OLEH : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli
Mendengar perkataan-perkataan maksiat seperti mengumpat dan mencarut, tidak kurang dosanya dengan orang yang menuturkan kata-kata tersebut.
Al-Imām Abū Hāmid Al-Ghazāli رحمه الله (w. 505 h) berkata :
ولا تظن أن الإثم يختص به القائل دون المستمع
Rujuk Bidāyah Al-Hidāyah, Al-Ghāzali (1/52)
Al-Ghazāli berhujah dengan sebuah riwayat yang menyebut :
أن المستمع شريك القائل، وهو أحد المغتابين
Terjemahan : Sesungguhnya orang yang mendengar itu adalah pasangan bagi orang yang bercakap. Dia merupakan salah seorang dari yang mengumpat.
Saya katakan, dalil yang lebih kuat adalah firman Allah SWT :
وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آَيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ
Terjemahan : Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka.
Surah Al-Nisa (140)
Sebahagian ulama berpendapat, ayat “tentulah kamu sama seperti mereka” bermaksud : Jika kamu duduk bersama dengan mereka, kamu mendapat dosa yang sama seperti mereka.
Justeru, kata-kata Imam Al-Ghazali ini hendaklah diikat jika seseorang itu sengaja, suka, dan reda mendengar kata-kata maksiat yang disebut dalam satu-satu majlis, tanpa ada sebarang usaha mencegah kemungkaran tersebut sama ada dengan tangan, lisan, atau hati. Wallahul muwaffiq.
Nota :
Al-Imam Al-Nawawi menukilkan bahawa Ibrahim bin Adham suatu hari dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan. Beliau pun menghadirinya. Kemudian mereka yang berada di situ menyebut berkenaan seorang lelaki yang tidak hadir pada hari tersebut. Kata mereka : Dia tidak suka bergaul dengan orang.
Ibrahim bin Adham seraya berkata :
أنا فعلتُ هذا بنفسي حيثُ حضرتُ موضعًا يُغتاب فيه الناس
Terjemahan : Aku pun akan buat begitu kerana aku menghadiri satu tempat yang orang ramai diumpat padanya.
Kemudian beliau pun beredar.
Rujuk Al-Azkar, Al-Nawawi (339-340)

Comments
Post a Comment