Hukum Menjilat Kemaluan dan Menghisap Kemaluan Pasangan

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Dalam halal, masih ada perkara yang dilarang. Begitulah Allah menguji kita. Isteri, walaupun itulah satu-satunya tempat yang dijadikan oleh Allah untuk memuaskan nafsu syahwat, ketika haid dan nifas, suami tetap tidak boleh “mendekati” mereka.

Pada siang Ramadan, suami wajib menahan nafsu kemaluan daripada bersetubuh dengan isteri sendiri, dan berdasarkan hukuman bagi yang melakukannya sehingga berpuasa dua bulan berturut-turut, larangan ini sangat kuat. Dan meskipun seluruh tubuh isteri halal untuk dilihat dan dipegang, namun suami tetap dilarang daripada menyetubuhi mereka melalui dubur.

Dalam masalah menjilat atau menghisap kemaluan pasangan – yang dimusykilkan ramai tetapi malu untuk bertanya – pula, ramai ulama termasuk ulama-ulama Salafī mengharamkan dengan alasan utamanya, kenajisan mazi. Mazi najis mengikut jumhur (sebahagian mengatakan ijmak, tetapi sebenarnya tidak), dan pendapat ini sangat kuat berdasarkan hadis dan athar. Apabila najis, ertinya haram ditelan, dan perbuatan menjilat dan menghisap melazimkan tertelan.

Seandainya mazi ketika bersetubuh dianggap najis yang dimaafkan kerana sukar dielak atau ‘umūm al-balwā pun, masalahnya menelan mazi kerana menjilat dan menghisap boleh dielakkan. Sebahagian ulama, termasuklah Syeikh al-Albānī dan Wahbah al-Zuḥaylī, mengemukakan alasan lain untuk menghalang, iaitu perbuatan ini bercanggah dengan adab, menyerupai haiwan, atau luar tabii, namun semua ini tidak sekuat ‘illah kenajisan mazi tadi.

Sebahagian ulama pula membenarkan. Terdapat nas daripada fuqaha mutaqaddimīn yang mengharuskan suami menghisap faraj isteri, namun tidak disinggung pula berkenaan mazi. Syeikh ‘Alī Jum‘ah mengatakan hukumnya mubah bahkan mendakwanya “dilakukan oleh majoriti salaf soleh.”

Syeikh al-Qaraḍāwī pula mengatakan “dan fuqaha mengharuskan isteri mencium kemaluan suami dan sekiranya suami mencium kemaluan isteri pun, ini tidak ada masalah. Jika yang dikehendaki daripadanya adalah inzāl (keluar mani), perkara ini mungkin ada unsur makruh, dan saya tidak mampu mengharamkan kerana tidak ada dalil yang mengharamkan secara qaṭ‘ī.”

Sambungnya lagi, “ini bukan tempat kotor seperti dubur dan tidak ada nas khusus mengenainya. Ia cuma sesuatu yang dianggap jijik oleh manusia. Sekiranya manusia menikmati melalui mulut maka itu perbuatan yang tidak elok. Kita tidak mampu mengharamkannya terutamanya apabila ia dilakukan dengan reda dan nafsu isteri.”

Saya bertawaqquf dalam masalah ini dan mencadangkan bagi yang berminat supaya melakukan dengan lapik. Wallahualam.


___________________________
 Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments