Golongan Musyabbihah dan Mujassimah

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


- Asyairah atau Salafi?


Salafi yang dimomokkan dengan nama Wahabi sering dituduh sebagai musyabbihah dan mujassimah – menyerupakan Allah ﷻ serta menjisimkanNya seperti makhluk / manusia. 

Tuduhan ini pada hakikatnya berbalik semula kepada Asyairah. 

Ternyata bahawa Asyairah yang sebenarnya musyabbihah dan mujassimah jika dilihat pada kaedah yang mereka sendiri gunakan.  

Ini kerana dalam permasalahan sifat-sifat Allah ﷻ seperti istiwa, wajah, tangan dan yang lain Asyairah telah mengambil pendekatan tasybih kemudian taktil kemudian tasybih sekali lagi. 

Tasybih ialah menyerupakan Allah ﷻ dengan sifat makhluk / manusia manakala taktil bermaksud menafikan sesuatu sifat bagi Allah ﷻ. 

Ternyata bahawa asas mukadimah Asyairah dalam permasalahan sifat-sifat Allah ﷻ ialah tasybih manakala kaedah yang mereka gunakan ialah takwil sedangkan natijah yang terhasil ialah tasybih jua, menyerupakan Allah ﷻ dengan makhluk. 

Dengan kata lain, Asyairah terjebak dalam tasybih dua kali, pada mukadimah dan natijah dalam memahami sifat-sifat Allah ﷻ. 

Contohnya dalam permasalahan sifat istiwa, Allah ﷻ berfirman: 

ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِ

“Kemudian Dia (Allah) beristiwa di atas Arasy.”

[Al-Quran, al-Hadid, 57: 4]

Pada asalnya dalam bahasa Arab istiwa bermaksud meninggi ( علا ) dan naik ( ارتفع ). 

[Sahih Bukhari, 9/124] 

Tetapi menurut Asyairah istiwa jika ditafsirkan dengan erti meninggi dan naik maka ia menyerupai sifat makhluk memandangkan tidak diketahui sesuatu yang meninggi dan naik kecuali makhluk. 

Oleh itu Asyairah mengatakan bahawa ayat “Kemudian Dia beristiwa di atas Arasy” perlu ditakwil kepada makna istaula (menguasai). 

Maka mengikut kaedah yang Asyairah sendiri gunakan, dikatakan kepada mereka bahawa tidak diketahui sesuatu yang ‘mengusai’ kecuali ia adalah makhluk. 

Ini bermakna Asyairah adalah musyabbihah berdasarkan kepada kaedah yang mereka sendiri tetapkan.

Jika mereka (Asyairah) berdalih: 

“Tidak. Apa yang dimaksudkan ialah istaula (menguasai) yang bersesuaian dengan kebesaran dan keagungan Allah ﷻ, bukan seperti mana sifat makhluk.” 

Subhanallah. 

Demikian apa yang ditegaskan oleh Salafi, Allah ﷻ istiwa (meninggi dan naik) bersesuaian dengan kebesaran dan keagunganNya, bukan seperti mana sifat makhluk. 

Begitu juga dalam sifat-sifat Allah ﷻ yang lain. 

Semua jawapan yang diberikan oleh Asyairah untuk menjustifikasikan perbuatan mereka mentakwilkan sifat-sifat Allah ﷻ akan berbalik semula kepada mereka seperti mana dalam permasalahan sifat istiwa di atas. 

Justeru siapa sebenarnya musyabbihah dan mujassimah? 


CATATAN 

Tangkap layar yang disisipkan ialah antara komen yang diberikan dalam artikel sebelum ini bertajuk ‘Dakwah Salaf’. Penulisnya menuduh saya berbohong (Kazebta) kerana mendakwa saya menjisimkan Allah ﷻ, nauzubillah. Artikel ini menjawab tuduhan-tuduhan jelik seperti itu. 


[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments