OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Setiap daripada kita tentu mempunyai kemusykilan-kemusykilan seperti ini. Para sahabat juga pernah menghadapi perkara yang sama. Semasa peristiwa Ḥudaybiyyah, sebahagian sahabat tidak berpuas hati dengan perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dengan kaum musyrikin. ‘Umar b. al-Khaṭṭāb RA menyampaikan kemusykilannya, “Rasulullah, bukankah kita di atas kebenaran, sedangkan mereka di atas kebatilan?”
Kata Sahl b. Ḥunayf RA, bahawa ketika itu, “kalau aku mampu menolak perintah Rasulullah SAW, tentu aku sudah menolaknya.” Tidak lama kemudian, selepas melihat perkembangan demi perkembangan yang memihak kepada umat Islam dengan kemuncaknya kejayaan menakluk Kota Mekah, barulah mereka memahami hikmah di sebalik keputusan Rasulullah SAW. Kerana peristiwa itulah, Sahl mengatakan:
يا أيها الناس اتهموا رأيكم على دينكم.
“Wahai manusia, bersangka buruklah dengan akal fikiran kamu terhadap agama kamu.”
Pada hari ini, persoalan mengapa lelaki dibenarkan bersetubuh dengan hamba sahaya sudah terjawab. Saya pula terasa tidak masuk akal jika hamba sahaya tidak boleh disetubuhi oleh tuannya, sedangkan perkara itu makruf dan diterima umum di seluruh dunia pada zaman tersebut.
Jawapan kepada persoalan mengapa hamba perempuan tidak perlu berhijab pula mula difahami. Mungkin Allah mahu memberikan keringanan kepada hamba-hamba perempuan yang sudah menderita kerana ditakdirkan kehilangan kemerdekaannya, atau Allah ingin mengangkat kedudukan hijab? Wallahualam, tetapi yang pastinya, semua yang disyariatkan oleh Allah mempunyai hikmahnya.
Saya yakin, jawapan demi jawapan dan hikmah demi hikmah di sebalik syariat akan kita peroleh dengan sabar, sangka baik, dan kegigihan dalam menuntut ilmu. Kita harus mengambil iktibar daripada kisah Nabī Mūsā dengan Khaḍir AS, di mana pada akhirnya kata Khaḍir:
هَذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ تَسْتَطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا.
“Inilah perpisahan antara aku dengan kamu. Akan daku terangkan kepadamu penjelasan perkara yang engkau tidak mampu bersabar untuk mengetahuinya.”
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment