Penjelasan Tentang Dalil Pengharaman Cukai

OLEH: Abu Amru Radzi Othman


ISTILAH YANG DIGUNA UNTUK MENGGAMBARKAN CUKAI
Bahasa Arab terkenal memiliki nuansa, iaitu perbezaan kecil dalam sesuatu hal. Dimana hal ini kurang wujud dalam sistem bahasa Melayu. Contoh yang pernah dibawakan adalah tentang nama anak unta (rujuk pembahagian zakat ternakan). Begitu juga tentang ‘cukai’ dalam bahasa Arab dinama terdapat 3 istilah yang digunapakai iaitu:

i. Al-Usyr
ii. Al-Maks
iii. Adh-Dharibah


Dalil Pertama:
Dari Abdullah bin Buraidah dari ayahnya tentang direjamnya wanita dari suku al Ghamidiyyah setelah melahirkan anak kerana zina. Nabi saw bersabda tentang wanita tersebut, “Demi zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, sungguh wanita ini telah bertaubat dengan suatu taubat yang seandainya Pemungut maks bertaubat seperti itu niscaya Allah akan mengampuninya” (HR. Ahmad, Muslim dan Abu Daud)


Jawaban:
Hadis ini menggunakan perkataan mukus, kata terbitan dari al maks. Secara bahasa, mukus ialah pengurangan dengan penzaliman. Oleh itu mukus adalah segala pungutan yang diambil oleh makis (pemungut mukus) dari para pedagang dengan cara-cara zalim.

Imam Al-Baghawi berkata dalam kitabnya Syarh As-Sunnah: “ Yang dimaksud dengan sebutan Shahibul Maks, adalah mereka yang biasa memungut pajak dari para pedagang yang berlalu di wilayah mereka dengan memberi nama Al-Usyr”

Imam Ath-Thahawi  dalam kitabnya Syarh Ma’ani Al-Atsar berkata bahawa Al-Usyr yang telah dihapus kewajibannya oleh Rasulullah saw  atas kaum muslimin adalah cukai yang biasa dipungut oleh kaum jahiliyah”

Imam Al-Jashshash berkata dalam kitabnya Ahkamul Qur’an: “Yang dihapus oleh Rasulullah saw dari pungutan sepersepuluh adalah cukai yang biasa dipungut oleh kaum jahiliyah”.

Ibnu Hajar Al Haitami berkata tentang mukus seperti berikut: “Pelaku mukus adalah (a) petugas yang mengumpulkan zakat dan menyelewengkannya iaitu dengan memungut wang melebihi hak pembayar zakat; atau (b) atau mengurangi wang yang semestinya jadi hak penerima zakat. (Mu'jamuz Zawa'id)

Daripada huraian Ibn Hajar Al Haitami, dapat kita simpulkan mukus adalah wang ‘cukai’ yang dikutip melebihi dari kadar yang sepatutnya atau memberikan wang cukai kepada penerima dalam kadar yang kurang. Sementara itu menurut Al Baghawi menyatakan bahawa mukus adalah cukai perdagangan  import, manakala  Imam At Thahawi dan Al Jashshash  berkata bahawa mukus adalah cukai yang dijalankan oleh Arab Jahiliyah keatas barang dagangan sebanyak 10%.

Daripada takrifan diatas kita bersetuju kepada beberapa hal iaitu:

1. Mukus adalah sistem Jahiliyah
2. Mukus dikenakan secara zalim dan tidak berperikemanusiaan
3. Mukus juga boleh terjadi keatas wang zakat tatkala kita ‘zalim’ dan pecah amanah

Saya ingin mengajak semua pembaca untuk melihat ‘watak’ mukus yang digambarkan oleh Ibn Hazm dan Ibn Taimiyyah. Wataknya tidak diceritakan dengan tegas tetapi  boleh lihat isyarat yang dinyatakan dalam kitabnya Maratib Al-Ijma:

“Dan mereka (para ulama) telah sepakat bahawa para penjaga yang ditugaskan untuk mengambil wang denda (yang wajib dibayar) di atas jalan-jalan, pada pintu-pintu (gerbang) kota, dan apa-apa yang (biasa) dipungut dari pasar-pasar dalam bentuk cukai atas barang-barang yang dibawa oleh orang-orang yang sedang melewatinya mahupun (barang-barang yang dibawa) oleh para pedagang (semua itu) termasuk perbuatan zhalim yang teramat besar, (hukumnya) haram dan fasik”
 (Al-washim wal Qawashim oleh Dr Rabi Al-Madkhali)

Jika tidak silap pada pemahaman saya berdasarkan keterangan Ibn Hazm, bahawa watak mukus yang yang zalim dan warisan jahiliyah adalah seperti berikut:

- pengguna jalan dikenakan ‘tol’
- masuk ke Kota akan di kenakan ‘tol’
- semua barang yang masuk ke Pasar akan dikenakan ‘tol’
- semua barang yang keluar dari Pasar akan dikenakan ‘tol’

Mungkin sifat zalim inilah yang dimaksudkan; iaitu menindas golongan yang kurang berkemampuan dan menekan golongan yang kaya. Perkiraan ini diteguhkan lagi melalui takrifan Imam Al Baghawi yang menerangkan bahawa mukus disebut sebagau ‘Usyr.

Jika: cukai = mukus = ‘usyr,

Maka kita dapati bahawa Umar telah melaksanakan ‘Usyur yang dipraktikkan oleh Negara Kafir termasuk negara Habsyah. Abu Musa al-‘Asy’ari pernah menulis surat kepada Khalifah Umar bin Khaththab, “Sesunggguhnya para pedagang Muslim kita mendatangi negara (kafir) harbi dan mereka dipungut ‘usyr. Lalu Umar menulis balasan, “Pungut dari mereka seperti yang mereka pungut dari para pedagang kaum Muslim.”

Ibn Abi Najih telah meriwayatkan bahwa Umar bertanya kepada kaum Muslim, “Bagaimana (penguasa) Habsyah memperlakukan kalian jika kalian masuk negara mereka?” Mereka menjawab, “Mereka memungut ‘usyr.” Umar berkata, “Kalau begitu, pungut juga dari mereka seperti yang mereka pungut dari kalian.”

Tindakan Umar mengenakan ‘Usyr kepada pedangang Kafir Harbi tidak ditentang oleh para sahabat dan istilah ‘usyr tersebut tersu digunapakai  sepanjang pemerintahan beliau.  Menariknya, tidak ada ulama yang mengistilahkan ‘usyr yang ditegakkan oleh Umar sebagai Mukus yang zalim.  Dan tidak ada para ulama yang menyatakan bahawa Umar membuat dosa tatkala mewujudkan sesuatu yang telah dihapuskan oleh Rasulullah saw.

Melalui beberapa dalil yang digunapakai, kita melihat bahawa ancaman dan larangan oleh Nabi selalu berkisar kepada penggunaakn kata mukus. Intipati penghujahan disini adalah mukus berbeza dengan cukai-cukai yang dilakukan oleh para Khalifah Ar Rasyidin,Ya, mukus adalah sejenis cukai dan 'usyr dan kharaj juga adalah sejenis cukai. Tetapi terdapat perbezaan antara mereka sehingga yang dicela dan diancam neraka adalah mukus. Wallahu'alam.


Dalil Kedua:
Nabi bersabda: “Sesungguhnya Pemungut Maks masuk neraka” (Diriwayatkan oleh Ahmad dari hadits Ruwaifi’ bin Tsaabit; Al-Arna’uth berkata : Hasan lighairihi)

“Tidak akan masuk surga Pemungut Maks”
 (Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud, Ad-Daarimiy, dan Al-Haakim; Al-Arna’uth berkata : Hasan lighairihi)

Dari ‘Abdullah bin ‘Amr, ia berkata: “Sesungguhnya Pemungut Maks tidak akan ditanya tentang sesuatu sebagaimana mestinya, lalu ia dilemparkan dengannya ke dalam neraka” (Diriwayatkan Abu ‘Ubaid dalam Al-Amwaal)


Jawaban:
Dalam hadis ini jelas menunjukkan bahawa Nabi mengingatkan bahawa pemungut cukai akan diazab ke neraka. Sampaikan Imam Nawawi berkata: “Bahwasannya Pemungut Maks termasuk kemaksiatan yang sangat jelek dan dosa-dosa yang membinasakan. Hal itu dikarenakan banyaknya manusia yang kelak akan menuntutnya…” (Syarh Shahih Muslim)

Jika begitu, bermakna Umar sebagai Khalifah pertama yang memungut cukai yang dinamakan sebagai ‘Usyr dan kharaj.

Bukti pertama: Abu Yusuf dalam Al-Kharâj dan Abdur Razaq dalam Mushannaf ‘Abd ar-Razaq meriwayatkan dari Amr bin Syu’aib bahwa penduduk Mambij dan orang-orang yang tinggal di daerah Wara’a al-Bahr ‘Adn menulis surat kepada Khalifah Umar bin al-Khaththab, “Biarkan kami masuk ke negaramu untuk berdagang dan engkau ambil ‘usyr dari kami.”  Umar bermusyawarah dengan para Sahabat Rasul saw., lalu mereka bersepakat untuk menerimanya dan merekalah yang pertama kali dipungut ‘usyr-nya dalam Islam.

Bukti kedua: Ibn Abi Najih telah meriwayatkan bahawa Umar bertanya kepada kaum Muslim, “Bagaimana (penguasa) Habsyah memperlakukan kalian jika kalian masuk negara mereka?” Mereka menjawab, “Mereka memungut ‘usyr.” Umar berkata, “Kalau begitu, pungut juga dari mereka seperti yang mereka pungut dari kalian.”

Jelas mengikut riwayat yang diatas menunjukkan bahawa Umar telah memungut cukai kepada penduduk Nabth dan Al Quthniyah.

Justeru disini kita bertemu satu pertentangan yakni antara ancaman neraka bagi pemungut cukai dengan dua hal di bawah:

1. Umar adalah ahli syurga
2. Sunnah Khalifah Ar Rasyidin adalah sebuah petunjuk

Kesimpulannya adalah kembali kepada 'nuansa' diantara jenis-jenis cukai tersebut; iaitu yang diharamkan adalah yang bersifat seperti 'mukus'.



Dalil Ketiga:
“Tidak ada pungutan ‘usyr atas kaum Muslim....”
(HR al-Bukhari, Ahmad, Abu Dawud, al-Baihaqi, dan Ibn Abi Syaibah)

Jawaban:
Sesungguhnya banyak para ulama yang mempercayai bahawa Umar telah melakukan cukai ‘Usyr keatas kaum Muslimin yang melakukan proses import export. Mereka berpandukan kepada dua riwayat di bawah:

Al-Baihaqi meriwayatkan dari Anas bin Malik yang menuturkan: "Umar telah memerintahku agar aku memungut dari kaum Muslim ¼ ‘usyr (2.5%), dari ahl adz-zimmahjika mereka perdagangkan sebesar ½ ‘usyr (5 %), dan dari ahl al-harb ‘usyr(10 %)".

Ibrahim bin Muhajir telah meriwayatkan dari Ziyad bin Hudair yang berkata: "Umar mengangkatku menjadi amil untuk memungut ‘usyr. Dia menulis kepadaku agar aku memungut dari pedagang Muslim ¼ ‘usyr (2.5%), dari pedagang ahl adz-zimmah ½ ‘usyr (5%), dan dari pedagang ahl al-harb ‘usyr penuh (10%)"

Tetapi ada orang berkata bahawa 2.5% itu adalah Zakat Perniagaan / Perdagangan sehingga membawa makna kaum Muslimin tidak dikenakan ‘usyr. Hujah ini tidak kuat kerana zakat perniagaan / perdagangan tidak wujud pada zaman nabi mahupun dalam hukum syarak’.

Yang wujud adalah Zakat Urudh At Tijarah iaitu zakat atas timbunan Harta Yang Diniatkan untuk diperjual-belikan. Iaitu seorang pedangan membeli bahan harta dengan niat untuk diperdagangkan, lalu menyimpan harta tersebut sehingga setahun.

Syarah Fathul-Qadir membawakan terma zakat urudh at-tijarah:  Segala benda yang disiapkan untuk dijadikan objek jual-beli baik dari jenis yang wajib dizakati seperti unta, kambing dan sapi, atau pun bukan jenis barang yang wajib dizakati, seperti pakaian, himar dan bagal.

Dalilnya adalah berikut:  “Dari Samurah radhiyallahuanhu bahwa Nabi SAW memerintahkan kami untuk mengeluarkan zakat dari barang yang siapkan untuk jual beli”. (HR. Abu Daud)

Jadi, tatkala kita melihat kembali kepada takrifan mukus oleh Imam Al Baghawi, kemungkinan yang terkandung dalam hadis ini adalah 'mukus', bukannya 'usyr seperti yang diimplimenkan oleh Umar dan para khalifah sesudahnya seperti Uthman, Ali dan Muawiyah.





Dalil Keempat:
“Dari Abu Khair beliau berkata ; “Maslamah bin Makhlad menawarkankan tugas Pemungut Cukai kepada Ruwafi bin Tsabit ra, maka dia berkata: ‘Sesungguhnya para Pemungut Maks (diazab) di neraka”. 
(HR Ahmad dan Abu Dawud)

Imam Ad Dzahabi mengatakan: “Penarik pajak itu menyerupai para perompak jalanan. Ia termasuk pencuri. Semua orang yang terlibat dalam pemungutan pajak, seperti penulisnya, saksinya, dan pemungutnya; baik dari tentara, syaikh (sesepuh), atau orang yang berilmu, semuanya bersekutu dalam dosa. Mereka semua memakan barang yang haram…. Barang yang haram adalah setiap barang yang jelek yang jika disebutkan mengkonsekuensikan padanya aib/cela” (al Kabair)

Dari perkataan Imam Ad Dzahabi ini kita boleh membuat sebuah sifir mudah iaitu seluruh orang yang terlibat dengan cukai adalah pendosa seperti:

1.memungut cukai
2.pencatat cukai
3.ketua jabatan cukai
4. pemerintah negara yang membenarkan cukai


Jawaban:
Sementara itu kisah diatas menunjukkan bahawa Maslamah yang menjadi Gabenor Mesir mencari orang yang ingin mengisi posisi sebagai Pemungut Cukai. Sedangkan dia pula adalah seorang kakitangan kerajaan yang mendapat perintah dari Khalifah. Tanpa fikir panjang maka kita menggunakan sifir diatas lalu ditekapkan kepada:

i. Umar lantaran dia adalah Pemimpin Negara
ii. Maslamah lantaran dia Gabenor Mesir sekaligus menawarkan pekerjaan Pemungut Cukai

Sebentar! Tuduhan ini rasanya sangat melampai untuk dikenakan kepada dua orang sahabat Nabi yang mana salah seorangnya dijanjikan syurga. Perlu kita ketahui bahawa Maslamah adalah sahabat Rasulullah saw, orang kepercayaan Umar dan seorang huffaz al Qur’an. Umar mengirim 4 orang sahabat nabi termasuk Maslamah ketika Panglima Perang meminta bantuan 4000 tentera tambahan bagi membebaskan Mesir. Umar berkata “setiap daripada mereka ini mewakili 1000 tentera”.

Kita boleh saksikan bagaimana para Imam Ahlul Sunnah mencela cukai dan memasukkan pemungut cukai sebagai dosa besar. Perkataan mereka terlalu banyak dalam masalah ini, namun yang peliknya adalah mereka tidak pernah menghalakan fatwa mereka itu kepada Umar. Ini kerana mereka mengetahui bahawa mukus yang dimaksudkan itu tidak boleh dihalakan langsung kepada jenis cukai yang dibuat oleh Umar dan para Khalifah Ar Rasyidin.

Ibnu Sa’ad meriwayatkan dalam At-Thabaqat dari Salman bahawa Umar berkata kepadanya, “Apakah aku ini raja atau Khalifah?”. Salman menjawab, “Kalau engkau memungut dari negeri Muslim satu dirham, kemudian engkau gunakan bukan pada haknya, maka engkau raja, bukan Khalifah”.

