OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Mula Jun tahun lalu, ramai yang memperkatakan tentang drama Nur yang disiarkan di TV3. Saya ketika itu hanya sempat menonton drama ini beberapa minit, semasa kebetulan berada di depan TV di rumah mentua awal Ramadan, sebelum masuk bilik kerana benci dan bosan. (Tahun ini saya terselamat kerana tidak terserempak langsung dengan sambungannya, Nur 2.)
Terus terang saya beritahu, saya benci drama Islamik (bukan Islam) begini. Ia sama seperti filem 7 Petala Cinta, Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan drama Cinta Madinah, Tahajjud Cinta, Warkah Cinta Berbau Syurga, dan Sahara. Semuanya pada hakikatnya mempermainkan, mempersendakan agama dan orang agama.
Penerbit pastinya tahu pandangan agama tentang aurat, ikhtilat, dan sebagainya - malah begitulah gambaran orang agama yang ditonjolkan dalam filem dan drama mereka - menjaga aurat, bersentuhan dengan ajnabi, tetapi mereka tanpa segan silu melanggarnya untuk menghasilkan drama yang kononnya "Islamik", untuk tontotan umat Islam, khas selepas terawih pada bulan Ramadan ini!
Selain itu, apabila kita mewatakkan seseorang, maknanya rasa hormat kita kepadanya sudah hilang. Itulah antara sebab ulama bersepakat melarang perbuatan berlakon sebagai nabi atau sahabat. Maka, apabila ahli agama, wanita bertudung labuh dan berpurdah, dan lelaki berjubah dan berserban diwatakkan, sedikit sebanyak hormat orang awam terhadap mereka terhakis.
Orang agama tidak suci, tetapi imej mereka adalah imej agama yang perlu dijaga. Mendramakan kehidupan orang agama, menjadikan perwatakan mereka sebagai hiburan hanya merosakkan imej agama pada pandangan masyarakat. Paling kurang, mereka beranggapan, begitulah bercinta cara Islam, cara ustaz bergaul dengan ustazah, dan sebagainya.
Dan, kalau diambil kira perbuatan mereka menggambarkan ahli agama sebagai jumud, kolot, itu haram ini haram, munafik, gila seks, menerakakan orang, dan bersangka buruk kepada pelacur mengikut perspektif orang jahil seperti mereka, pastinya apa yang cuba saya sampaikan ini lebih jelas.
Mungkin sebilangan manusia merasakan, drama dan filem Islamik ini baik untuk dakwah, mendekatkan masyarakat dengan kehidupan orang agama. Bagi saya, semua itu karut, kerana dakwah dengan cara yang mungkar hanya menatijahkan kemungkaran. Lihatlah Ayat-Ayat Cinta yang kononnya filem dakwah, yang jahat tidak menjadi baik, heroinnya yang Islam pula menjadi murtad!
(Ini ulasan umum saya untuk Nur tahun lalu. Nur 2 tahun ini pula, daripada ulasan dan komen pengguna Facebook yang singgah di dinding saya, rasanya lebih negatif.)
Ilmu rumah tangga diambil daripada al-Quran, sunnah, dan kalam ulama bukan majalah Wanita, halaman Kisah Rumah Tangga, drama Nur 2, atau status-status mak cik-mak cik dan kakak-kakak bawang yang jahil hukum-hakam.
Jika ustaz-ustaz hari ini tidak boleh dipercayai kerana kononnya cenderung untuk memihak kepada lelaki demi kepentingan peribadi, carilah ulama yang tidak dan enggan berkahwin sepanjang hidupnya seperti Imam al-Nawawi dan Ibnu Taymiyyah.
Hindari membaca kisah-kisah rumah tangga yang gagal kerana biasanya ia ditambah perencah untuk mendatangkan rasa simpati dan marah, sebaliknya pelajari hukum-hakam dan cari hikmah dan keindahan di sebalik setiap pensyariatan.
Semakin banyak ilmu ditambah, semakin tenanglah jiwa dan semakin kuranglah rasa untuk membawang dan melatah.
Wallahualam
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
aslkum...saya dah tonton keseluruhan episod drama warkah cinta..dan pada pandangan saya...inilah antara naskhah terbaik diantara drama atau filem yang saudara labelkan sebagai negatif tu...
ReplyDelete