Qunut Subuh Bukan Bidaah?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Jangan mudah membid'ahkan amalan para Salaf walaupun tidak kuat di sisi dalil seperti qunut subuh!!!!!

Ketika masih belajar (ya, lagi sekali), saya cuba mengumpulkan nama-nama ulama yang membidaahkan qunut subuh untuk mengatakan bahawa pendapat bahawa qunut subuh adalah bidaah juga muktabar dan boleh dijadikan pegangan. Namun, seingat saya, hanya tiga ulama yang berjaya disenaraikan.

Saya pelik, mengapakah terdapat ramai ulama yang tidak menyunatkan atau mensyariatkan qunut subuh, malah ia adalah pendapat mazhab Hanafi dan Hanbali, tetapi sedikit sekali ulama yang menghukumnya bidaah? Bahkan, Sufyan al-Thawri yang merajihkan pendapat tersebut mengatakan pun, "sekiranya (seseorang) berqunut semasa solat subuh maka ia baik, jika tidak berqunut pun ia baik. Saya memilih untuk tidak berqunut."

Barulah saya faham bahawa ulama tidak gopoh menghukum bidaah amalan perkara hanya kerana tiada dalil yang kuat mengatakan Nabi SAW melakukannya. Kerana adab dan warak mereka yang tinggi, mereka berusaha mengelak menggunakan kalimat "bidaah" ke atas amalan-amalan yang dilakukan oleh sahabat, tabiin, dan salaf sebelum mereka seperti ini, sebagaimana kata Imam al-Tirmidhi:

"ِAhli ilmu berselisih pendapat tentang qunut dalam solat subuh. Sebahagian ahli ilmu daripada kalangan sahabat Nabi SAW dan lain-lain berpendapat (disyariatkan) qunut dalam solat subuh."

Untuk pengetahuan kalian, saya sendiri taraddud dalam masalah ini. Pada awalnya, saya meninggalkan qunut selepas mengamalkannya seperti orang lain yang bermazhab Shafi'i. Kemudian, saya membaca hujah-hujah mazhab Shafi'i dalam risalah Syeikh Muhammad Hasan Hitu, ulama Syria yang bertajuk Kashf al-Satr 'an Sunniyyah al-Qunut fi Salah al-Fajr lalu memilih mengamalkan qunut kembali.

Selepas meneliti semula hujah mazhab Hanbali, saya kembali meninggalkan qunut. Taraddud dalam masalah ini perkara normal. Imam Taqiyy al-Din al-Subki juga pernah meninggalkan mazhab Shafi'i dalam masalah ini kerana merasakan hujahnya lemah. Namun, selepas mengkajinya lebih mendalam, beliau kembali mengamalkan qunut.

Sebab berlakunya taraddud adalah kerana terdapat banyak riwayat yang saling bercanggah dalam masalah ini. Jadi, para ulama cuba menjamakkan riwayat-riwayat ini dengan kaedah masing-masing. Ada riwayat dihukum lemah, ada yang dianggap mansuh, ada yang dianggap khusus, dan sebagainya. Memahami kerumitan memahami masalah ini, ulama memilih merajihkan satu pendapat tetapi dengan meraikan pendapat yang bertentangan.


Syeikh Muhammad b. Salih al-'Uthaymin antara yang dimaksudkan. Meskipun berpendapat qunut subuh bukan sunnah dan menyilapkan pendapat yang menyunatkannya, beliau tidak lancang mengatakan qunut bidaah. Lebih menarik, beliau menggalakkan orang yang bersolat di belakang imam yang berqunut untuk berqunut bersama, sebagai mengikut pendapat Imam Ahmad, pemimpin Ahli Sunnah dinukilkannya:

"Apabila (seseorang) solat berimamkan orang yang berqunut semasa solat subuh, maka hendaklah ia menurutinya, bahkan hendaklah ia mengaminkan doanya."

Wallahualam.


___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments