OLEH: Abu Amru Radzi Othman
CATATAN
Hadis yang mashyur di atas molek dibaca dengan hadis yang lain agar kesinambungan ceritanya lebih jelas.
Dari Ummu Salamah, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda: "Manusia akan berbalah setelah kewafatan seorang Khalifah. Seorang lelaki dari Madinah akan melarikan dirinya ke Makkah. Beberapa orang Makkah akan memaksa beliau agar menerima bai'at mereka kepada beliau di antara Rukun dan Al Maqam. Satu pasukan tentera dari Syam akan dihantar menentang beliau dan mereka akan ditelan bumi di Baida'; (padang pasir di antara Makkah dan Madinah). Apabila diketahui manusia, mereka datang berbondong dari Syam dan Iraq untuk membai'at beliau. Kemudian muncul pula seorang dari Kaum Quraish yang ibunya dari suku Kalb, menentang beliau dan akan ditewaskan; peperangan tersebut dinamakan Perang Kalb. Mereka yang tidak menyaksikan ghanimah peperangan itu adalah malang. Al-Mahdi akan membahagi-bahagikannya dan memerintah mengikut Sunnah Baginda saw. Kemudian beliau wafat dan Kaum Muslimin akan mensolatkan beliau." (Riwayat Abu Daud)
PENJELASAN
(1) Khalifah itu adalah pengganti. Manusia disebut sebagai 'khalifah di bumi' lantaran kita menggantikan makhluk sebelumnya yang menetap di sini.
Manakala Abu Bakr memakai gelar Khalifah lantaran beliau telah menggantikan Nabi dalam hal pemerintahan. Lalu sesudah itu para pemimpin umat Islam terus memakai gelar tersebut.
Oleh itu, dalam siyasah, makna khalifah adalah pengganti Nabi dalam menjalankan fungsi pemerintah dan pentadbir dalam penjagaan agama dan dunia.
Makanya istilah 'khalifah' boleh dipakai untuk pemerintah sebuah negara atau penguasa tunggal umat Islam.
Untuk membezakan dua jenis pemerintah ini, pemerintah tunggal dunia Islami dipakai istilah Khalifah Al Uzma, Imam Al Kubra atau Amirul Mu'minin.
Manakala bagi pemerintah di sesebuah negeri yang mana tidak wujud pemerintah tunggal di dalam dunia Islam, seperti yang berlaku sesudah Abbasiyah menumbangkan Damsyiq pada kurun ke 8M sehingga hari ini, maka istilah yang dipakai adalah Khalifah, Sultan, Malik (Raja), Amir dan sebagainya.
Lalu yang dipakai didalam hadis ini adalah merujuk kepada pemerintah jenis yang mana?
Apakah kata 'khalifah' di dalam hadis tersebut itu merujuk kepada 'Imam Al Kubra' atau pemerintah secara umum?
Yang nyata ia tidak bermaksud 'Khalifah Al Uzma' iaitu penguasa dunia Islam. Kerana sistem Khilafah telah lama tamat. Khalifah Al Uzma yang terakhir adalah Khalifah Marwan bin Muhammad bin Marwan atau dikenal sebagai Marwan II yang dibunuh pada 750M.
Semenjak itu, dunia Islam sudah tidak pernah bersatu dalam sebuah negara dan tidak pernah tunduk kepada seorang khalifah.
Setiap wilayah hanya mengiktiraf pemerintah mereka. Makanya ada suatu masa dimana beberapa negara yang mengistiharkan raja mereka dengar gelar khalifah, antaranya:
(1) Abbasiyah
(2) Umayyah - Andalusia
(3) Fatimiyah
Andai banyak masyarakat masih degil untuk menerima pandangan bahawa Turki Uthmaniyah itu sebagai khalifah (Al Uzma) maka mengapa mereka tidak mahu menerima pemerintah Saudi sebagai Khalifah Al Uzma padahal mereka menjadikan hadis di atas sebagai hujah.
Sebaliknya kata khalifah dalam hadis di atas adalah bermaksud umum, boleh jadi ketika itu semua wilayah Islam bersatu dibawah seorang penguasa atau ia seperti hari ini dan maknanya adalah pemimpin di sesebuah negeri.
Kita kuat percaya bahawa kaum Muslimin akan berasa berat hati untuk menerima pemerintah Arab Saudi sebagai Khalifah Al Uzma. Masakan mereka akan tunduk pada pemerintah Wahabi!
(2) Pada hadis pertama menyinggung tentang tiga putera pemerintah yang merebut jawatan berhampiran Ka'abah. Manakala pada hadis kedua pula menyebut tentang seorang lelaki Madinah melarikan diri ke Makkah saat perebutan kuasa itu.
Ini menunjukkan bahawa kejadian perebutan kuasa itu berlaku di negara yang menguasai Makkah.
Jadi sudah pastilah yang akan diramalkan oleh tukang-tukang peramal adalah Keluarga As Saud.
Jika dahulu ketika Haramain dikuasai oleh dinasti-dinasti lain semacam Mamaluk, Uthmaniyah dan Hasyimiyah, sudah pasti tukang ramal di zaman itu akan membuat asumsi terhadap para pemerintah semasa, khalifah di zaman tersebut.
(3) Telah wujud dua ramalan tentang Al Mahdi berdasarkan kewafatan raja Arab Saudi.
Yang pertama adalah waktu kewafatan Raja Faisal pada 1975. Sesudah itu Perang Lubnan meletus pada 1982 yang turut melibatkan Syria. Namun ramalan ini meleset lantaran Al Mahdi masih tidak muncul-muncul walau sudah memakan masa belasan tahun.
Lalu mereka beralih kepada ramalan yang kedua iaitu kewafatan Raja Abdullah pada 2015 yang pada ketika itu sudah berlaku 'Musim Semi Arab' atau 'Arab Spring' yang bermula semenjak 2011.
Namun malangnya tidak ada peperangan yang meletus diantara anak Ibn Saud sehingga hari ini. Perpindahan kuasa berlaku dengan lancar di Arab Saudi. Nampaknya ramalan mereka sekali lagi meleset.
Dan kita percaya si tukang-tukang ramal akan terus mengerjakan tabiat mereka pada masa akan datang. Mungkin kali ini pula adalah sesudah kemangkatan Raja Salman.
(4) Dari hadis kedua yang merupakan kesinambungan hadis pertama, dinyatakan bahawa Al Mahdi merupakan penduduk Madinah. Beliau meninggalkan kampung halaman ketika berlaku perebutan kuasa setelah kemangkatan pemerintah negara. Lalu ketika beliau di Makkah tepatnya di Masjidil Haram, maka beliau diangkat oleh beberapa orang untuk mengisi kekosongan jawatan pemerintah
Nampaknya setelah Raja Abdullah wafat pada 23 Januari 2015 sampailah hari ini yang sudah memakan masa lebih dari tiga tahun, tidak berlaku peperangan antara Putera Mahkota dan dua putera yang lain.
Malah tidak juga terjadi seorang lelaki Madinah yang melarikan diri setelah Raja Abdullah mangkat lalu dibai'at oleh beberapa orang di dalam Masjidil Haram. Tidak ada.
Juga tidak ada satu pasukan dari Syam (wilayah yang terdiri dari Palestin, Lubnan, Syria dan Jordan) yang telah datang ke Arab Saudi untuk menghancurkan pasukan Al Mahdi dan ditelan bumi. Belom ada.
(5) Apapun kita harus mengetahui bahawa Al Mahdi akan muncul di Makkah ketika kerusi pemerintahan negara yang menguasai Haramain kosong.
Lalu perbuatan Al Mahdi menerima bai'at dari beberapa orang di Masjidil Haram bukanlah satu bentuk mematahkan tongkat penguasa lantaran pada masa itu memang tidak ada penguasa!
Sebaliknya di Arab Saudi sekarang ini, semua rakyatnya mengiktiraf Raja Salman sebagai pemerintah dan kita yang diluar Arab Saudi juga mengetahui siapa raja negara tersebut.
___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Makalah Sejarah
Lajnah Makalah Sejarah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment