OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Cuma, terdapat perbezaan antara mafhum tahniah di sisi kebanyakan umat Islam dengan mafhum tahniah di sisi masyarakat Melayu. Orang-orang Melayu menyangka, tahniah adalah mengucapkan perkataan "tahniah". Hakikatnya, tahniah lebih umum. Semua ucapan yang yang bersifat memuji, menggembirakan, dan doa kepada orang yang mendapat nikmat dikira tahniah. Akan tetapi, yang menjadi amalan adalah bertahniah dengan ucapan doa sebagaimana yang diucapkan oleh Rasulullah SAW kepada ‘Abd al-Raḥmān b. ‘Awf sempena perkahwinannya.
Tidak ada ucapan khusus tahniah sempena kelahiran bayi. Bagaimanapun, sebahagian ulama seperti Shāfi’iyyah sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Nawawī dalam al-Adhkār menyukai tahniah yang kononnya diucapkan oleh al-Ḥusayn b. ‘Alī RA, iaitu:
بَارَكَ اللهُ لَكَ فِي المَوْهُوبِ لَكَ وَشَكَرْتَ الوَاهِبَ وَبَلَغَ أَشُدَّهُ وَرُزِقْتَ بِرَّهُ.
"Semoga Allah memberkatkan anugerah itu (bayi) kepadamu, semoga engkau berterima kasih kepada pemberi anugerah, semoga (bayi) sempat besar/panjang usianya, dan semoga engkau dikurniakan kebaikannya (kepada orang tuanya)."
Athar ini diriwayatkan oleh Ibnu al-Ja’d daripada al-Haytham b. Jammāz bukannya daripada al-Ḥusayn b. ‘Alī tetapi daripada al-Ḥasan al-Baṣrī. Ibnu Abī al-Dunyā dalam al-’Iyāl juga meriwayatkannya daripada Ibnu al-Ja’d. Dalam sebuah kisah, al-Ḥasan al-Baṣrī menyarankan seorang lelaki supaya menggantikan ucapan tahniah sempena kelahiran yang diucapkannya dengan ucapan berikut:
شَكَرْتَ الْوَاهِبَ وَبُورِكَ لَكَ فِي الْمَوْهُوبِ وَبَلَغَ أَشُدَّهُ وَرُزِقْتَ بِرَّهُ.
"Semoga engkau berterima kasih kepada pemberi anugerah, semoga anugerah itu (bayi) diberkati kepada engkau, semoga (bayi) sempat besar/panjang usia, dan semoga engkau dikurniakan kebaikannya (kepada orang tuanya)."
Walau bagaimanapun, murid al-Ḥasan al-Baṣrī bernama al-Haytham b. Jammāz munkar al-ḥadīth seperti yang disebutkan oleh Aḥmad dan Abū Ḥātim. Al-Nasā’ī pula mengatakannya matrūk al-ḥadīth. Oleh itu, athar ini ḍa’īf jiddan. Al-Sayūṭī dalam Wuṣūl al-Amānī menyandarkannya kepada Ibnu ‘Asākir. Namun begitu, athar ini diriwayatkan juga daripada al-Ḥasan al-Baṣrī dengan sanad yang lebih baik tetapi dengan lafaz:
جَعَلَهُ اللَّهُ مُبَارَكًا عَلَيْكَ وَعَلَى أُمَّةِ مُحَمَّد صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
"Semoga Allah memberkatkannya kepadamu dan kepada umat Muḥammad SAW."
Athar ini diriwayatkan oleh al-Ṭabarānī dalam al-Du’ā’ daripada Yaḥyā b. ‘Uthmān b. Ṣāliḥ daripada ‘Amr b. al-Rabī’ b. Ṭāriq daripada al-Sarī b. Yaḥyā daripada beliau. Yaḥyā b. ‘Uthmān ṣadūq seperti yang dinaskan oleh Shu’ayb al-Arna’ūṭ dan Bashshār ‘Awwād. Beliau dikecam kerana meriwayatkan tanpa merujuk kepada catatan yang dibuatnya sehingga tersilap meriwayatkan beberapa hadis yang munkar. Rasanya athar ini termasuk dalam catatan beliau apatah lagi beliau meriwayatkannya secara taḥdīth. Oleh itu, athar ini hasan dan berkemungkinan sahih. Syeikh ‘Alī al-Ḥajūrī menghukumkannya hasan.
Selain daripada al-Ḥasan al-Baṣrī, athar ini juga diriwayatkan oleh al-Ṭabarānī dalam al-Du’ā’, Ibnu Abī al-Dunyā dalam al-’Iyāl, dan Abū Nu’aym dalam Ḥilyah al-’Ulamā’ daripada daripada Khālid b. Khidāsh daripada Ḥammād b. Zayd daripada Ayyūb al-Sakhtiyānī. Khālid b. Khidāsh ṣadūq yukhṭi’ sebagaimana kata Ibnu Ḥajar dan penilaian ini bertepatan dengan penilaian-penilaian ulama-ulama lain yang berlegar-legar di antara thiqah, ṣadūq, lā ba’sa bi-hi, thiqah rubbama waham, dan seumpamanya. Oleh itu, athar ini dianggap hasan dan ini adalah pendapat al-Ḥajūrī dan Syeikh Usāmah Ālu ‘Aṭwah.
Sebenarnya, ucapan-ucapan yang dinukilkan daripada ulama-ulama salaf ini bukanlah lafaz yang digalakkan diucapkan untuk umat Islam secara khusus. Ini cuma contoh bagaimana mereka mengucapkan tahniah. Ruang terbuka luas untuk memilih bentuk tahniah yang sesuai untuk dihadiahkan kepada ahli keluarga, kaum kerabat, teman taulan, dan kenalan-kenalan. Demikian juga jawapannya. Al-Nawawī pula mencadangkan lafaz-lafaz seperti berikut:
بَارَكَ اللهُ لَكَ/عَلَيْكَ.
"Semoga Allah memberkatimu."
جَزَاكَ اللهُ خَيْرًا.
"Semoga Allah memberi balasan kebaikan kepadamu."
رَزَقَكَ اللهُ مِثْلَهُ.
"Semoga Allah mengurniakan seumpamanya (seperti yang diucapkan olehmu)."
أَجْزَلَ اللهُ ثَوَابَكَ.
"Semoga Allah melimpahkan ganjaran kepadamu."
Kesimpulannya, tidak ada lafaz tahniah khusus sempena kelahiran. Wallahualam.
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment