut sebagai Hari Arafah. Berikut merupakan beberapa kelebihan dan amalan yang dianjurkan pada Hari Arafah :
1- Sekiranya 10 hari terawal Zulhijjah merupakan hari-hari paling afdal dalam dunia, hari Arafah pula merupakan hari paling afdal di sisi Allah. Kata Rasulullah S.A.W :
وما مِن يومٍ أفضلُ عندَ اللهِ مِن يومِ عرفةَ.
Maksudnya : Tidak ada hari yang lebih afdal di sisi Allah berbanding hari Arafah.
Riwayat Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban (3853)
2- Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah. Rasulullah S.A.W bersabda :
خيرُ الدعاءِ دعاءُ يومِ عرفَةَ
Maksudnya : Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.
Riwayat Al-Tirmizi (3585)
Kebaikan berdoa ini terdapat pada sepanjang hari Arafah. Tidak terkhusus pada waktu jemaah haji berwukuf sahaja.
3- Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosa-dosa kecil selama dua tahun. Kata Nabi S.A.W :
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ
Maksudnya : Berpuasa pada hari Arafah aku berharap kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya.
Riwayat Muslim (1162)
4- Takbir muqayyad (selepas solat fardu) bermula sesudah solat subuh hari Arafah. Ini merupakan amalan para sahabat seperti Umar Ibn al-Khattab, Ali bin Abū Talib, dan Abdullah Ibn Abbas R.Anhum. Perbanyakkan :
الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله والله أكبر ولله الحمد
5- Banyakkan zikir tauhid pada hari Arafah. Kata Nabi S.A.W :
وخيرُ ما قلْتُ أنا والنبيونَ من قبلي لا إلهَ إلَّا اللهُ وحدَه لا شريكَ له له الملكُ وله الحمدُ وهو على كلِّ شيءٍ قديرٌ .
Maksudnya : Dan sebaik-baik perkataan yang aku dan para Nabi sebelumku ucapkan ialah :
لا إلهَ إلَّا اللهُ وحدَه لا شريكَ له له الملكُ وله الحمدُ وهو على كلِّ شيءٍ قديرٌ
Tidak ada Tuhan selain Allah. Dia Maha Esa tidak ada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya segala kekuasaan. Buat-Nya segala pujian. Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu.
Riwayat Al-Tirmizi (3585)
6- Allah banyak membebaskan manusia dari neraka pada Hari Arafah. Kata Rasulullah S.A.W :
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِي بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ
Maksudnya : Tidak ada hari yang mana Allah banyak membebaskan hamba-Nya daripada neraka berbanding hari Arafah. Sesungguhnya Dia mendekat, kemudian Dia berbangga dengan para manusia (yang berkumpul di Arafah) kepada para malaikat. Lalu Dia berkata : “Apakah yang dikehendaki oleh mereka ?” (untuk Dia kurniakan permintaan mereka).
Riwayat Muslim (1348)
7- Suatu hari, ketika Al-Fudhail bin Iyadh berdiri di padang Arafah, beliau melihat kepada esakan dan tangisan orang ramai pada petang hari Arafah. Beliau berkata :
أرأيتم لو أن هؤلاء صاروا إلى رجل فسألوه دانقا أكان يردهم ؟
Maksudnya : Adakah kamu rasa sekiranya mereka ini (dengan tangisan dan esakan tersebut) pergi bertemu dengan seorang lelaki, lalu mereka meminta 1/6 dirham daripadanya, adakah lelaki itu akan menolak permintaan mereka ?
Orang sekeliling Al Fudhail berkata : Lelaki itu pasti tidak akan menolak permintaan mereka.
Lalu kata Al Fudhail :
والله للمغفرة عند الله أهون من إجابة رجل لهم بدانق
Demi Allah, pengampunan Allah jauh lebih mudah untuk diperolehi berbanding pemberian 1/6 dirham oleh seorang lelaki.
Comments
Post a Comment