OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Imam al-Sayuti yang merupakan salah seorang ulama yang menjadi pegangan umum dalam menilai taraf hadis sebenarnya mutasahil. Kata Syeikh Ahmad al-Ghumari (1380 H):

Kemudian, beliau menyebutkannya di dalam kitab ini yang merupakan antara kitab terakhir yang beliau karang sama ada kerana lalai dan lupa – dan begitulah berat sangkaannya – atau kerana perubahan pandangan dan penelitian beliau.
Antaranya (hadis-hadis yang beliau masukkan dalam al-Jami' al-Saghir itu) hadis-hadis yang beliau tidak menyangka kepalsuannya kerana beliau mutasahil yang teramat sangat.
Oleh itu, beliau hampir-hampir tidak menghukum hadis sebagai palsu melainkan kerana terdesak ketika berhujah dengan lawan dan membatalkan dalilnya serta (ketika) menulis bagi mengingkari makna yang ditunjukkan oleh hadis itu sebagaimana yang dilakukan beliau terhadap hadis “sesiapa mengatakan aku alim maka ia jahil” dan sebagainya.
Adapun selain daripada itu, beliau bertasahul dalam mendatangkannya malah dalam berhujah dengannya juga. Bahkan, beliau melakukan benda pelik yang dihairankan boleh berlaku kepada orang sepertinya.”
[Al-Mughir ‘ala al-Ahadith al-Mawdu’ah fi al-Jami’ al-Saghir (1402 H); Beirut: Dar al-Ra’id al-‘Arabi; h. 5-6]
Catatan ini dipetik daripada mukadimah kitab himpunan hadis palsu daripada hadis-hadis yang dimasukkan oleh Imam al-Sayuti dalam kitab al-Jami' al-Saghir yang disyaratkan beliau bersih daripada riwayat rawi-rawi kadhdhab dan pemalsu hadis.
Menurut Syeikh Ahmad al-Ghumari, sebaliknya yang berlaku, al-Sayuti telah memasukkan sejumlah besar hadis yang palsu sama ada kerana lupa, perubahan pendapat, atau kerana beliau sendiri tidak tahu tentang kepalsuannya.
Bahkan, menurut ulama hadis sufi ini juga, Imam al-Sayuti seorang yang sangat bertasahul; (bermudah-mudahan) bukan sahaja dalam meriwayatkan malah dalam menggunakan hadis palsu sebagai dalil. Beliau juga sangat sukar menghukum hadis sebagai palsu.
Ini menunjukkan Imam al-Sayuti seorang mutasahil dalam bermuamalat dengan hadis palsu. Oleh yang demikian, penerimaan atau pembelaan beliau terhadap sesuatu hadis yang dihukum oleh ulama lain sebagai palsu atau terdapat rawi kadhdhab pada sanadnya tidak boleh dijadikan pegangan sama sekali.
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment