Wahdatul Wujud Di Tanah Acheh Dan Banjar

OLEH: Abu Amru Radzi Othman


Andai di Acheh ada Syeikh Ar Raniri melawan faham wahdatul wujud yang dibawa oleh Hamzah Al Fansuri yang diteruskan oleh Syamsuddin As Sumatrani, maka di Banjar pula Syeikh Arsyad Al Banjari melawan faham yang sama yang dibawa oleh Abdul Hamid Abulung.

Bezanya adalah Ar Raniri tidak pernah bertemu muka dengan As Sumatrani sebabnya As Sumatrani telah terbunuh pada perang melawan Peringgi di Selat Melaka pada tahun 1630M. Manakala Ar Raniri hanya datang ke Acheh pada tahun 1637M. Demikian itu bermakna mustahil pula untuk bersemuka dengan Hamzah yang meninggal lebih awal.

Sedangkan Arsyad Al Banjari dan Abdul Hamid Abulung dikatakan bersama-sama dihantar ke Makkah oleh kerajaan Banjar bagi menyambung pelajaran. Tidak diketahui apakah mereka berdua belajar pada guru yang sama atau tidak. Malah senarai para guru beliau juga ditemukan lantaran Abdul Hamid Abulung tidak meninggalkan sebarang karya tulis.

Sekembalinya dari Makkah maka Abdul Hamid mula mendakwahkan ajaran Wahdatul Wujud. Lalu ketika Arsyad Al Banjari menjadi mufti, maka difatwakan ajaran Wahdatul Wujud ini sesat dan Abdul Hamid ini telah kafir.

Seterusnya Sultan Tahmidullah II (1785-1808 M) memerintah hukum bunuh keatas Abdul Hamid. Khabarnya dia dimasukkan dalam kurungan besi lalu di tenggelamkan dalam sungai. Ada pandangan yang menyebut bahawa Abdul Hamid mati di tombak.

Antara kata-kata Abdul Hamid adalah:

"Tiada yang maujud melainkan hanyalah Dia, tiada aku melainkan Dia, Dia adalah aku dan aku adalah Dia"

Ada yang menyebutkan bahawa Syeikh Arsyad tidak terlibat dalam keputusan membunuh Abdul Hamid.

Setelah masa berlalu, Sultan Tahmidillah II menyesal kerana membunuh Abdul Hamid lalu dibangunkan sebuah masjid di desa Sungai Batang, Daerah Martapura Barat. Sepertinya Sultan Tahmidillah II mula menerima fahaman Wahdatul Wujud.

Tentang Ar Raniri pula dimana beliau dilihat tidak konsisten dalam masalah wujudiyah. Ini kerana beliau menerima Ibn Arabi, Hallaj, Abi Yazid Al Bustami dan tokoh sufi yang lainnya dalam Fathul Mubin alal Mulhidin yang ditulis sesudah keluar dari Acheh.

Ucapan 'syathahat' dari para tokoh ini diterima oleh Ar Raniri sebaliknya kata-kata 'syathahat' dari Hamzah dan Al Sumatrani dianggap kufur.
Contohnya Ar Raniri berkata "dan Hallaj itu pun syahid fi sabilillah jua" dalam kitab yang dia tulis sesudah keluar dari Acheh setelah tewas kepada Saiful Rijal orang Minangkabau yang pulang ke Acheh dari pengasingan di Surat, India.

Dalam perdebatan ini, Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah lebih memihak kepada argumentasi Saiful Rijal ketimbang Ar Raniri. Yang akhirnya Ar Raniri kembali ke kampung halamannya dan Saiful Rijal ditabal menjadi mufti.

Hal ini menandakan ajaran Wujudiyah kembali mendapat tempat di Acheh dan aliran sufi neosufisme yang dibawakan oleh Ar Raniri hanya sempat bertapak sekitar 7 tahun.

Ar Raniri yang di Ranir India ini masih menyebarkan pemikirannya kepada masyarakat di Acheh sehingga Abdur Rauf yang berasal dari Sinkel menerimanya namun menggabungkan kedua-dua aliran sufi yang pernah ada di Acheh: wujudiyah milik Hamzah Fansuri dan neosufisme milik Ar Raniri.

Pada tahun 1661, Al Sinkili dilantik sebagai hakim agung, Kadi Malikul Adil setelah dia sampai di Acheh dari Hijaz. Al Sinkili keluar dari Acheh menuju ke Timur Tengah pada tahun 1642 dan pulang ke kampung halaman semasa pemerintahan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin.





-------------------------------

Nota:

(1) Syathahat adalah ungkapan perasaan para sufi yang bergelora yang mana uangkapan itu tidak keruan, ketika pertama kali memasuki gerbang ilahi yang mana perkataan yang dilafazkan itu menyalahi syarak.

(2) Fahaman Wahdatul Wujud menyalahi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bertentangan dengan ajaran Islam dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tahun 2000. Mufti Johor, Syed Alawi Tahir Al Hadad berfatwa: "Mengikut pendapat ijma ulama' fahaman Wahdatul Wujud adalah kufur. Sesiap yang mempercayai dan mengamalkan adalah murtad. Jika fahamn pengamal tersebut mempunyai isteri, isterinya tertalak dan anaknya adalah anak luar nikah dan hartanya hendaklah diserahkan kepada Baitulmal".

(3) Hamzah Fansuri, Al Sumatrani, Ar Raniri dan Al Sinkili adalah penganut ajaran sufi yang berbeza tarikat.

(4) Acheh mengalami 3 aliran sufi dari zaman Hamzah sehingga zaman Al Sinkili iaitu aliran Wujudiyah, Neosufisme dan Neo-Wujudiyah milik Al Sinkili.

Rujuk:
(1) Islam Dalam Arus Sejarah Indonesia, Jajat Burhanudin
(2) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tahun 2000.


___________________________
~Abu Amru Radzi Othman~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments