Adakah Malaysia Negara Sekular?

OLEH: Abu Amru Radzi Othman


Ada orang bertanya sejak bila Malaysia negara Islam? Padahal perlembagaan Malaysia ialah sekular.

Ucapan ini menunjukkan betapa kita kurang arif terhadap takrif sekular dan tidak membaca perlembagaan Malaysia.

Pakar perlembagaan Prof Madya Dr Syamrahayu dalam satu ceramahnya di Masjid Naza, Seksyen 13 Shah Alam beberapa tahun lalu ada menyentuh hal ini. Jelas pada beliau, Malaysia adalah negara Islam dan bukannya negara sekular.



MAKNA SEKULAR

Oleh kerana kata ini dibawa masuk ke alam kita dari Barat, maka perlu kita lihat pengertian kata ini melalui kamus Bahasa Inggeris.

Asal perkataan sekular itu adalah dari bahasa Perancis Kuno yang diambil dari 'saecularis' dari bahasaI Latin yang dipakai oleh Kristian Latin untuk maksud 'dunia' (yang bertentangan dengan Gereja).

Sekular itu secara kasarnya adalah menerangkan perkara-perkara yang tidak mempunyai kaitan dengan agama. Secara halusnya pula wujud beberapa makna yang dapat dipecahkan pada kata sifat dan kata nama.


[Kata Sifat]

(1)(a) Berhubungan dengan hal-hal duniawi yang dibezakan dari hal-hal yang berkaitan dengan gereja dan agama; tidak suci atau religus; sementara; duniawi. Contoh muzik sekular, sekolah sekular, jurusan sekular.

(b) Atau ditandai oleh sekularisme; sekular.

(2) Ditahbiskan untuk keuskupan. Kata tahbis adalah istilah dalam agama Nasrani yang maknanya seakan disucikan -, mereka dijadikan ahli ulama dalam upacara keagamaan.

(3) Datang atau berlaku hanya sekali dalam satu zaman atau abad.


[Kata Nama]

(1) Seorang paderi /pendita - ulama - yang ditahbiskan untuk keuskupan.

(2) Seorang yang bukan agamawan - paderi / ulama; orang awam.

Kita bawakan beberapa versi kamus dengan terjemahan bebas dalam Bahasa Malaysia:


[Kamus Oxford]

1.Tidak berhubungan dengan masalah agama atau spiritual. Lawan kepada sakral (berkaitan dengan Tuhan atau didedikasikan untuk tujuan religius dan sangat dihormati).

2. Gereja Nasrani: (pendita atau paderi) tidak tertakluk kepada atau terikat dengan peraturan keagamaan; bukan kepunyaan atau hidup dalam suatu monastik atau order lain. Lawan kepada gereja biasa, contohnya Calgary Secular Church (CSC).

3. Astronomi: daripada atau menandakan perubahan perlahan dalam gerakan matahari atau planet.

4. Ekonomi: (daripada turun naik atau trend) yang berlaku atau berterusan sepanjang tempoh yang tidak terbatas.

5. Terjadi sekali setiap abad atau tempoh masa yang sama (terutama terutama mengacu pada permainan perayaan di Romawi kuno).



[Kamus Collins]

A. Kata sifat

(1) Daripada atau berkaitan dengan duniawi yang bertentangan dengan benda-benda suci.

(2) Tidak peduli dengan atau berkaitan dengan agama.

(3) Bukan dalam kawalan gereja.

(4) Dalam pendidikan dan lain-lain; (1) tidak mempunyai pertalian dengan keagamaan tertentu (b) tidak termasuk pelajaran atau perkhidmatan agama yang wajib.

(5) Golongan pendita / ulama yang tidak terikat dengan aliran keagamaan, monastik atau lain-lain order.

(6) Berlaku atau muncul sekali dalam seabad.

(7) Bertahan lama.

(8) (Astronomi) berlaku secara perlahan dalam tempoh masa yang panjang, contohnya "gangguan sekular dari orbit planet".


B. Kata nama

(9) Seorang pendita sekular.

(10) Kata lain untuk orang awam.

Dari kata sekular ini wujud beberapa terma yang berkait rapat dengan politik sekular:

1. Negara Sekular (secular state)

2. Perlembagaan Sekular (secular constitution)

3. Pentadbiran Sekular (secular government)

4. Masyarakat Sekular (secular society)

Yang akan kita melihat pada tulisan ini hanyalah negara sekular dan perlembagaan Malaysia.



NEGARA SEKULAR

Dalam sebuah terjermahan dinyatakan bahawa 'negara sekular' adalah konsep sekularisme, di mana suatu negara dikatakan secara neutral dalam hal-hal agama, tidak mendukung agama atau tidak beragama. Negara sekular juga mendakwa untuk memperlakukan semua warganegara tidak kira anutan agama, dan berusaha untuk menghindari perlakuan istimewa untuk seorang warganegara berdasarkan satu agama keatas agama lain. Negeri sekular tidak mempunyai 'agama negara' atau yang setara dengannya, walaupun ketiadaan 'agama negara', tidak semestinya bermakna negara adalah sekular sepenuhnya. Namun demikian, Negara Sekular yang tulen harus terus mengekalkan tadbir urus pemerintahan tanpa pengaruh dari golongan agama; iaitu pemisahan institusi agama dan negara.

Manakala dalam laman web National Secular Society (NSS) pula dinyatakan maksud sekularisme:

"Pemisahan agama dan negara adalah asas sekularisme. Ia memastikan kumpulan agama tidak campur tangan dalam hal ehwal negara, dan negara tidak mencampuri urusan agama..."

Negara Sekular hanya akan lahir melalui Perlembagaan Sekular. Dan untuk memastikan sesebuah pertembagaan itu benar-benar mendokong sistem sekular, ia perlu disebutkan secara jelas tentang pemisahan agama dari negara dan juga segala unsur agama tidak boleh wujud dalam tulisan perlembagaan tersebut.

Berikut adalah 10 watak sebuah Negara Sekular yang dinyatakan oleh National Secular Society (NSS).



KAREKTER NEGARA SEKULAR

1. Tidak ada agama rasmi bagi negara.

2. Kesamarataan seluruh rakyat di bawah hukum negara, sama ada yang beragama atau tidak punya agama.

3. Proses kehakiman tidak dihalang atau digantikan oleh hukum atau proses keagamaan.

4. Kebebasan bersuara tidak dibatasi oleh pertimbangan agama.

5. Agama tidak memainkan peranan dalam pendidikan yang dibiayai atau dikelola oleh negara, sama ada melalui pewujudan sekolah agama, penetapan kurikulum, penganjuran ibadat , pengajaran agama, pemilihan murid atau amalan pekerjaan.

6. Kerajaan tidak menzahirkan kepercayaan agama dan tidak campur tangan dalam penetapan doktrin agama.

7. Kerajaan tidak terlibat, membiayai atau mempromosikan aktiviti atau amalan agama.

8. Terdapat kebebasan beragama, tidak beragama dan meninggalkan atau mengubah agama.

9. Penyediaan perkhidmatan awam yang dibiayai tidak mendiskriminasi atas alasan agama, kepercayaan atau tidak punya agama.

10. Individu dan kumpulan tidak diberi keistimewaan atau tidak disenangi kerana agama atau kepercayaan mereka.



KEADAAN AGAMA DI MALAYSIA

Berdasarkan 10 ciri negara sekular diatas, jelas menunjukkan betapa Malaysia jauh sekali dari sebuah negara Sekular.

Perkara 3 (1) Perlembagaan memperuntukkan bahawa: “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan". Ini menyalahi watak pertama negara sekular.

Perkara 11 Perlembagaan pula menunjukkan bahawa kerajaan memiliki kuasa untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam, sehingga ia menyalahi karekter no (4), (6), (8) dan (10).

Di Malaysia juga wujud Mahkamah Syariah berdasarkan Akta Mahkamah Syariah atau singkatannya RUU 355. Keadaan ini menyalahi sifat no (2) dan (3). Akta ini punya tiga seksyen. Seksyen 2 menyatakan seperti berikut:

"Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurna di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi kuasa kepada orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan apa-apa perkara yang disebut satu peratu dalam Daftar II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama itu yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidak boleh dijalankan mengenai apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh lebih daripada tiga tahun atau penalti melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman itu".

Kesan dari kewujudan mahkamah syariah ini adalah adanya kadi dan petugas-petugas yang lain.

Malah di Malaysia ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) di peringkat persekutuan serta para mufti di peringkat negeri sehingga wujud agensi agama secara rasmi. Hal ini menatijahkan wujud juga pelbagai jawatan termasuk imam masjid.

Dengan adanya Menteri Hal Ehwal Agama Islam maka wujud juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Jabatan Perdana Menteri, yang berperanan sebagai agensi pusat dalam perancangan pengurusan Hal Ehwal Islam dan pembangunan ummah. Hal ini menyalahi karekter no (5), (6) dan (7).

Rentetan dari itu juga, kerajaan menubuhkan pusat pengajian agama Islam dari sekolah rendah sehingga ke pengajian tinggi. Juga Pendidikan Iskam merupakan subjek wajib dipelajari di sekolah rendah dan menengah oleh para pelajar Islam. Nyatalah ia menyanggah sifat no (5), (6) dan (7).

Untuk lebih jelas, boleh dibaca Perlembagaan Malaysia termasuk segala jadual yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan. Contohnya Jadual Keempat [Perkara 37] - Sumpah Jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan Jadual Keenam [Perkara 43 (6), 43B (4), 57 (1A) (a), 59 (1), 124, 142 (6)] - Bentuk Sumpah dan Ikrar.



SEKULAR DALAM PEMAHAMAN DANGKAL

Ketahuilah wahai para kaldai dan baghal, bahawa antara negara yang menjalankan falsafah Sekularisme adalah Amerika Berserikat.

Di sana, adalah terlarang seorang guru mengaitkan apa-apa ilmu dan pengajaran kepada agama.

Seperti ketika seorang guru biologi membahas tentang manusia; di haramkan untuk membahas pandangan agama Kristian dan agama-agama lain.

Jika di dapatkan hal ini berlaku maka hukuman akan di jalankan kepada guru tersebut.

Justeru wahai para kaldai dan baghal; bagaimana kalian boleh mengatakan bahawa Malaysia adalah negara Sekular dan Kerajaan memegang dasar sekularisme?

Bukankah di Malaysia subjek agama Islam adalah pendidikan yang diajarkan oleh Kerajaan.

Kemudian kerajaan mendirikan lembaga dan badan2 agama seperti Tabung Haji, ILIM, UIAM dan banyak lagi.

Dan bukti paling nyata adalah Perlembagaan Malaysia yang acap kali menyebut tentang Islam serta lafaz-lafaz Islami dalam pertabalan Agung dan wakil-wakilnya termasuk para menteri.

Apakah wahai para kaldai dan baghal; ketidak mampuan kerajaan dalam melaksanakan Hudud menjadi dalil bahawa Negara Malaysia adalah sekular dan kerajaan sekular dan parti pemerintah pun sekular?

Jika begitu pastilah Ikhwanul Muslimin yang kalian cintai dan banggakan itu pun sekular lantaran Morsi pun tidak mahu menegakkan Hudud di Mesir.

___________________________
~Abu Amru Radzi Othman~
Lajnah  Agama
_____________________________

Comments