OLEH: Taufiq Tuah
Ada yang mendakwa bahawa Salafi ada dua jenis kelompok iaitu Salafi Yamani dan Salafi Haraki.
Ada pula yang mendakwa Salafi itu ada enam jenis kelompok iaitu Salafi Jihadi, Salafi Takfiri, Salafi Ikhwani, Salafi Saudi, Salafi Jordani dan Salafi Madkhali.
Ada juga yang mendakwa salafi itu ada tiga iaitu Salafi Mutasyaddid, Salafi Irhabi dan Salafi Ikhwani.
Persoalannya, yang manakah yang benar dan sebenarnya ada berapakah jenis Salafi?
Pertamanya harus difahami bahawa Salafi secara mudahnya bermaksud, siapa sahaja yang menjadikan Rasulullah SAW dan generasi Salaf sebagai rujukan tauladan. Semudah itu, anda ialah seorang Salafi. Akidah yang dipakai ialah akidah seperti Rasulullah dan para sahabat, ibadah dan fiqh juga berlandaskan Rasulullah dan para sahabat.Maka layaklah digelar 'salafi' iaitu golongan yang mencontohi generasi Salaf.
Mengapa ia digelar salafi? Bukankah ia digelar Ahli Sunnah Wal Jamaah?
Benar memang sebenarnya ia digelar Ahli Sunnah Wal Jamaah. Namun harus diingati bahawa telah datang berberapa fikrah baharu yang telah menyimpang dari sunnah tetapi memakai nama jolokan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Misalnya, Asyairah dan Maturidiah juga mengaku diri mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah sedangkan akidah mereka tidakpun sejajar dengan Rasulullah dan para sahabat. Ahbash dan kebanyakan tarekat juga mendakwa diri mereka Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi mereka tidaklah mengikut landasan sunnah.
Untuk lari dari kekeliruan itu, maka muncul lah nama 'Salafi' untuk membezakan di antara Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tulen atau yang palsu.

Imam Syafie RH dan Imam Malik iuga salafi. Kerana mereka tidak lari dari landasan Rasulullah dan para sahabat. Walaupun mereka tidak pernah mengatakan "Saya salafi", tapi hakikatnya mereka sejajar dengan ajaran salafi. Malah golongan salafi pada hari ini juga mengambil kitab-kitab mereka sebagai rujukan.
Salafi hanya ada satu dan tidak ada jenisnya. Tidak perlu sengketa diantara kita sesama manhaj. Tidak perlu melabel "Dia salafi lain dan aku salafi lain". Perkataan "Salafi Lain" itu tidak pernah wujud. Syeikh Ibn Utsaimin dan Syeikh Al-Bani juga berbeza pandangan tentang berberapa hal, namun kedua-duanya ialah salafi. Mereka yang berguru dengan Syeikh Rabi Hadi Madkhali juga salafi.
Imam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang 4 mereka semua salafi. Imam Bukhari dan Imam Muslim juga salafi. Kerana mereka tidak lari dari landasan Rasulullah SAW dan para sahabat.
Cukuplah tarekat sesama tarekat mengkafirkan sesama mereka. Cukuplah tabligh daerah sana telah mengkafirkan tabligh daerah sini. Salafi tidak perlu berpecah dan menyesatkan sesama salafi. Malah pecahan itu juga tidak pernah ada. Jika anda pernah dengar pecahan-pecahan itu, ketahuilah ia hanya rekaan daripada mereka yang bukan salafi untuk cuba memecah belahkan salafi.
Wallahualam
___________________________
~
Taufiq Tuah
~
Lajnah Makalah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
SyeikhNashiruddin Al-Albani tidak menganut aqidah 4 Imam Mazhab bolehkah dipanggil salafi?
ReplyDelete