Dosa Mujaharah Bi-al-Ma'siyah

OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Meninggalkan solat hukumnya mati di sisi jumhur ulama, cuma dalam kes meninggalkan solat kerana malas ada khilaf sama ada hukuman mati dijatuhkan kerana murtad atau kerana hudud. Ada pendapat mengatakan tidak dihukum mati, tapi dipenjarakan sampai bertaubat.

Pendapat sebahagian ulama bahawa tidak wajib qada solat yang ditinggalkan kerana malas yang mungkin digemari oleh orang-orang yang pernah meninggalkan solat tidak seringan yang disangka. Ini kerana pendapat mereka dibina di atas anggapan bahawa orang yang sengaja meninggalkan solat sudah murtad dan ibadat murtad, di sisi mereka, tidak wajib diqada.
Meskipun hukum meninggalkan solat tidak syak lebih berat, namun mendedahkan aurat tidak boleh dipandang mudah. Hal ini kerana mendedahkan aurat dosanya dosa mujaharah bi-al-ma'siyah. Dengan kata lain, tidak bertudung kemungkaran yang dizahirkan, seperti minum arak atau makan pada siang Ramadan secara terbuka - tidak seperti meninggalkan solat yang kemungkarannya tersembunyi.
Kita tidak tahu siapa solat dan siapa tidak solat melainkan kita duduk seharian bersamanya. Berbeza dengan yang tidak bertudung, sekilas pandang pun sudah tahu mereka mendedahkan aurat. Dari sudut ini, tidak bertudung lebih mungkar, kerana pelakunya seolah-olah tiada rasa malu dan hilang hormat kepada agama.
Tidak banyak hadis tentang dosa mendedahkan aurat bukan kerana ia dosa kecil atau ringan, tapi kerana tiada wanita Islam dewasa dan merdeka yang mendedahkan aurat - apalagi seksi dan menggoda - secara terbuka pada zaman Rasulullah SAW. Cemburunya lelaki dan malunya perempuan sudah cukup untuk membenteng wanita daripada mendedahkan aurat ketika itu. Solat pula, semua menunaikan solat termasuk munafik, hanya sahaja mereka melakukannya secara pura-pura untuk tontonan manusia.
(Walaupun begitu, sebagai ustaz dan pendakwah, kita tidak wajar terus mencela pendosa tanpa melihat keuzurannya. Ramai yang melanggar hukum kerana persekitaran. Lahir dalam keluarga fasiq dan hidup dalam lingkungan orang-orang jahil, misalnya. Bertudung pun sekadar ikutan. Itulah sebabnya ramai yang sekejap bertudung, sekejap seksi.
Mereka tidak tahu besarnya dosa meninggalkan solat dan mendedahkan aurat kerana kiri kanan mereka pun begitu. Untuk berubah, mereka memerlukan kekuatan tambahan, lebih daripada kita yang berasal dari keluarga beragama. Ada juga yang tidak solat kerana jahil dan malu untuk belajar. Atau, kerana sebab khusus, seperti sakit dan tidak tahu bagaimana solat dalam keadaan berhadas terus-menerus.
Pun begitu, untuk mereka pula, tidak seharusnya persekitaran dipersalahkan. Dakwah telah sampai dan hujah telah ditegakkan. Semua orang tahu solat dan menutup aurat itu wajib. Kalau tidak pandai atau ada kemusykilan, zaman sekarang ilmu agama boleh diakses di hujung jari. Mahu atau tidak sahaja. Tiada alasan lagi.
Apapun, hidayah milik Allah. Kalau ada ahli keluarga atau kawan yang belum bertaubat, nasihat dan doa. Hari ini mungkin belum nampak hasilnya, tapi kelak siapa tahu? Semoga kita mendapat dan terus mendapat hidayah dan taufik daripada-Nya.)
Wallahualam.

Comments