OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Berdasarkan kajian singkat, didapati agama Yahudi dan Kristian tidak mengharamkan muzik dan nyanyian. Fakta ini dijadikan bahan oleh sesetengah pihak untuk mengatakan muzik juga diharuskan di dalam Islam. Anehnya, disebutkan dalam sebahagian athar bahawa keharaman muzik termaktub di dalam Taurat. Fuqaha Hanafiyyah juga mengatakan nyanyian diharamkan dalam semua agama.
Bagi saya, sama ada muzik itu haram atau harus di sisi agama Yahudi dan Kristian, ia tidak menjejaskan hukum muzik dalam Islam. Malah, mengikut logiknya, kalaupun muzik diharuskan dalam syariat terdahulu, mengapakah muzik tiba-tiba menjadi begitu asing dalam kalangan sahabat dan tabiin, sampai kemunculannya pada zaman 'Umar b. 'Abd al-'Aziz (101 H) dianggap "bidaah dalam Islam"? (Adakah 'Umar b. 'Abd al-'Aziz tidak tahu bahawa para sahabat dan tabiin biasa bermain dan mendengar alat muzik seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak?)
Oh, ya, sekadar catatan, saya menemui dua sanad lain yang mengukuhkan lagi athar 'Umar b. 'Abd al-'Aziz tersebut, yang berbunyi "dan perbuatan kamu menzahirkan alat muzik dan seruling adalah bidaah dalam Islam." Saya juga menemui athar sahih daripada salah seorang rawi athar 'Umar b. 'Abd al-'Aziz itu, Imam al-Awza'i (157 H), katanya "kami tidak pergi ke kenduri yang ada gendang dan alat muzik."
Wallahualam.
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment