Kenapa Hadis Dhaif Meliputi Hadis Palsu?

OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Hadis palsu bukan hadis da'if. Hadis da'if pula, walaupun lemah, tetap hadis. Demikian kata sesetengah pihak tanpa memahami makna, konsep, dan hakikat istilah sahih, da'if, dan sebagainya yang digunakan oleh para muhaddithin.
Dalam ilmu hadis, matlamat akhir kajian sanad adalah untuk mengetahui setinggi mana kebarangkalian sesuatu ucapan, perbuatan, atau taqrir yang disandarkan kepada Nabi SAW itu benar-benar sabit kepada baginda. Istilah-istilah sahih, hasan, da'if, da'if jiddan, dan mawdu' digunakan untuk menandakan tahap kebarangkalian tersebut.
Semakin tinggi kebarangkalian ia berasal daripada baginda, maka semakin sahihlah riwayat tersebut. Semakin rendah kebarangkalian ia berasal daripada baginda, maka semakin lemahlah riwayat tersebut.



Dalam skala yang dipaparkan, hadis sahih diletakkan di atas sekali kerana ia 75-100% pasti diucapkan oleh baginda. Hadis mutawatir adalah bahagian daripada hadis sahih, tetapi disebabkan ia diriwayatkan oleh rawi yang ramai sehingga dirasakan mustahil untuk mereka semua tersilap atau berdusta, maka ia boleh dikatakan 100% pasti berasal daripada baginda.
Hadis hasan pula berada di tahap yang lebih rendah walaupun kemungkinan ia sabit daripada Nabi SAW lebih tinggi berbanding kemungkinan ia tidak sabit. Jadi, ia termasuk dalam kategori maqbul, iaitu lulus sama seperti hadis sahih tadi, cuma tahap kebarangkalian benar dalam lingkungan 50%-75% sahaja.
Hadis yang berkemungkinan besar tidak berasal daripada Nabi SAW diletakkan dalam bahagian mardud, iaitu tidak lulus atau ditolak, yang boleh juga dipanggil sebagai da'if mengikut konsep pengkategorian hadis kepada dua iaitu maqbul dan mardud, sahih dan da'if. Kemungkinan hadis dalam kategori ini diucapkan oleh baginda antara 0-50% sahaja. Hadis yang diyakini tidak benar dihukum palsu dan peratusan kebarangkalian ia berasal daripada baginda adalah 0%.
Dalam sesetengah kes, ulama tidak berani menghukum sesuatu hadis itu sebagai palsu, maka ulama memilih langkah berhati-hati dengan menghukumnya da'if jiddan sahaja yang kebarangkalian ia sabit paling tinggi 25%. Lebih tinggi daripada itu adalah hadis da'if yang sederhana atau ringan yang kebarangkalian ia benar setinggi 25-50%.
Kadang-kadang, ulama ragu untuk menghukum sesuatu hadis itu hasan atau da'if kerana kemungkinan ia sabit secara kasarnya sekitar 50%, maka ulama menggunakan istilah jayyid dan seumpamanya untuk hadis berkenaan. (Ini yang saya pilih, kerana ramai ulama mengatakan jayyid seerti dengan sahih, atau hasan. Pilihan saya untuk jayyid mungkin sama dengan pendapat Hamka - yang baru saya baca - tentang qawiyy kerana katanya, "Darjat yang tertinggi, yang tiada taranya lagi ialah mutawatir. Sesudah itu masyhur, kemudian sahih, hasan terus qawiyy.")
Tahap kesahihan dan kelemahan hadis itu bertawafut yakni bertingkat-tingkat. Dua buah hadis mungkin sama-sama sahih, namun kesahihan salah satu daripadanya mungkin pada tahap 81%, manakala hadis kedua pula mungkin pada tahap 82%. Ia bergantung kepada pelbagai faktor. Contoh yang paling mudah, bilangan rawi. Semakin ramai yang meriwayatkan, semakin tinggilah tahap kesahihan hadis tersebut.
Sesetengah hadis mungkin setaraf dengan hadis palsu kerana diyakini tidak sabit daripada Nabi SAW dengan qara'in bercanggah dengan hadis-hadis atau riwayat-riwayat yang sahih, misalnya, namun tidak dipanggil palsu, tetapi munkar, syaz, mudraj, dan sebagainya. Alasannya secara ringkas, kerana hadis-hadis tersebut lebih dekat dengan unsur kesilapan yang tidak disengajakan, berbanding unsur pemalsuan yang disengajakan.
Jadi, daripada skala ini kita dapat faham kenapa hadis palsu diletakkan dalam kategori hadis da'if, dan kenapa hadis da'if meliputi hadis palsu. Juga difahami di sini bahawa hadis da'if meskipun ada kemungkinan berasal daripada Nabi SAW tetapi kemungkinan itu lebih rendah. Dan disebabkan besarnya implikasi pengaitan sesuatu dengan Nabi SAW, ulama berihtiyat untuk mensahihkan hadis. Oleh sebab itulah, satu kecacatan yang mungkin dianggap remeh - seperti seorang rawi tidak disebutkan nama - sudah memadai untuk menyebabkannya dihukum da'if.
Wallahualam.

Comments