Sejarah Perkembangan Mazhab Aqidah

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Tulisan ini hanyalah sebuah catatan ringkas dalam menerangkan beberapa mazhab aqidah yang wujud dalam masyarakat Islam

[DI ZAMAN SALAF]
Ketika Nabi masih hidup maka Baginda telah mengajarkan segala hal-hal agama kepada para sahabatnya. Hinggakan cara tidur hatta cara beristinjak sudah dinyatakan. Apatah lagi perkara yang lebih besar dan utama, yang kerananya Baginda diutus Tuhan.

Itulah masalah keyakinan, kepercayaan, keimanan dan pegangan hati - aqidah. Serta cara mengabdikan diri secara benar kepada Tuhan Pencipta - ibadah.

Selama di Makkah, 13 tahun lamanya, yang dibebelkan hanya tauhid. Kemudian sesudah Hijrah baharulah hal-hal lain disampaikan terutama sekali perihal ibadah, disamping masalah keyakinan masih menjadi perkara utama.

Makanya para murid Baginda sudah mendapat pengajaran yang secukupnya dan memahami isi pelajaran. Merekalah golongan yang paling arif tentang Islam sesudah Nabi saw.

Mereka melihat Nabi, merenung tingkah laku Nabi, berjalan bersama siang malam malah turut bermusafir dan berdakwah.

Mereka diperbetulkan dan dibimbing. Sempat Tuhan menegur mereka yang sampai hari ini Perkataan Tuhan itu dibaca kita. Begitu juga mereka diajar oleh Jibril, malaikat yang hebat.

Lalu Nabi meninggalkan mereka setelah Islam sempurna dan setelah segala pelajaran telah diajarkan. Jadilah mereka kaum yang paling dalam ilmunya dan paling lurus jalannya.

Apa yang difahami dan diamalkan oleh mereka itu kemudiannya diwariskan kepada generasi sesudah mereka iaitu murid mereka, tabi'in.

Para tabi'in inipun menekuni pelajaran tersebut dan melazimi seperti mana guru mereka. Dan mereka juga mewariskan hal tersebut kepada murud mereka, tabiut tabi'in.

Hal ini terus berlaku, berulang-ulang ibarat gelung yang berputar. Sehingga kini segala ajaran itu masih wujud dan diwariskan dari satu generasi kepada generasi sesudahnya. Insyaallah ia akan terus bergulir sampai di zaman Al Mahdi.

Mazhab inilah yang dianut oleh para kaum Salaf dan para imam Mazhab termasuklah 4 mazhab terkenal:

- Imam Abu Hanifah
- Imam Malik
- Imam As Syafi'e
- Imam Ahmad

Keyakinan mereka boleh disemak dengan melihat beberapa karya ulama silam malah karya mereka sendiri, seperti:

(1) Aqidah At Thahawiyah - Ahnaf
(2) Muqadimah Ar Risalah Ibn Abi Zaid - Maliki
(3) Syarhus Sunnah Al Muzani - Syafi'iyah
(4) As Sunnah Imam Ahmad - Hanabilah


[MAZHAB SYIAH RAFIDHAH]
Cumanya diakhir hayat Nabi, sudah wujud bibit-bibit kesesatan. Paling utama adalah dibawa oleh Abdullah Bin Ubai Bin Salul atau Ibn Salul.

Dia adalah seorang Yahudi yang munafiq sedangkan anaknya adalah seorang Mukmin yang mulia. Daripada Ibn Salul inilah muncul pemikiran Syiah di kemudian hari.

Pemikiran Syiah mula berkembang pesat di zaman Ali dan Muawiyah. Ia terus menjalar sehingga mereka berjaya menubuhkan kerajaan di Tabaristan pada 864M yang dikenal sebagai Dinasti Alawiyah atau nama lainnya Zaidi Alid lantaran mereka merupakan Syiah Zaidiyah.

Kemudian Syiah Batiniyah mendirikan sebuah kerajaan di Al Hasa, timur Semenanjung Arab pada 899M yang dikenal sebagai Qaramitah.

Tentera Syiah Qaramitah telah menyerbu Makkah ketika musim haji di tahun 930M dan membunuh kaum muslimin dan mencampak mayat ke dalam sumur Zam-Zam. Tidak cukup membunuh, mereka mengcungkil Hajarul Aswad dan membawa pulang ke Al Hasa sekitar 20 tahun. Selama itu juga ibadah haji terhenti.

10 tahun kemudian Syiah menubuhkan sebuah lagi kerajaan yang sangat besar di Afrika, berpusat di Kaherah, Daulah Ubaidiyah atau nama lainnya Fatimiyah. Kerajaan Syiah atau Rafidhah yang terakhir dan masih wujud pada hari ini adalah Republik Islam Iran.



[MAZHAB KHAWARIJ]
Selain dari Ibn Sahul, seorang lagi yang muncul ketika Nabi masih hidup adalah Dzul Quwaishirah. Dia membangkang Nabi dan menuduh Nabi tidak adil. Lantas Nabi menyatakan bahawa dari pemikiran lelaki keding inilah lahirnya kaum Khawarij.

Uthman, menantunya Nabi dan juga sahabat Baginda dibunuh oleh Kaum Khawarij. Dan kemudian mereka menubuhkan kerajaan di Harurah.

Walaupun Harurah berjaya ditumpaskan oleh Dinasti Umayyah kelak, namun kaum Khawarij sempat mendirikan kerajaan lain di beberapa tempat.

Pada tahun 744M, dalam beberapa tahun sebelum sistem Khilafah dihapuskan oleh pemberontakan Bani Abas, wujud Dinasti Berghouata di Tamesna, Magribi. Tidak sampai 15 tahun, wujud lagi sebuah kerajaan Khawarij di Sajalmasah, Magribi yang dikenal sebagai Dinasti Madrariyah.

Kemudian tiga tahun kemudian iaitu 761M muncullah Dinasti Rustamiyah  di Aljazair. Kononnya mereka adalah pengikut sekte Ibadiyah yang masih kekal di Oman pada hari ini.






[MAZHAB MURJI'AH]
Pada masa Hajjaj menjadi Gabenor Iraq maka Ibnul Asy'ats bangkit untuk memeranginya. Ikut bergabung kepada Ibnul Asy'ats adalah sebahagian fuqaha Iraq. Peristiwa ini berlaku pada 82H/701M.

Khalifah Abdul Malik bin Marwan - salah seorang ulama Tabi'in Makkah - memberi solusi dalam perundingan dengan pasukan pemberontak namun cadangan Khalifah ditolak. Maka apa yang ditakdirkanpun berlaku dan Hajjaj berhasil menumpaskan Ibnul Asy'ats.

Nampaknya Mazhab Murji'ah tidak sempat mendirikan negara di Iraq. Setelah tewasnya pasukan Ibnul Asy'ats maka muncullah fahaman Murji'ah.

Ibn Abbas berkata: "Berhati-hatilah dengan Irja' kerana ia adalah cabang pemikiran Nasrani" (Majmu' Fatawa)




[MAZHAB QADARIYAH]
Pada zaman tabi'in juga muncul faham menolak taqdir. Kerana itu Ibn Umar menolak golongan Qadariyah dan memberi isyarat yang mereka itu terkeluar dari Islam.

Al Auza’i menerangkan tentang Mazhab Qadariyah: “Yang pertama kali mencetuskan faham menolak taqdir adalah Susan/Sinsuyah seorang penduduk Iraq. Ia tadinya seorang Nasrani lalu masuk Islam, kemudian kembali kepada agamanya semula. Ma'bad Al Juhani menimba (belajar) darinya, kemudian Ghailan bin Muslim Ad Dimasyqi menimbanya dari Ma'bad" (Syarh Ushul I'tiqad Ahli Sunnat wal Jama'ah, Al Laalika'i)

Namun mazhab Qadariyah ini berjaya dihapuskan sama sekali hingga Al Qurtubi berkata "keyakinan ini sudah musnah..." (Fathul Bari) namun banyaknya golongan yang terpengaruh dengan metoda pemikiran mereka yang meletakkan rasional aqal mendahului dari naql.

As Sam’ani - seorang tokoh mazhab Syafi'iyah berkata: "Penduduk Basrah banyak yang terpengaruh dengan faham sesat ini setelah melihat Amr bin Ubaid mengikutinya.” (Syarh Shahih Muslim, An Nawawi)

Maka metode mengutamakan aqal masih tersisa pada generasi seterusnya terutamanya di Basrah. Pada zaman Al Hasan Al Basri, seorang muridnya - Washil bin Atha' - meninggalkan kuliah beliau dan mula menekuni agama berdasarkan rasional.

Daripada dialah muncul mazhab Mu'tazilah yang kelak menjadi mazhab rasmi Dinasti Abbasiyah bermula pada masa pemerintahan Khalifah ke 7, Al Ma'mun bin Harun Al Rasyid yang bermula pada 813M dan diakhiri oleh khalifah ke 10, Al Mutawakkil.



[AL MATURIDIYAH & Al ASYA'IRAH]
Dari mazhab Mu'tazilah inilah muncul pula Mazhab Kulabiyah yang dibina oleh Abdullah bin Said bin Muhammad bin Kullab (w. 241H/855M).

Ibn Kullab berkeinginan untuk menyampaikan pemikiran Mazhab Salaf dengan menggunakan kaedah Mu'tazilah agar Mu'tazilah tewas.

Namun metode yang dia ciptakan ini akhirnya melahirkan mazhab yang lain. Di Basrah yang berada dalam wilayah Asia Barat, lahir Mazhab Al Asya'ariyah pada tahun 300H.

Manakala di Samarqand yang berada dalam wilayah Asia Tengah, muncul sedikit awal mazhab Maturidiyah yang dibawa Abu Musa (w. 333H). Khabarnya Abu Musa mengambil ajaran Imam Abu Hanifah Nu'man bin Tsabit namun dakwaan ini sukar dibuktikan.

Menurut Yaqut Al Hamawi, kedua-dua mazhab ini pernah mengalami perang berdarah di Isfahan dan Ray pada kurun ke 7H. Kedua mazhab ini didamaikan oleh Salahuddin dati Dinasti Ayubiyah.




* insyaallah jika ada kesempatan akan ditulis pula tentang kerangka aqidah mazhab-mazhab di atas.


___________________________
   Abu Amru Radzi Othman
    ~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments