Perbincangan Zakat Fitrah

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Melalui nas hadis, zakat fitrah dikeluarkan dengan makanan asasi. Mazhab Shāfi‘ī sendiri tidak membenarkan zakat fitrah dibayar dengan wang tunai.

Pada hari ini, untuk kemudahan pembayaran, pengumpulan, dan pengagihan, majlis agama memilih pendapat mazhab Ḥanafī yang membenarkan makanan asasi digantikan dengan wang tunai, yang difatwakan oleh sebahagian tabiin.

Pada zaman salaf, zakat fitrah sama ada dibayar sendiri terus kepada aṣnāf, diserahkan kepada wakil, atau diberikan kepada amil yang dilantik oleh pemerintah. Tetapi, Imam al-Shāfi‘ī lebih suka mengagih-agihkan sendiri zakat fitrah. Katanya dalam al-Umm:

وَأَخْتَارُ قَسْمَ زَكَاةِ الْفِطْرِ بِنَفْسِي عَلَى طَرْحِهَا عِنْدَ مَنْ تُجْمَعُ عِنْدَهُ.
“Aku memilih untuk membahagi-bahagikan sendiri zakat fitrah daripada menyerahkannya kepada pengumpul zakat.”

Pada hari ini, majlis agama mewajibkan zakat fitrah dibayar melalui amil yang dilantik untuk tujuan dan maslahat tertentu.

Seperti namanya, “zakat fitri” iaitu zakat berbuka puasa, zakat fitrah asalnya dibayar pada hari raya Aidilftri. Untuk mengelakkan sebarang kesulitan pada pagi raya, sebahagian salaf mengawalkannya sehari atau dua hari sebelumnya. Mazhab Shāfi‘ī pula membenarkan zakat fitrah diawalkan sejak awal Ramadan kerana sebab pertama kewajipannya iaitu bulan Ramadan sudah masuk.

Pada hari ini, ramai yang sengaja memperawal pembayaran zakat fitrah, bahkan membayarnya pada penghujung Ramadan atau hari raya dianggap sangat lewat.

Kemudian, zakat fitrah asalnya tidak disimpan, tetapi diagih-agihkan terus kepada fakir miskin supaya sempat digunakan pada hari raya yang merupakan tujuan sebenar zakat fitrah difardukan.

Itulah sebabnya ‘Abd al-Razzāq al-Ṣan‘anī tatkala ditanya, “adakah tuan menyerahkannya ke masjid jemaah?,” menjawab:

إِذَا كَانُوا لَا يُخَزِّنُونَهَا فَنَعَمْ، فَإِذَا عَلِمْتُ أَنَّهُمْ يُخَزِّنُونَهَا قَسَمْتُهَا فِي جِيرَانِي.
“Kalau mereka tidak menyimpannya, ya. Apabila aku tahu bahawa mereka menyimpannya, aku mengagih-agihkannya kepada jiran-jiranku.”

Dikatakan kepada beliau, “Ma’mar menghantarnya ke masjid dan ketika itu mereka tidak menyimpannya.”

Pada hari ini, wallahualam. Sekiranya zakat fitrah dibayar pada waktunya yang paling afdal secara ittifak iaitu pagi raya, kemungkinan besar lama selepas waktu perayaan baru zakat tersebut sampai kepada golongan sasaran.
Wallahualam.



___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments