OLEH: Zulfikar Egar
Hinggakan para sahabat ada yang beranggapan jiran ini pun akan mewarisi pusaka disebabkan banyak hadis yang mengingatkan akan hak-hak jiran.
Ini berdasarkan sepotong hadis ini:
"Jibrail sentiasa berpesan kepadaku agar menjaga hak-hak jiran sehingga aku menyangka seorang jiran bakal mewarisi harta jirannya."
[HR. Bukhari & Muslim]
Bukan itu sahaja, ancaman kepada sesiapa yang membuatkan jirannya tidak tenang atau terganggu kerananya, amat besar ancamannya berdasarkan dari sebuah hadis;
"Pada suatu hari Rasulullah S.A.W bersumpah sebanyak tiga kali yang bermaksud: Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman!
Apabila ditanya, siapakah yang baginda S.A.W maksudkan? Baginda S.A.W menjawab:
Seseorang yang jirannya tidak berasa aman dan tenang disebabkan perangai jahatnya."
[HR. al-Bukhari & Muslim]
Antara tindakan jahat dan buruk seseorang yang boleh menyebabkan jirannya terganggu selain membuang sampah atau meletakkan kenderaan di kawasan atau depan pagar rumah jiran sehingga mengganggu laluan keluar masuk ke rumahnya, buat bising hingga ganggu ketenteraman jiran.
Memelihara kucing juga boleh termasuk dalam mengganggu ketenteraman jiran andai membiarkan kucing peliharaan menjadikan halaman rumah jiran termasuk pasu-pasu jiran tempat membuang najis merata-rata.
Benar, memelihara kucing adalah harus. Namun andai tuan pemilik kucing membiarkan kucing peliharaanya bebas keluar dan masuk ke rumah jiran tanpa izin sehingga menyebabkan jiran terganggu, itu adalah satu dosa. Itu belum lagi kalau kucing peliharaan itu mencuri makanan di dapur atau di meja makan jiran.
Sebab dibimbangi tuan empunya kucing tersebut tergolong dalam kalangan manusia yang dinafikan kesempurnaan imannya.
Apabila menyebut tentang memelihara kucing ini, bukanlah bermakna haram memelihara kucing. Tidak!
Bahkan ia merupakan satu hobi atau minat yang sangat mulia. Cumanya bila seseorang itu memelihara kucing, maka dia perlulah bertanggungjawab ke atas kucing peliharaannya itu.
Lihat sahaja sahabat Nabi yang mulia iaitu Abu Hurairah R.A. Sudah terkenal dalam lipatan sejarah, selain seorang sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis daripda baginda Nabi S.A.W. Beliau juga merupakan seorang yang suka akan kucing dan memeliharanya.
Satu-satunya sahabat Nabi yang diketahui oleh kita yang sangat suka kepada anak-anak kucing. Sering membawa anak-anak kucing itu bersama dengannya. Kadang itu beliau membawa anak kucing itu di dalam lengan baju jubahnya.
Sehinggakan gelaran "Abu Hurairah" itu sebenarnya diberikan oleh baginda nabi kepada beliau yang membawa maksud bapa kucing kerana gemarnya Abu Hurairah R.A itu memelihara kucing.
Sekaligus menunjukkan itu adalah satu ikrar atau pengakuan daripada baginda Nabi S.A.W bahawa memelihara kucing itu adalah harus.
Namun, sepanjang Abu Hurairah R.A memelihara kucing, tidak ada satu riwayat pun yang menyatakan beliau menyusahkan jirannya atau orang lain dengan hobi memelihara kucingnya itu. Jika ada, sudah pasti kita orang yang terkemudian akan mendengar hadis mengenainya.
Sewajarnya bagi pengemar kucing atau orang yang memelihara kucing, patut mencontohi hobi Abu Hurairah R.A itu dengan menunaikan hak-hak kucing sebagai haiwan peliharaan.
Seperti menjaga makan minum kucing dan merawatnya andai sakit dan tidak menyakiti haiwan tersebut.
Dan yang paling utama, hak-hak jiran juga tidak dicerobohi oleh kucing peliharaan kita sendiri.
Wallahualam.
___________________________
~Zulfikar Egar~
Lajnah Agama
Lajnah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment