OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Ramai yang kononnya mengkaji mengenai Wahabi tetapi tidak mampu membezakan antara Wahabi dan Kaum Muda (istilah tempatan, di negara Arab mereka mungkin dikenali dengan nama Tanwiriyyun, Madrasah al-Manar, dan sebagainya). Berikut tiga perbezaan utama antara Wahabi dan Kaum Muda:
Pertama, Wahabi tidak mengiktiraf Jamal al-Din al-Afghani dan Muhammad 'Abduh sebagai ulama apatah lagi imam mereka. Pada hari ini, golongan Wahabi menerusi kajian mereka menyesatkan dua tokoh ini kerana didapati melakukan penyimpangan serius dalam masalah akidah. Jamal al-Din al-Afghani dianggap Syiah atau ateis manakala Muhammad 'Abduh dianggap berfahaman rasionalisme atau neo-Muktazilah.
Berbeza dengan Kaum Muda, Jamal al-Din al-Afghani, lebih-lebih lagi Muhammad 'Abduh adalah tokoh utama mereka. Mereka disanjung sebagai tokoh reformis dan mujaddid.
Kedua, Wahabi tidak menolak amalan bermazhab, malah ulama-ulama Wahabi kebanyakannya bermazhab Hanbali. Yang ditentang oleh Wahabi adalah taasub mazhab seperti yang mengakibatkan pemisahan jemaah di Masjidil Haram kepada empat kumpulan mengikut mazhab yang berlaku satu ketika dahulu.
Sementara itu, Kaum Muda memang menentang amalan bermazhab. Merekalah yang menimbulkan isu-isu taqlid, ijtihad, talfiq, dan sebagainya. Hanya sisa-baki aliran Kaum Muda hari ini yang cenderung untuk menzahirkan penerimaan amalan bermazhab untuk mengendurkan penolakan masyarakat terhadap mereka.
Ketiga, dalam masalah akidah, Wahabi meneruskan aliran Hanabilah dan Ibnu Taymiyyah. Mereka terlalu tegas berhubung tauhid uluhiyyah dan berpegang keras dengan kaedah isbat dalam masalah ayat-ayat mutasyabihat.
Sementara itu, Kaum Muda tidak memberikan tumpuan pada masalah akidah seperti ini. Bagi mereka, perselisihan antara Hanabilah dan Asha'irah adalah perkara remeh dan boleh diharmonikan. Lagipun, Muhammad 'Abduh seorang neo-Muktazilah yang melakukan takwilan yang sangat berbahaya terhadap nas termasuk berkaitan mukjizat.
Bermula pada zaman Rashid Rida sampai ke hari ini, Wahabi dan Kaum Muda berasimilasi dan berlaku penyerapan anasir Kaum Muda dalam aliran Wahabi dan sebaliknya. Menarik disebutkan di sini, Syeikh al-Albani yang umumnya dikenali sebagai tokoh Wahabi sebenarnya berasal daripada aliran Kaum Muda. Beliau terpengaruh dengan idea Kaum Muda menerusi pembacaan majalah al-Manar pada usia muda. Oleh sebab itu, sikap beliau agak kritikal terhadap mazhab.
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Izat, akal asal kesesatan.
ReplyDeletePerkataan kamu sepeti lalat pergi kpd bunga berangan2 menghasilkan madu.