OLEH: Abu Amru Radzi Othman
Ibadah puasa yang sedang kita tempuh dalam bulan ini merupakan sebuah ibadah yang telah disyariatkan kepada umat terdahulu. Allah berfirman dalam Al Quran iaitu kitab Perjanjian Terakhir seperti berikut:
"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu..." (Al Baqarah: 183 - 184)
Cumanya tempoh waktu dan caranya tidaklah sama bagi setiap umat. Dikhabarkan beberapa cara puasa umat terdahulu oleh Ibn Katsir dalam mentafsir ayat di atas, antaranya:
(1) Nabi Adam melakukan puasa tiga hari berturut-turut setiap bulan sebagai pertaubatan baginda setelah peristiwa memakan buah pohon Khuldi. Kemudian kita mengenali puasa Ayyamul Bidh (hari putih) dan disunahkan untuk dikerjakan kepada umat Islam pada tanggal 13, 14 dan 15 setiap bulan.
Pendapatan lain mengatakan Nabi Adam berpuasa setiap 10 Muharram sebagai rasa syukur setelah bertemu semula dengan isteri baginda (Hawa) di Arafah tepatnya di Jabal Rahmah.
Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi Adam berpuasa selama 40 hari 40 malam setiap tahun.
(2) Nabi Nuh meneruskan puasa Ayyamul Bidh seperti Nabi Adam dan juga memerintahkan puasa kepada para sahabat baginya yang berada dalam bahtera selama mereka di atas bahtera tersebut.
(3) Nabi Ibrahim berpuasa sebulan penuh di bulan Ramadan. Baginda juga sering berpuasa saat hendak menerima wahyu. Lalu puasa Nabi Ibrahim ini diteruskan oleh Nabi Ismail dan Nabi Ishak.
(4) Nabi Musa dan Bani Israel disyaratkan untuk berpuasa selama 40 hari.
Baginda juga berpuas setiap 10 Muharram sebagai rasa syukur atas kemenangan terhadap Firaun dan bala tenteranya. Puasa jenis inilah yang masih diamalkan oleh kaum Yahudi Madinah saat kedatangan Nabi Muhammad saw.
(5) Nabi Daud pula berpuasa selang sehari selama setahun.
Adapun umat Nabi Muhammad saw iaitu umat akhir zaman sepertinya mengikuti syariat Nabi Ibrahim yang berpuasa sebulan pada bulan Ramadan.
Telah dinyatakan tadi bahawa ketika Nabi Muhammad saw sampai ke Yatrib (Madinah) maka Baginda mendapati kaum Yahudi berpuasa pada 10 Muharram.
Ibn Katsir berkata "Rasulullah saw menegaskan umat Islam lebih berhak berpuasa 10 Muharram daripada kaum Yahudi kerana hubungan keagamaan lebih erat dibandingkan dengan hubungan kesukuan".
Sambung Ibn Katsir "untuk itu supaya ada perbezaanya dengan kaum Yahudi maka Rasulullah saw kemudian mensyariatkan puasa sunah setiap 9 dan 10 Muharram, selain untuk membedakan puasa kaum Yahudi juga ungkapan simbolik kemenangan kebenaran atas kebatilan".
Setelah diterangkan bahawa puasa merupakan satu ibadah yang telah diamalkan oleh umat terdahulu makanya pasti ibadah ini ada tercatit dalam Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru.
Alasannya cukup sederhana iaitu Taurat dan Injil yang telah diubah itu bukannya diubah secara keseluruhan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Namun pasti akan ada bahagian atau ajaran yang masih tersisa. Salah satunya adalah ibadah puasa.
Berikut adalah beberapa petikan dari Bible sama ada Perjanjian Lama atau Perjanjian Baru tentang ibadah puasa:
(1) Kisah Para Rasul 13 : 2 - 4
"Sedang mereka itu mengerjakan sembahyang kepada Tuhan serta puasa, maka kata Rohulkudus, "Asingkanlah bagi-Ku Barnabas dan Saul, supaya mereka itu melakukan pekerjaan yang Aku untukkan kepada mereka itu. Setelah berpuasa dan berdoa mereka meletakkan tangan ke atas Barnabas dan Saulus lalu mengutus mereka berdua. Atas perintah Ruh Allah, Barnabas dan Saul pergi ke Seleukia, lalu dari sana berlayar ke Siprus"
(2) Kisah Para Rasul 14 : 23
"Setelah ditetapkannya bagi mereka itu ketua-ketua di dalam tiap-tiap sidang jemaat, serta berdoa dan puasa, maka diserahkannyalah mereka itu kepada Tuhan yang dipercayainya"
(3) Ester 4 : 16
"Pergilah, kumpulkanlah semua orang Israil yang ada di Susan dan berpuasalah untuk aku. Jangan makan dan jangan minum tiga hari lamanya, baik malam ataupun siang. Aku dan dayang-dayangku pun akan berpuasa secara demikian, kemudian aku akan masuk menghadap raja, sekalipun bertentangan dengan undang-undang. Jika aku harus binasa, biarlah aku binasa"
(4) Keluaran 34 : 28
"Dan Musa ada di sana bersama-sama dengan Tuhan 40 hari 40 malam lamanya, tidak makan roti dan tidak minum air, dan ia menuliskan pada loh itu segala perkataan perjanjian, iaitu Kesepuluh Firman"
(5) Yoel 2 : 12
"Sekarang juga," demikianlah firman Allah, "kembalilah kepada-Ku dengan segenap hatimu, dengan berpuasa, dengan menangis, dan dengan meratap"
(6) Matius 6 : 16
"Demikian pula halnya pada waktu kamu berpuasa. Janganlah kamu berpuasa seperti orang-orang munafik. Mereka mengubah air muka mereka dan bermuka masam, supaya orang-orang dapat mengetahui bahawa mereka sedang berpuasa. Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, mereka sudah mendapat pahalanya"
(7) Lukas 2 : 37
"Hana kemudian menjadi balu sehingga dia berumur 84 tahun. Dia tidak pernah meninggalkan Bait Suci, malahan dia beribadat kepada Allah dengan berpuasa dan berdoa siang malam"
(8) Lukas 18 : 12
"Aku puasa dua kali seminggu, dan aku membayar zakat sepersepuluh daripada segala kehasilanku"
(9) Nehemiah 1 : 4
"Demi kudengar segala perkataan ini maka duduklah aku sambil menangis dan berkabung beberapa hari lamanya, dan akupun berpuasa dan meminta doa di hadapan hadrat Allah yang di syurga"
(10) Daniel 9 : 3 - 4
"Lalu aku mengarahkan mukaku kepada Tuhan Allah untuk berdoa dan bermohon, sambil berpuasa dan mengenakan kain kabung serta abu. Maka aku memohon kepada Tuhan, Allahku, dan mengaku dosaku, demikian: "Ah Tuhan, Allah yang maha besar dan dahsyat, yang memegang Perjanjian dan kasih setia terhadap mereka yang mengasihi Engkau serta berpegang pada perintah-Mu"
(11) Ezra 8 : 21 - 22
"Lalu di tepi Sungai Ahawa itu aku mengisytiharkan puasa (bagi anggota rombongan) agar kami merendahkan diri di hadapan Allah kami dan memohon kepada-Nya jalan yang aman bagi kami, anak-anak kami, serta segala harta benda kami. Sebabnya aku malu meminta daripada raja agar kami dibantu pasukan askar dan orang berkuda untuk menghadapi musuh di jalan, kerana kami telah berkata kepada raja, “Tangan Allah kami penuh kemurahan bagi semua orang yang mencari hadrat-Nya, tetapi kuasa-Nya dan kemurkaan-Nya menimpa semua orang yang meninggalkan-Nya"
(12) Yesaya 58 : 3 - 7
"Kata mereka, ‘untuk apa kami berpuasa, padahal Engkau tidak melihatnya? Untuk apa kami merendahkan diri, padahal Engkau tidak memperhatikannya?’ Sesungguhnya, pada hari puasamu kamu mencari kesenangan sendiri dan menindas semua pekerjamu. Sesungguhnya, kamu berpuasa hanya untuk berbantah, bertengkar, dan bertumbuk dengan tinju kefasiqan. Puasa seperti yang kamu lakukan hari ini tidak akan membuat suaramu didengar di tempat tinggi. Puasa seperti itukah yang Kukehendaki, suatu hari bagi seseorang untuk merendahkan diri? Apakah puasa itu untuk menundukkan kepala seperti buluh, membentang kain berkabung dan menebarkan abu sebagai alas tidur? Akankah kamu menyebut hal itu sebagai puasa, sebuah hari yang diperkenan Tuhan? Bukankah inilah puasa yang Kukehendaki, yaitu kamu membukakan segala simpulan kejahatan dan menguraikan segala tali kuk dan menyuruhkan pergi dengan merdeka segala orang yang teraniaya dan kamu memecahkan segala kuk? Bukankah supaya engkau berkongsi rotimu dengan orang lapar dan membawa orang miskin yang terbuang ke rumahmu – apabila engkau melihat orang telanjang, engkau memberi dia pakaian, dan tidak menyembunyikan diri daripada darah dagingmu sendiri?"
___________________________
Abu Amru Radzi Othman
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment