Teguran Sebagai Pemangkin Perubahan

OLEH : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli

Sebahagian ulama dahulu, mereka menjadikan teguran sebagai suatu pemangkin perubahan buat diri mereka ke arah kebaikan.

Sebagai contohnya adalah Al-Imām Ibnu Hazm Al-Zāhiri رحمه الله (w. 456 h). Kata Al-Imām Abū Muhammad ‘Abdullāh bin Muhammad :
‎أَخْبَرَنِي أَبُو مُحَمَّدٍ بنُ حَزْمٍ أَن سَبَبَ تَعَلُّمه الفِقْه أَنَّهُ شَهِدَ جِنَازَة، فَدَخَلَ المَسْجَدَ، فَجَلَسَ، وَلَمْ يَركع، فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ: قُمْ فَصلِّ تحيَّة المَسْجَد.
‎وَكَانَ قَدْ بلغَ سِتًّا وَعِشْرِيْنَ سَنَةً
Terjemahan : Abū Muhammad Ibnu Hazm menceritakan kepadaku bahawa sebab beliau menuntut ilmu fiqh adalah kerana pada suatu hari beliau menghadiri majlis pengurusan jenazah. Beliau masuk ke dalam masjid dan terus duduk tanpa mendirikan solat tahiyyatul masjid. Lalu seorang lelaki berkata kepadanya : “Bangun dan lakukanlah solat tahiyyatul masjid”. Dan Ibnu Hazm pada ketika itu berusia 26 tahun.
Lalu Ibnu Hazm berkata :
‎فَقُمْتُ وَركعتُ، فَلَمَّا رَجَعنَا مِنَ الصَّلاَةِ عَلَى الجِنَازَة، دَخَلْتُ المَسْجَد، فَبَادرتُ بِالرُّكُوْع، فَقِيْلَ لِي: اجْلِسْ اجْلِسْ، لَيْسَ ذَا وَقتَ صَلاَة - وَكَانَ بَعْد العَصْر - قَالَ: فَانْصَرَفت وَقَدْ حَزِنْتُ وَقُلْتُ لِلأسْتَاذ الَّذِي رَبَّانِي: دُلنِي عَلَى دَار الفَقِيْه أَبِي عَبْدِ اللهِ بنِ دحُّوْنَ
‎قَالَ: فَقصدتُه، وَأَعْلَمتُه بِمَا جرَى، فَدلَّنِي عَلَى (مُوَطَّأ مَالِكٍ) فَبدَأَتُ بِهِ عَلَيْهِ، وَتتَابعت قِرَاءتِي عَلَيْهِ وَعَلَى غَيْرِهِ نَحْوًا مِنْ ثَلاَثَة أَعْوَام
Terjemahan : Aku pun terus bangun dan mendirikan solat tahiyyatul masjid. Sebaik sahaja kami pulang dari mendirikan solat jenazah, aku pun masuk ke dalam masjid dan segera mendirikan solat. Dikatakan kepadaku : “Duduklah kamu, duduklah kamu. Sekarang ini bukannya waktu solat” - waktu ketika itu adalah selepas asar. Kata Ibnu Hazm : Aku pun beredar dan aku berasa sedih. Lalu aku berkata kepada guru yang mendidikku : Tunjukkanlah kepadaku rumah seorang faqih yang bernama Abu ‘Abdillah bin Dahhūn. Lalu kata Ibnu Hazm : Aku pun mencarinya, dan aku ceritakan kepadanya apa yang telah terjadi. Beliau pun menunjukkan kepadaku kitab Muwatta’ Imam Mālik, lalu aku pun mula mempelajari kitab tersebut bersama beliau. Aku mengulang-ulang pembacaanku bersama dengan beliau dan ulama selainnya selama hampir 5 tahun.
Rujuk Siyar A’lām Al-Nubalā’, Al-Zahabi (18/199)

Muhammad Fahmi Rusli

Comments