Berhikmah Dalam Dakwah

OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Sebelum mengkritik dan mencela masyarakat atas pelanggaran hukum yang dilakukan oleh mereka, seharusnya kita – selaku mereka yang berlatar belakang bidang agama – memahami satu perkara yang maha penting, iaitu kita berada pada zaman kejahilan.

Pada zaman kejahilan yang mengakar dan menular, hukum yang jelas menjadi samar, ijmak menjadi khilaf, haram menjadi halal, dan yang makruf menjadi mungkar. Masyarakat hanya mengikut uruf yang melingkungi mereka. Baik pada pandangan orang, baiklah juga bagi mereka. Buruk pada pandangan orang, buruk jugalah bagi mereka.
Ajaran Islam yang murni sebagaimana dalam al-Quran dan sunnah mengikut panduan Salaf dan ulama tidaklah sampai secara terus kepada mereka, tetapi bertapis, dituras oleh majlis-majlis fatwa, jabatan-jabatan agama, badan-badan penasihat syariah, dan ustaz-ustazah. Tidak semua kebenaran yang berjaya diketahui oleh mereka boleh disampaikan kepada khalayak. Ada banyak mata yang memerhati dan ada banyak hati (dan perut) yang perlu dijaga. Kalau tidak, ada tauliah yang mungkin ditarik, dan ada tahziran yang mungkin mengena.
Kalau ada kebenaran yang terlepas, berjaya sampai kepada masyarakat pun, belum tentu mereka dapat menerima. Masyarakat - seperti kita sendiri dalam isu-isu kesihatan, misalnya - lebih percaya kepada apa yang telah teradat, kepada ustaz-ustaz yang mereka yakin kerana popular dan berpangkat. Mereka tiada masa untuk membaca dalil dan mendengar perbahasan yang panjang lebar daripada orang-orang yang tiada PhD, tidak pernah masuk TV, dan tidak mempunyai ratusan ribu pengikut di TikTok dan FB.


Jadi, memahami situasi ini, kita yang dikurniakan sedikit ilmu ini perlu memperhalusi cara untuk berinteraksi dengan kemungkaran yang dilakukan oleh masyarakat disebabkan kejahilan (bukan kedegilan). Sekiranya ada wanita ke luar negara tanpa mahram, jangan terus dicop sengaja mencanggahi hadis. Jika ada yang bermain gitar, jangan terus divonis fasik. Jika ada yang menyambut hari lahir, jangan terus dihukum mengikut tradisi kafir. Berdoalah dengan doa Nabi SAW, “Ya Allah, ampuni kaumku kerana mereka tidak mengetahui (kebenaran).”
Berbicaralah dengan manusia mengikut keadaan mereka. Halakan peluru dalil dan hujah kepada ustaz-ustaz yang tergelincir dan tokoh-tokoh yang jahil, kerana merekalah panutan orang-orang awam itu. Jangan sesekali melampau melainkan kepada orang-orang yang melampau. Hayati nasihat Imam al-Dhahabī dalam risalahnya mengkritik masyarakatnya dalam isu perayaan bukan Islam, yang antara lainnya:
انظر إلى نفسك وقت النهي عن المنكر، وعند الأمر بالمعروف بعين المقت، وانظر إلى أخيك الجاهل العاصي بعين الرحمة، من غير أن تترك أوامر الله تعالى، أو حدًّا من حدوده.

“Pandanglah kepada dirimu ketika nahi mungkar dan ketika amar makruf dengan mata amarah, dan pandanglah kepada saudara kamu yang jahil dan bermaksiat dengan mata rahmat tanpa kamu meninggalkan suruhan Allah taala atau (melanggar?) batas-Nya.”
Dalam risalah lain, katanya tentang masalah yang sama, khusus untuk situasi Muslim bertasyabbuh dengan bukan Islam ketika perayaan mereka atas dasar adat:
... فجاهل يعذر ويبين له برفق.
"... maka yang jahil diberi keuzuran dan penjelasan dengan lembut."
Wallahualam.



Comments