Diriwayatkan dari Sufyan bin Abu Aufa, Umar bin Khattab berkata, “Demi  Allah, aku tidak tahu, apakah aku ini Khalifah atau raja, bila aku raja, maka ini masalah yang besar”. Seseorang berkata, “Hai Amirul Mukminin, sesungguhnya keduanya berbeda, Khalifah tidak akan memungut sesuatu kecuali dari yang layak dan tidak akan memberikan sesuatu kecuali kepada yang berhak. Alhamdulillah engkau termasuk kepada orang yang demikian, sedang­kan raja (zalim) akan berbuat sekehendaknya”

Konklusi dari dalil yang digunakan diatas menunjukkan bahawa Umar menawarkan pekerjaan Pemungut Cukai dan ini dilaksanakan oleh Gabenornya yang merupakan salah seorang sahabat besar juga. Apa yang boleh kita lakukan adalah menggunakan takrifan Ibn Hajar Al Haitami bagi memahami perkataan Ruwafi bin Tsabit; iaitu ketakutan dia terjatuh dalam sikap zalim tatkala mentaksir cukai atau memberikan dana cukai kepada penerima.




Dalil Lima

Ibnu Umar pernah ditanya apakah Umar bin Khaththab pernah menarik cukai dari kaum Muslimin. Beliau menjawab : “Tidak, aku tidak pernah mengetahuinya” (Syarh Ma’anil Atsar)


Bantahan:
Pertamanya saya tidak tahu perkataan yang dipakai oleh Ibnu Umar, sebab kelemahan dan keterbatasan saya, terutama di Sabah. Apapun ada dua riwayat yang telah saya bawakan tentang Umar mengenakan ‘usyr kepada Kaum Muslimin.

Kedua  adalah untuk memperkuatkan hujah maka membawakan perkataan dari Ibrahim bin Muhajir ketika dia menuturkan bahawa Ziyad bin Hudair pernah berkata: “Sesungguhnya akulah orang pertama yang memungut ‘usyr dalam Islam. Kami tidak memungutnya dari orang Muslim dan tidak pula dari orang kafir mu‘ahad.” Dia pun bertanya, “Lalu dari siapa engkau memungut ‘usyr?” Ziyad menjawab, “Dari Nasrani Bani Taghlib.”

Mereka menegaskan bahawa riwayat ini menunjukkan bahawa ‘usyr diambil bukan dari kaum Muslimin sebaliknya kafir zimmi. Tetapi sebenarnya atsar ini menunjukkan bahawa golongan yang pertama diterapkan cukai ini. Ia ibarat begini: “Kami lah guru yang pertama mengajar di sekolah ini, tidak ada yang belajar melainkan suku Banjar sahaja”. Ayat ini menunjukkan bahawa setelah berlalu masa maka suku-suku lainpun datang belajar sekali dengan Suku Banjar di sekolah tersebut.

Bukankah ayat ini jelas bahawa yang dipungut adalah dari Bani Taghlib sahaja. Lalu sepanjang sejarah pemerintahan umar, apakah ‘usyr hanya diambil dari Bani Taghlib semata-mata atau telah berkembang sistem tersebut sampai masuk ke pasar daan perbatasan negara? Bagaimana dengan riwayat yg telah saya bawakan di atas tentang ‘usyr dari Nabth?

Abdur Razaq dalam Mushannaf pula meriwayatkan dari Ibn Umar yang menuturkan bahawa Umar pernah memungut dari Nabth—gandum dan minyak zaitun—½ ‘usyr (5%) agar mereka lebih banyak membawanya ke Madinah dan dari al-Quthniyah (biji-bijian seperti Adas, Buncis) ‘usyr (10%).  Keterangan ini juga diriwayatkan oleh Ibn Abiy Syaibah di dalam Mushannaf Ibn Abi Syaibah dari Ubaidullah bin Abdullah.

Saya merasakan Nabth ini berada dalam negara Saudi hari ini dan al-Quthniyah berada di Iraq.

Ketiganya adalah tanah kharajiyah yang mana pemiliknya masuk Islam namun dia masih dikenakan cukai kharaj oleh Umar. Maknanya seorang Muslim yang mengerjakan tanah kharajiyah tetap terpaksa mengeluarkan cukai tanaman atas tanah kerajaan!



Dalil Enam:
Bahawa ulama telah berijma dalam penetapan tidak ada cukai kepada Umat Islam. Ini dinyatakan dalam Kitab Al Ijma oleh Ibnu Munzir.

Jawaban:
Pertama: Kita sedia maklum bahawa ada beberapa pengakuan ijma yang dilakukan oleh para ulama' tetapi ternyata ia bukanlah ijma'.  Sepertimana Ibnu Munzir sebutkan: "Para ulama' bersepakat bahawa kuda yang digunakan untuk berdagang, wajib dikeluarkan zakat". Walhal ada hadis Nabi yang menyebutkan "Aku telah memberi keringanan tidak mengeluarkan zakan kuda dan budak. Keluarkanlah zakat hartamu, setiap empat puluh dirham keluarkanlah satu dirham," (Hasan, HR Abu Dawud, at-Tirmidzi, an-Nasa'i, Ibnu Majah , Ibnu Khuzaimah)

Imam Syafi'e berpendapat bahawa kuda tidak wajib di zakat dengan dalil “Tidak wajib bagi seseorang mengeluarkan sedekah dalam pedang dan kudanya”(HR. Abu Hurairah)

Jika kuda dikenakan zakat kerana digunakan utk berdagang, lantas mengapa unta tidak dizakatkan walhal kafilah dagang menggunakan unta untuk menganggut barang dagangan.

Kedua: Para ulama' sejak dahulu berselisih tengang cukai yang dikenakan keatas Kaum Muslimin. Terdapat beberapa ulama yang mengatakan bahawa cukai boleh dikenakan keatas umat Islam dengan syarat-syarat tertentu.

Imam Asy-Syathiby menyatakan secara tegas: “Bila poket negara telah kosong, keperluan rakyat dan kemaslahatan umum tidak terpenuhi, roda pemerintahan tidak akan lancar kerana kurangnya pendapatan maka pemerintah yang adil dapat memungut cukai pada orang-orang yang mampu selain zakat”Kemudian sang imam berkata: "Disyaratkan keharusan itu – disisi mereka [ulama] – adalah pemerintah mestilah adil, dan perbelanjaan dari sudut pengambilan harta dan pemberian harta itu atas jalan yang dibenarkan syarak" (Al-'Itisam)

Syeikh Al-Albani mengomentari hal ini berkata:

"Dalam kesempatan inilah Imam asy Syathibi membahas diperbolehkannya mengambil cukai. Cukai yang beliau maksudkan sangat berbeza dengan cukai yang ada di zaman ini. Di zaman ini cukai adalah sebuah aturan yang dipaksakan di berbagai negeri Islam jika tidak boleh kita katakan seluruh negeri Islam kerana mengikuti orang kafir yang memang tidak mengerti aturan-aturan Allah yang tergambar pada al Qur’an dan sunah Nabi-Nya…… Cukai yang boleh diwajibkan oleh negara Islam adalah situasional dibatasi oleh kondisi tertentu yang sedang meliputi negara Islam tersebut.

Misalnya- kalau tidak salah contoh berikut ini dibawakan oleh Imam asy Syathibi- jika sebuah negeri Islam diserang musuh sedangkan dalam kantung negara tidak terdapat dana yang cukup untuk menyiapkan pasukan yang boleh mencegah serangan yang dilancarkan oleh musuh kaum Muslimin. Dalam keadaan semacam ini negara boleh mewajibkan cukai dengan besaran tertentu atas nilai tertentu yang dinilai memiliki kemampuan untuk membayar cukai yang diwajibkan atas mereka.

