Zaid Bin 'Amr Bin Nufail, Penghidup Agama Ibrahim A.S

OLEH: Zulfikar Egar


Pada zaman Arab jahiliyyah, sebelum baginda Muhammad S.A.W diangkat atau dilantik menjadi nabi dan rasul. Tidak semua orang Quraisy menyembah berhala seperti kebanyakan kaum Quraisy pada ketika itu.

Ada dikalangan mereka yang masih lagi berpegang teguh dengan ajaran agama Nabi Ibrahim A.S dan anaknya Nabi Ismail A.S. Bahkan turut berdakwah dan menyedarkan masyarakat ketika itu akan kebatilan dan kesesatan yang dilakukan.

Orang tersebut bernama Zaid bin ‘Amr bin Nufail, seorang yang seumur hidupnya selalu mencari kebenaran akan agama yang haq dan pada masa yang sama langsung tidak mempercayai agama nenek moyangnya.

Pernah mempelajari agama Nasrani dan Yahudi semasa dalam pencarian mencari agama yang haq, tetapi meninggalkan kedua-dua agama tersebut kerana tidak mententeramkan jiwanya dan menjawab segala persoalan yang menimbulkan kegelisahannya.

Berbeza dengan Waraqah bin Naufal yang memilih memeluk agama Nasrani. Zaid bin ‘Amr bin Nufail ini bukan sahaja setakat berpegang teguh kepada ajaran Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail A.S, tetapi juga begitu lantang mempertikaikan segala amalan yang bertentangan dengan ajaran Nabi Ibrahim A.S.

Zaid bin ‘Amr bin Nufail adalah orang yang begitu kuat mengingkari berbagai amalan kaum Quraisy Mekah. Beliau menjelaskan kebatilan agama nenek moyang serta sembahan berhala yang dianuti oleh kaum Quraisy.

Zaid ini berpegang dengan tauhid, meninggalkan berhala-berhala dan menjauhi kesyirikan. Meski pun begitu, beliau meninggal dunia sebelum baginda S.A.W diutus menjadi nabi dan rasul.

Diriwayatkan bahawa Zaid bin ‘Amr bin Nufail ini meninggal dunia di kala kaum Quraisy tengah merombak bangunan Kaabah, lima tahun sebelum turunnya wahyu kepada Rasulullah S.A.W.

Persoalannya siapakah Zaid bin ‘Amr bin Nufail ini?

Mempunyai pertalian kekeluargaan yang kuat dengan Umar al-Khattab R.A. Beliau dan Umar bin al-Khattab R.A berkongsi datuk yang sama iaitu Nufail.

Zaid bin ‘Amr ini adalah sepupu Umar bin al-Khattab R.A dan juga merupakan ayah kepada Said bin Zaid R.A yang termasuk salah seorang daripada 10 orang sahabat Nabi yang dijanjikan syurga.

Anaknya Said bin Zaid R.A itu pula berkahwin dengan adik Umar al-Khattab R.A yang bernama Fatimah Binti al-Khattab R.A.

Pernah satu ketika Zaid bin ‘Amr ini dilempang dan dimarahi oleh pakciknya Al-Khattab iaitu ayah Umar bin al-Khattab R.A kerana mempertkaikan perbuatan kaum Quraisy yang menyembelih haiwan-haiwan korban selain daripada nama Allah.

Bukan itu sahaja, dihasut juga beberapa orang bodoh menyakiti Zaid bin ‘Amr sehingga beliau terpaksa keluar dari kota Mekah pergi di Bukit Hira.

Pakciknya Al-Khattab turut menyuruh sekelompok pemuda Quraisy agar menghalang Zaid bin ‘Amr dari memasuki Kota Mekah.

Tetapi Zaid bin ‘Amr dapat juga pulang secara sembunyi-sembunyi.

Dalam Sahih al-Bukhari ada menceritakan kecekalan Zaid bin ‘Amr bin Nufail yang lantang menegur kesesatan kaumnya. Bahkan beliau ini juga adalah penyelamat bayi perempuan yang ingin dibunuh dengan menyelamatkan bayi-bayi malang itu dan mengasuhnya hingga besar.

Diriwayatkan Asma’ Binti Abu Bakar R.A pernah melihat Zaid bin ‘Amr bin Nufail berdiri sambil menyandarkan belakangnya pada dinding Kaabah seraya berkata: “Wahai kaum Quraisy. Demi Allah, selain aku nampaknya tiada seorang pun antara kalian yang masih berpegang dengan agama Nabi Ibrahim!” Zaid juga menebus mana-mana bayi perempuan yang mahu dibunuh oleh bapanya. Zaid akan berkata kepada si bapa yang berhasrat membunuh anaknya: “Jangan kamu bunuh bayi ini. (Serahkannya padaku kerana) Aku akan menanggung kos sara hidupnya.” Zaid akan membela bayi itu sehingga meningkat dewasa. Setelah anak perempuan itu dewasa Zaid akan menemui bapanya dan berkata: “Jika kamu mahu mengambil kembali anakmu, aku sedia menyerahkannya kepadamu. Dan jika kamu mahu aku sedia menanggung kos saraannya.”

Di kala kesesatan yang berleluasa di Mekah, beliau telah berkelana ke beberapa negeri hingga ke negeri Syam untuk mencari ajaran Agama Nabi Ibrahim A.S yang sebenar, sehinggalah beliau telah bertemu dengan seorang rahib yang mempunyai ilmu yang mendalam tentang agama atau kitab terdahulu. Beliau menceritakan tujuannya hanyalah ingin mencari ajaran agama Nabi Ibrahim A.S.

Namun rahib tersebut meminta Zaid bin ‘Amr bin Nufail kembali semula ke negeri asalnya Mekah dan mengatakan bahawa Allah akan membangkitkan tak lama lagi seorang Nabi dikalangan kaumnya sendiri yang akan melengkap ajaran agama Nabi Ibrahim A.S.

Mendengar penjelasan rahib tersebut, Zaid bin ‘Amr bin Nufail memutuskan untuk berhenti dari berkelana dan terus pulang ke kampung halamanya Mekah, untuk menanti kebangkitan seorang Nabi di sana.

Tapi sayang, hajatnya tak kesampaian. Belum sempat beliau sampai ke Mekah, Zaid bin ‘Amr bin Nufail telah dirompak dipertengahan jalan dan dibunuh.

Walaupun tidak sempat beriman di depan baginda Nabi S.A.W, namun Zaid bin ‘Amr bin Nufail telah dijanjikan syurga dan dikhabarkan oleh baginda Rasulullah S.A.W sendiri.

Sebagaimana sebuah riwayat yang diceritakan oleh Amir bin Rabi’ah semasa beliau bertemu dengan Zaid bin ‘Amr ketika zaman jahiliyyah dulu.

Amir bin Rabi’ah menceritakan bahawa Zaid bin ‘Amr pernah berkata kepadanya:

"Aku menyanggah kaumku (dalam akidah) dan mengikut agama Nabi Ibrahim dan Ismail. Mereka dahulunya bersolat ke arah kiblat ini (Kaabah). Aku sedang menunggu seorang nabi dari keturunan Nabi Ismail yang bakal diutus, namun aku belum menemuinya lagi. Pun begitu aku sudah beriman dengannya, membenar dan bersaksi atas kenabiannya. Jika umurmu panjang (Wahai ‘Amir bin Rabi’ah) maka sampaikan salamku padanya. ‘Amir menyambung: Setelah aku memeluk Islam, aku menceritakan kepada nabi perihal pesanan Zaid, baginda menjawab salamnya serta mendoakan kerahmatan untuknya seraya berkata: Aku melihatnya (Zaid bin ‘Amr) berada dalam syurga mengheret ekor bajunya (sebagai lambang kebahagiaan dan kemewahan pada orang Arab).

Wallahualam.

___________________________
Zulfikar Egar~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments