Kedudukan Mualaf Dalam Islam

OLEH: Taufiq Tuah

Ada berberapa golongan yang mengatakan Mualaf ini tiada kedudukan yang baik di dalam Islam. Kononnya mualaf akan dipandang hina oleh Muslim yang lain.

Mualaf ialah golongan kafir (non-muslim) yang telah pun memeluk Islam. Dalam kata lain, mereka ialah saudara baru bagi Muslim kerana setiap Muslim itu ialah bersaudara.


BAGAIMANA KEDUDUKAN MUALAF DALAM ISLAM
Mualaf tidak pernah dianggap sebagai hina. Malah, Mereka lebih diberi perhatian dalam agama kerana mereka perlu diajar sedikit demi sedikit ilmu tentang Islam. Mereka boleh hidup bersama keluarga mereka yang kafir (non-muslim) dan boleh mengekalkan nama mereka ketika masih belum Islam. Tidak perlu menukar nama keluarga mereka dan tidak perlu melupakan jati diri mereka.

Ekonomi mereka tidak dilupakan. Mualaf ialah salah satu daripada golongan yang layak menerima zakat.  Rasulullah SAW sendiri ketika perperangan, mengutamakan golongan mualaf dalam memberi habuan perang.


MUALAF TIDAK AKAN DAPAT JAWATAN PENTING DALAM ISLAM
Bagi seorang Muslim, jawatan ialah tanggungjawab dan tanggungjawab ialah sesuatu yang berat untuk dipikul. Kebiasaannya jawatan yang tinggi akan dipilih berdasarkan Majlis Syura'.

Namun dalam sejarah Islam kita dapat lihat bahawa ramai tokoh Islam sendiri daripada golongan Mualaf. Misalnya Amirul Mukmimin Umar Al-Khatab yang menjadi Khalifah selepas Saidina Abu Bakr. Juga penama pahlawan hebat persis Khalid Al-Walid dan ramai lagi Mualaf di zaman salaf. Hatta ramai golongan salaf ialah berasal daripada agama nenek moyang dan ada juga berberapa daripada ahlul kitab (Yahudi dan Kristian).

Empayar Islam pada zaman Amirul Mukminin Umar Al-Khatab.

Di zaman ini, ramai juga pendakwah ulung antarabangsa yang berasal daripada mualaf. Misalnya Sheikh Hussein Yee. Malah kami Muslim menghormati beliau dengan penghornatan yang sangat selayaknya.

Sheikh Hussein Yee merupakan seorang pendakwah taraf antarabangsa. Berberapa kali diberi peluang untuk berceramah di dalam Peace TV milik Dr.Zakir Naik dan kini, Sheikh Hussein Yee mempunyai medium dakwahnya sendiri seperti Al-Khadeem.

MUALAF KENA SUNAT / KHATAN / POTONG
Muslim sememangnya perlu untuk berkhatan. Kajian sains juga membuktikan faedah-faedah yang banyak dalam berkhatan. Namun hal Khatan bukanlah hal utama dalam menjadi Mualaf.

Seorang Mualaf tidak akan diajar untuk "Kau kena potong! kotor tak potong". Jika ada yang buat demikian, maka itu bukanlah cara dakwah Muslim.

Mualaf akan diberi ruang dan masa dalam mengamalkan ibadah. Bermula dengan mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu dan seterusnya mengikut tatacara yang tidak mengejutkan seseorang.

Sehingga dalam bab Khatan, bahawa mualaf itu sendiri yang telah bersedia untuk dikhatankan. Sebagaimana seorang anak yang bersedia untuk dikahwinkan. Bersedia itu bermaksud, sudah rela untuk melakukan hal tersebut.

 Sebenarnya masalah 'takut' atau 'gentar' ketika berkhatan bukanlah hanya dirasai oleh Mualaf. Malah yang Muslim sejak kecil juga telah merasai perasaan sama ketika mereka berkhatan dahulu. Malah setiap Muslim pasti ada kenangan aneh dan manis ketika berkhatan dan sepanjang tempoh pantang khatan tersebut. Maka tidak perlu takut kerana memang lumrahnya begitu.


MUALAF KENA CABUT TATU
Muslim diharamkan untuk bertatu. Namun apabila seorang Mualaf itu bertatu, maka dituntut bagi mereka menanggalkannya.

Tetapi jika menanggalkan tatu tersebut boleh membawa mudarat, maka tatu tersebut dimaafkan. Misalnya mereka yang memakai taut di wajah dan di kepala mereka. Jika menanggalkannya bakal memudaratkan maka tidak perlu ditanggalkan.


JIKA MUALAF ITU BERTATU DAN TIDAK BERKHATAN, ADAKAH DIA HINA DI SISI MUSLIM?
Hal khatan, tidak akan ada orang lain akan tahu jika anda sudah berkhatan atau tidak selagi mana anda tidak memberi tahu. Maka pastilah tidak ada Muslim akan perbualkan hal tersebut.

Muslim kebiasaanya pastilah akan memahami peringkat-peringkat yang seorang Mualaf perlu jalani. Kerana Muslim selalunya mengetahui bukan mudah untuk berubah. Dan bagi Mualaf, itu sesuatu yang sangat mulia kerana mualaf memilih Islam kerana hati mereka sendiri memilihnya. Berbeza dengan Muslim yang lain kerana keyakinan iman perlu ditanam oleh ibu bapa mereka. Namun kedua-duanya ialah nikmat hidayah Allah SWT.

Oleh sebab mualaf itu memilih Islam  kerana hati mereka, maka sudah tentulah perbuatan mualaf itu lebih baik. Kerana daripada hati itu akan muncul kesungguhan dalam agama ini.

Kesimpulan utamanya ialah, Muslim dan Islam tidak pernah sesekali menghina atau memperendahkan Mualaf. Kami menganggap Mualaf juga sebagai saudara kami. Kami memberi salam kepadanya dan kami mendoakan kesejahteraannya  Tidak ada kasta di antara Mualaf dengan Muslim dari kecil. Wallahualam.

Artikel ini ditulis kerana baru-baru ini saya terdengar seorang artis bukan Islam yang berlakon menjadi Islam mengatakan "Saya mualaf selalu dipandang hina". Sedangkan kenyataan itu fitnah seburuk fitnah. Semoga produksi media menapis segala provokasi 'lembut' yang dibawa oleh golongan seperti ini.

Wallahualam
___________________________
       Taufiq Tuah
       ~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments