OLEH : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli
Kalau kita nampak apa sahaja kebahagiaan yang seseorang kongsikan di media sosial, ada baiknya kita budayakan dua sifat terpuji berikut :
Muhammad Fahmi Rusli
Pertama : Bergembira dengan kegembiraan dirinya.
Kedua : Mendoakan kebaikan buatnya.
“Ya Allah, berkatilah rezekinya”.
Melihat kegembiraan yang dizahirkan oleh pasangan suami isteri, kita doakan :
“Ya Allah, jaga dan peliharalah kedua pasangan ini”.
Antara faedah yang terhasil daripada sifat terpuji ini :
Pertama : Membuang dan menghilang perasaan hasad dalam diri kita. Nikmat tersebut hakikatnya merupakan ketetapan dan kurniaan Allah SWT buat dirinya.
Kedua : Kebahagiaan tersebut mudah-mudahan turut kita dapatkan. Mendoakan kebaikan seseorang tanpa pengetahuannya, menghasilkan kebaikan yang sama buat diri kita.
Rasulullah SAW bersabda :
مَن دَعَا لأَخِيهِ بظَهْرِ الغَيْبِ، قالَ المَلَكُ المُوَكَّلُ بهِ: آمِينَ، وَلَكَ بمِثْلٍ
Terjemahan : Sesiapa yang mendoakan kebaikan buat saudara muslimnya tanpa pengetahuan dirinya, malaikat yang diwakilkan membawanya akan berkata : “Āmīn, untuk kamu juga sama seperti yang kamu doakan”.
Riwayat Muslim (2732)
Buat mereka yang suka kongsikan kenikmatan dan kebahagiaan di media sosial pula, dua sifat tersebut hakikatnya berada di luar kawalan kita kerana ia anjuran kepada orang yang melihat. Adapun kita, jika kita khuatir perkongsian tersebut lebih mendatangkan keburukan berbanding kebaikan, maka yang berada di dalam kawalan kita adalah mengelakkan perkongsian kenikmatan dan kebahagiaan. Dalam sebuah riwayat ada menyebutkan :
فإنَّ كلَّ ذي نعمةٍ محسُود
Terjemahan : Sesungguhnya setiap yang memiliki nikmat itu adalah orang yang didengki.

Comments
Post a Comment