Akan tetapi aturan cukai itu tidak boleh dijadikan sebagai cukai yang bersifat kekal sehingga menjadi sebuah aturan yang baku. Jika sebab diwajibkannya cukai iaitu serangan orang-orang kafir dan usaha untuk membela negeri Islam telah hilang maka kewajiban membayar cukai atas kaum muslimin menjadi hilang kerana faktor pendorong diwajibkannya cukai telah hilang". (http://audio.islamweb.net/audio/index.php?page=FullContent&audioid=109346-44k)

Nampaknya syarat yang diberikan oleh Imam As Syatibi dinyatakan juga oleh Imam Al-Qurtubi seperti berikut;

1. Pemimpin tidak mementingkan dirinya dengan membebankan rakyat.
2. Dana cukai digunakan untuk dipentingkan kepada golongan yang paling berhajat.
3. Hasil cukai disamaratakan berpandukan taraf kehidupan rakyat. (Tafsir Al-Qurtubi pada Al Baqarah 2:177)

Al Ghazali dalam al-Mustashfa min ‘ilm al-ushul menyebutkan bahawa memungut cukai selain zakat pada rakyat diperbolehkan apabila diperlukan dan dompet di Baitul Mal tidak lagi mencukupi untuk keperluan negara baik untuk perang atau lainnya.Begitu juga dengan Ibnu Khaldun dimana beliau bersetuju dengan pungutan cukai dalam Mukaddimah lalu membawakan surat Tahir Bin al Husain kepada anaknya yang menjadi Gabenor:

"Oleh kerana itu sebarkanlah cukai pada semua orang dengan keadilan dan pemerataan, perlakuan semua orang sama dan jangan memberi pengecualian kepada siapapun kerana kedudukannya dalam masyarakat atau kekayaan, dan jangan mengecualikan kepada siapapun sekalipun petugasmu sendiri atau kawan akrabmu. Dan jangan kamu menarik cukai dari orang melebihi kemampuan membayarnya"

Seterusnya saya senaraikan 2 Ulama Ekonomi Islam Yang Ulung dan terkenal dalam bidang hukum iaitu Abu Yusuf dan Ibn Taimiyyah.

Abu Yusuf dalam kitabnya al-kharaj berkata bahawa semua khulafa ur rasyidin terutama Umar, Ali, dan Umar bin Abdul Aziz dilaporkan telah menekan bahawa cukai harus dikumpulkan dengan keadilan dan kemurahan, tidak diperbolehkan melebihi kemampuan rakyat untuk membayar, juga jangan sampai membuat mereka tidak mampu memenuhi keperluan pokok mereka sehari-hari.

Menurut Ibnu Taimiyah dalam Majmatur Fatawa, larangan penghindaran cukai sekalipun itu tidak adil bedasarkan argumen bahwa tidak membayar pajak oleh mereka yang berkewajiban akan mengakibatkan beban yang lebih besar bagi kelompok lain.

Akhirnya saya bawakan pandangan Syeikh Dr Umer Chapra: "Sesungguhnya tidak realiti bila sumber percukaian (pendapat) negara-negara Muslim saat ini harus terbatas hanya pada saluran cukai yang telah dibahas oleh para fuqaha. Situasi telah berubah dan mereka perlu melengkapi sistem cukai (baharu) dengan menyertakan realiti perubahan, terutama keperluan massal terhadap infrastruktur sosial dan fizik bagi sebuah negara berkembang dan perekonomian modern yang efisien serta komitmen untuk merealisasikan maqasid dalam konteks hari ini. Sambil melengkapi sistem cukai, kita perlu memikirkan bahawa sistem tersebut tidak saja harus adil, tetapi juga harus menghasilkan, tanpa berdampak buruk pada dorongan untuk bekerja, tabungan dan pelaburan, serta penerimaan yang memadai sehingga memungkinkan negara Islam melaksanakan tanggung jawabnya secara kolektif”. (Islam Dan Tantangan Ekonomi)

Justeru, kita dapati bahawa masalah ini bukanlah ijma seperti yang disangkakan sesetengah orang. Malah dengan jelas menunjukkan kebenaran perkataan Abu Yusuf bahawa para Khalifah Art Rasyidin telah melaksanakannya. Inilah hujah paling ampuh untuk membantah pengakuan 'ijma' yang bukan ijma pada hakikatnya.

Catatan:
Bagaimana jika kantung negara sentiasa berhutang dengan bank dunia? Apakah menurut As Syatibi bahawa Malaysia sudah layak untuk meminta rakyatnya mengeluarkan cukai, selain dari zakat?

___________________________
     Abu Amru Radzi Othman
      ~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments