OLEH: Ustaz Muhmmad Izzat Al-Kutawi
Ada pihak mengatakan ulama salaf juga memuji ilmu kalam dengan membawakan riwayat Imam al-Bayhaqi dengan sanad yang sahih atau hasan daripada Ibnu Wahb, daripada Imam Malik, katanya:
"Ibnu Hurmuz seorang ulama yang ahli dalam ilmu kalam. Ia membantah kelompok ahli bidaah. Ia termasuk ulama yang paling menguasai masalah-masalah yang diperselisihkan oleh mereka terkait ajaran-ajaran bidaah tersebut.”
Pada saya, sebelum berhujah dengan riwayat ini, kita perlu mengetahui makna "ahli dalam ilmu kalam." Caranya mudah sahaja, kita perlu mengkaji manhaj dan peribadi Ibnu Hurmuz itu sendiri.
Persoalannya, adakah "ahli dalam ilmu kalam" itu bererti Ibnu Hurmuz menafikan sifat 'uluww kerana melazimkan tajsim dan tasybih? Adakah "mahir dalam ilmu kalam" bermakna Ibnu Hurmuz mengatakan "al-Quran itu ibarat kalam Allah yang qadim"?
Sebenarnya, tiada langsung ulama salaf yang muktabar mengatakan kata-kata itu. Semua yang menafikan sifat 'uluww dihukum mubtadi' di sisi salaf. Doktrin kalam nafsi pun mula-mula diperkenalkan oleh Imam Abu al-Hasan al-Ash'ari untuk mendamaikan konflik antara aliran Mu'tazilah dengan aliran Ahli Hadis dalam masalah khalq al-Qur'an.
Bagi saya, kata-kata Imam Malik tentang Ibnu Hurmuz itu tidak lain sama seperti kata-kata Salafi tentang Ibnu Taymiyyah. Adakah menimbulkan kemusykilan kalau mereka mengatakan "Ibnu Taymiyyah ahli dalam ilmu kalam" dengan makna beliau tahu selok-belok ilmu tersebut dan mampu menghujah golongan mutakallimin dengan laras dan bahasa ahli kalam sendiri?
Atau, kalau Salafi mengatakan "Ibnu Taymiyyah mahir ilmu kalam" bererti Salafi menuduh Ibnu Taymiyyah termasuk dalam ahli kalam seperti Imam al-Ghazali, Fakhr al-Din al-Razi, dan sebagainya? Saya rasa tidak.
Wallahualam.
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________

Comments
Post a Comment