Hukum Muslim Mengucapkan "Happy Deepavali"

OLEH:Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Saya terlewat kali ini. Betul-betul terlewat kerana sambutan Deepavali sudah berlalu beberapa hari yang lalu, dan baru sekarang ingin mengulas tentang polemik hukum memberikan ucapan selamat sempena perayaan agama bukan Islam.

Saya rasa kebanyakan kita sedia maklum tentang nukilan ijmak oleh Imam Ibnu al-Qayyim (751 H) tentang keharaman mengucapkan tahniah sempena perayaan bukan Islam. Di sini saya nukilkan kembali nas yang dimaksudkan, katanya dalam Ahkam Ahl al-Dhimmah:

“Adapun memberi ucapan sempena syiar-syiar kekufuran yang khusus maka haram secara sepakat seperti memberi ucapan sempena perayaan-perayaan dan puasa mereka lalu mengatakan 'selamat hari raya' atau memberi ucapan sempena hari raya tersebut dan seumpamanya.

Sekiranya orang yang mengucapkannya terhindar daripada kekufuran maka ia termasuk dalam perkara haram. Ia sama seperti memberi ucapan sempena sujud kepada salib malah ini lebih besar dosa di sisi Allah dan lebih dibenci daripada mengucapkan selamat sempena minum arak, membunuh manusia, berzina, dan sebagainya.”

Namun kita pastinya kehairanan apabila ada yang mendakwa terdapat khilaf dalam masalah ini yang kononnya berlaku kira-kira 100 tahun sebelum Ibnu al-Qayyim menukilkan ijmaknya. Persoalannya di sini, benarkah terdapat khilaf antara ulama mutaqaddimin atau ulama terdahulu dalam masalah ini?

Ulama yang dikatakan menyalahi ijmak yang dinukilkan oleh Ibnu al-Qayyim dengan berpendapat harus mengucapkan selamat sempena perayaan agama bukan Islam ialah Imam 'Izz al-Din 'Abd al-Salam (660 H) yang bermazhab Shafi'i dan Syeikh 'Alish (1299 H) yang bermazhab Maliki. Di sini saya nukilkan nas mereka sebagaimana yang diterjemah oleh pihak yang dimaksudkan tadi:

"Syeikh Muhammad Ahmad ‘Alish al-Maliki ketika ditanya: “Sekiranya seorang Muslim pergi ke rumah dhimmi pada hari perayaannya dan mengucapkan ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’. Adakah ia dikira sebagai terkeluar daripada Islam atau tidak? Jawab beliau: “Tidak terkeluar daripada Islam seseorang Muslim yang berkata kepada seorang Kristian ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’ di mana beliau tidak bermaksud untuk membesarkan kekufuran dan tidak meredhai kekufuran.

Disebutkan oleh al-Hattab al-Rauyani bahawa Sultan al-Ulama’ al-Imam al-‘Izz Abd al-Salam al-Syafie telah ditanya telah hukum mengucapkan “Semoga hari sambutan ini diberkati untuk kamu.” kepada dhimmi semasa perayaan mereka. Jawabnya: “Sekiranya Muslim tersebut mengucapkan sedemikian kepada dhimmi dengan niat mengagungkan agama mereka dan perayaan mereka, sesungguhnya dia telah terkeluar daripada Islam. Adapun sekiranya beliau tidak bermaksud sedemikian dan ucapan itu sekadar terlontar di mulutnya, beliau tidak terkeluar daripada Islam kerana ucapannya adalah tanpa niat.”"

Daripada semakan yang dibuat - bahkan daripada bacaan sepintas lalu pun - didapati penisbahan pendapat harus kepada mereka tidak sah. Hal ini demikian kerana mereka cuma menjawab persoalan adakah ucapan tersebut menyebabkan penuturnya terkeluar dari Islam atau tidak? Mereka langsung tidak menyentuh soal harus atau tidak mengucapkan kata-kata seperti itu.

Dengan kata lain, mereka berbicara tentang hukum mengucapkan selamat sempena Krismas dan Deepavali misalnya dari segi Islam dan kufur pelakunya, bukan dari segi harus atau haram hukum asalnya. Perkara ini perlu difahami supaya kita tidak memahami kalam ulama di luar konteks.

Jika huraian saya mengelirukan, maka saya sediakan satu contoh: sebahagian ulama mengatakan orang yang meninggalkan solat dengan sengaja masih Islam dan perbuatan meninggalkan solat itu tidak menyebabkannya murtad selagi ia tidak menafikan kewajipan atau mempersendakan solat. Adakah ini bermakna solat tidak wajib, atau harus meninggalkan solat?! Tentunya tidak.

Begitu juga dalam masalah ini. Ibnu 'Abd al-Salam dan 'Alish mengatakan penutur kata-kata tersebut masih Islam selagi tidak meniatkan memuliakan kekufuran. Itu sahaja. Untuk mengatakan mereka mengharuskan ucapan tersebut seperti yang didakwa, itu memerlukan karenah. Sebaliknya, karenah menunjukkan bahawa mereka juga mengharamkannya sama seperti ulama-ulama lain.

Karenah dalam kata-kata Ibnu 'Abd al-Salam ialah pada perkataannya yang berbunyi: "Adapun sekiranya beliau tidak bermaksud sedemikian dan ucapan itu sekadar terlontar di mulutnya, beliau tidak terkeluar daripada Islam kerana ucapannya adalah tanpa niat." Difahami daripada situ bahawa ucapan selamat itu dilarang. Namun, penuturnya masih Islam dengan syarat "ucapan itu sekadar terlontar di mulutnya" dan "ucapannya tanpa niat" memuliakan agama dan perayaan bukan Islam.

Demikian juga dalam kata-kata 'Alish. Cuma, di situ ada karenah lain kerana sebenarnya, kata-kata tersebut merupakan sebahagian daripada jawapan beliau kepada beberapa soalan. Untuk soalan tentang hukum mengucapkan "Allah mendengar daripada orang yang diam" dan "ya Allah, ya Rasulullah"  - adakah pengucapnya terkeluar dari Islam atau tidak - beliau mengatakan ia masih Islam tanpa mengikatnya dengan syarat tidak meniatkan syirik dan seumpamanya.

Secara mudahnya, beliau mengharuskan ucapan tadi secara mutlak. Tentang ucapan "ya Allah, ya Rasulullah" beliau langsung menafikan unsur syirik di dalamnya, biarpun ucapan tersebut boleh menjerumuskan seseorang kepada syirik, dengan katanya, "dan (ucapan) 'ya Allah, ya si polan' bukan riddah (kemurtadan) kerana tidak dimaksudkan dengannya kesyirikan dan kesatuan (antara Allah dan makhluk). Yang dimaksudkan hanyalah tabarruk dengan mendahulukan istighathah dengan Allah taala."

Namun, ketika menjawab soalan adakah orang yang mengucapkan selamat sempena hari raya bukan Islam, beliau mengatakan "Tidak terkeluar daripada Islam seseorang Muslim yang berkata kepada seorang Kristian ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’ di mana beliau tidak bermaksud untuk membesarkan kekufuran dan tidak meredhai kekufuran" pula. Tidakkah ini menunjukkan beliau sebenarnya melarang ucapan tersebut dan menganggapnya mengandungi unsur-unsur membesarkan dan meredai kekufuran, cuma pelakunya tidak dinisbahkan kepada kekufuran kerana seperti katanya sendiri di akhir jawapan, "mengkafirkan orang yang beriman sesuatu yang sukar, yang tidak sabit melalui sangkaan, dan yang diharapkan ialah tidak mengkafirkannya selagi termampu."

Wallahualam.


___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments