Hukum Tasybik (Menyilang Jari-Jemari)

OLEH: Ustaz Idris Bin Sulaiman


Dalam permasalahan tasybik, perlu dibezakan antara:

1. Menyilang jari secara umum

2. Menyilang jari dalam kedudukan seperti meminta dan berharap (berdoa) secara khusus.

Keadaan yang pertama tidak boleh dikatakan seperti keadaan yang kedua memandangkan bahawa perbezaannya jelas dari segi kedudukan tangannya dan juga rupanya.

Sebagai contohnya untuk lebih faham, bukan semua orang yang menghimpunkan kedua tangannya dikatakan sedang berdoa. Hanya jika dia mengangkat kedua tangannya itu ke atas dalam keadaan menadah dapat dikatakan bahawa dia sedang dalam keadaan berdoa.

Contoh kedua, maklum bahawa orang-orang Kristian apabila pergi ke Gereja mereka akan duduk di atas kerusi-kerusi bangku yang disediakan. Ini yang mereka warisi sejak turun temurun.

Adakah benar jika ada yang mengatakan bahawa duduk di atas kerusi bangku adalah haram kerana ia menyerupai orang-orang Kristian dalam gereja?

Saya kira tiada sesiapa yang berkata begitu.
Maka begitulah juga dengan perbuatan tasybik.

BUKAN semua orang yang melakukan tasybik telah menyerupai orang Kristian.

Hanya jika dia melakukan tasybik dengan mengangkat kedua tangannya dalam kedudukan seperti meminta dan berharap dapat dikatakan bahawa dia telah menyerupai orang Kristian.

Pembezaan ini penting agar penghujahan kita menjadi benar dan konkrit, di samping dapat kita bersikap adil dan tidak menghukum secara pukul rata.

Perbuatan tasybik DITEGAH apabila seseorang itu sedang solat ataupun ketika menuju ke masjid dan ketika menanti solat.

Ini sebagaimana dalam sabda Nabi sallalahu alaihi wassalam:
"Sekiranya seseorang kamu berwuduk dan dia mengelokkan wuduknya, kemudian dia keluar untuk solat maka JANGANLAH dia melakukan TASYBIK kerana sesungguhnya dia DALAM solat."


Riwayat Abu Daud dan disahihkan oleh Syeikh Al-Albani rahimahullah.

Yakni dia seolah-olah dalam keadaan solat dari segi mendapat ganjaran pahala, maka wajarlah dia menjaga batasan solat seperti jika dia benar-benar sedang solat.

Adapun SESUDAH salam atau ketika di LUAR SOLAT maka TIADA TEGAHAN melakukan tasybik.

Dalam kisah Dzulyadain radhiallahu anhu dalam riwayat Bukhari dan Muslim, disebutkan bahawa Nabi sallalahu alaihi wassalam memberi salam, kemudian baginda menuju ke sebuah tiang dan bersandar padanya seperti seorang yang sedang marah, seraya meletakkan tangan kanan atas kirinya, dan BAGINDA MELAKUKAN TASYBIK menyilang-nyilang antara jari-jemari tangannya... "

Perbuatan Nabi ini menguatkan pandangan yang mengatakan bahawa tasybik HANYA DITEGAH ketika DALAM SOLAT atau ketika SEDANG MENANTI SOLAT.

Sallamakumullah

___________________________
~Ustaz Idris Bin Sulaiman~
Pendakwah Bebas
_____________________________

Comments