Hak Asasi Manusia VS Hukum Allah

 OLEH: Mukhtaruddin Sahid


Bantahan dan pernyataan rasa kecewa terhadap hukuman gantung terhadap pembunuh arwah Zulfarhan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) amat mendukacitakan. Bagaimana mungkin seseorang yang dizalimi ketika hidupnya sedemikian rupa, tiba-tiba dinafikan haknya untuk mendapat hukuman balas.



Demikian juga di satu pihak masyarakat yang beriya-iya mahu pelaku dikenakan hukuman gantung. Bagi mereka hanya satu saja perkataan yang ada dalam perasaan mereka 'tiada maaf bagi mu'. Hanya hukuman mati sahaja yang layak buat mereka.

Disini admin menyeru kita semua untuk kembali kepada hukum Allah, sekurang-kurangnya kalau belum dilaksanakan pun, kita faham akan kedudukan hukum Islam. Admin tidak mahu menyamakan kes ini secara spesifik menurut hukum jinayat Islam, namun admin bercakap secara umum sahaja.

Dalam hal hukuman mati ini, Islam memberi tiga pilihan, iaitu samada waris mahu memaafkan pesalah/pelaku, atau mengambil diyat atau bersetuju dengan hukuman mati tersebut. Begitu juga ada perincian bagi pembunuhan yang mirip sengaja, atau pembunuhan yang tidak disengajakan. Sudah tentu ia memberikan konsekuensi hukum yang berbeza.

Islam memberi ruang untuk keluarga si mati memaafkan pelaku, atas rahmat dan kasih sayang Allah. Namun Islam juga memahami perasaan dan psikologi keluarga si mati. Bagaimana jika pilihan yang ada hanya kemafaan saja buat pesalah? Tentu remuk berkecai hati waris. Sekurang-kurangnya, pelaksanaan hukuman balas ke atas pesalah itu mententeramkan hati mereka.

Namun berlainan dengan waris yang redha dengan ketentuan Allah, bersabar atas musibah dan mengharapkan pahala dari Allah, maka hati mereka terbuka memaafkan pesalah. Kita katakan, itu pilihan yang baik dan sesuai dengan sifat ihsan. Barangsiapa ringan memaafkan kesalahan manusia, tentu Allah juga ringan memaafkan kesalahannya di akhirat kelak.

Akhir kalam, bukan hak kita untuk menentukan sesuatu perkara yang telah pun ada putusan Allah yang jelas dan terang. Akal kita tidak semestinya betul kerana akal sifatnya relatif. Walhasil, kita perlu kembali kepada Allah sebagai pencipta kita. Dia lebih mengetahui keadaan kita sebagai makhluknya.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments