Kadang sedih rasanya apabila kita banyak bertimbang rasa dengan orang lain namun sebaliknya kita tidak menerima balasan timbang rasa yang sama.
Kita semasa menggunakan lorong SmartTag, punyalah berusaha pastikan baki cukup, bateri cukup, pegang tag dengan cara yang betul, sebab nak mudahkan urusan pengguna lain di belakang.
Tapi saat kita berada di belakang, banyak kali kita tersangkut. Kenderaan depan baki tidak cukuplah, tiada SmartTag lah. Tambah pula jenis yang apabila tidak lepas, memilih untuk berundur sedangkan di belakang beratur kenderaan. Ada pula yang waktu kereta depan sedang halakan tag, waktu itu jugalah dia tidak menyabar-nyabar menghalakan tag. Akhirnya tersangkut. Jadilah pengguna SmartTag yang “smart”.
Kita semasa hentikan kereta berhadapan kedai makan, dengan segera matikan lampu kereta meski enjin belum dihentikan. Alasannya tidak mahu menyakiti pemandangan orang yang sedang makan atau duduk di hadapan.
Tapi saat kita berada di kedai makan, banyak kali terjadi mereka yang duduk di dalam kereta, tegar membiar lampu kereta bernyala. Apa tujuannya pun kita tidak tahu. Saat kereta tidak bergerak, tutuplah lampu dari dibiarkan orang lain terganggu.
Kita semasa nak pesan makanan di kedai, baik di meja atau di kaunter, saat nampak ramai orang lain di belakang atau di sebelah, dengan pantas kita buat pesanan. Dalam kereta sudah boleh fikir nak makan apa. Sedang beratur pun boleh fikir nak makan apa.
Tapi saat kita berada di belakang, banyak kali berdepan situasi orang di hadapan yang waktu itulah baru nak telefon keluarga/kawan di rumah nak makan apa, nak pesan apa. Semasa pesan pula, suruh buang itu, tambah ini, nak itu, tak nak ini. Benda yang sepatutnya boleh cepat menjadi lambat.
Kita semasa nak keluar dari parkir kereta, nampak sahaja orang bagi signal nak masuk ke parkir kita, cepat-cepat kita hidupkan enjin dan beredar keluar.
Tapi saat kita berada di situasi yang memberi signal untuk masuk parkir, boleh pula kita berdepan dengan orang yang waktu itulah dia nak buka tutup pintu kereta, nak tengok cermin, angkat barang letak barang. Sedangkan tahu ada orang sedang menunggu hendak masuk.
Banyak lagi keadaan yang kita berusaha menjadikan ia mudah, cepat, dan pantas untuk keselesaan orang lain di belakang/sekeliling kita. Saat berada di tandas awam, di bank untuk keluar/masuk duit, di stesen-stesen minyak untuk mengisi minyak, dan lain-lain urusan kehidupan. Namun kita selalu diuji saat melihat orang lain tidak bertimbang rasa sebagaimana usaha kita.
Namun ujian ini In sya Allah tidak mematahkan usaha kita untuk kekal bertimbang rasa. Kita yakin dengan prinsip, kita mudahkan urusan orang, nescaya Allah SWT mudahkan urusan kita. Sekiranya tidak dipermudahkan urusan yang sama, In sya Allah dipermudahkan dalam urusan-urusan selainnya.
Oleh : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli

Comments
Post a Comment