OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Kerana Nabi Muhammad SAW adalah manusia yang paling dicintai dan mencintai Allah, maka Allah mengajar, “sekiranya kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku (Nabi Muhammad), pasti Allah akan mencintai kamu.”
Dan demikian juga, kerana para sahabat adalah manusia yang paling mencintai Nabi Muhammad – sebagaimana kata ‘Umar b. al-Khaṭṭāb RA, “demi Allah, engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri” – maka merekalah yang paling patut diikuti dan dituruti oleh orang-orang yang mahu mencintai baginda.
Para sahabat mencintai baginda dengan cara yang disukai, bukan dengan cara yang “dirasakan” akan disukai oleh baginda, atau dengan cara yang disukai oleh orang lain. Oleh itu, walaupun sesuatu itu zahirnya sebuah penghormatan, namun jika diketahui baginda tidak suka, mereka tidak akan melakukannya.
Imam al-Tirmidhī meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Anas b. Mālik RA, katanya:
لَمْ يَكُنْ شَخْصٌ أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَكَانُوا إِذَا رَأَوْهُ لَمْ يَقُومُوا لِمَا يَعْلَمُونَ مِنْ كَرَاهِيَتِهِ لِذَلِكَ
“Tiada manusia yang lebih dicintai (dalam riwayat lain: lebih suka untuk dilihat) oleh mereka (sahabat) daripada Rasulullah SAW. Mereka apabila melihat baginda, tidak berdiri kerana tahu bahawa baginda tidak menyukainya.”
Dalam riwayat Imam Aḥmad dengan sanad yang hasan atau sahih daripada Buraydah al-Aslamī RA, ketika menyambut kepulangan Rasulullah SAW dari sebuah peperangan, seorang hamba perempuan tidak terus memukul kompang, tetapi meminta izin terlebih dahulu daripada baginda. Selepas baginda menjawab:
إِنْ كُنْتِ فَعَلْتِ فَافْعَلِي وَإِنْ كُنْتِ لَمْ تَفْعَلِي فَلَا تَفْعَلِي.
“Jika engkau telah melakukannya (bernazar) maka lakukanlah (memukul kompang) dan jika tidak jangan lakukannya,”
Barulah dia memukulnya.
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment