Muzik Dihalalkan Kerana Dalil Ini? Adakah Benar?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Setahun lalu saya tergamam bilamana membaca kata-kata yang jelek daripada Shārīf Ḥātim al-‘Awnī, antara pengkaji ilmu hadis Arab Saudi tentang ulama-ulama yang mengharamkan muzik. 

Beliau membawakan hadis Jābir b. ‘Abd Allāh yang menyebut bahawa “hamba-hamba perempuan apabila ada perkahwinan, mereka akan berjalan-jalan dengan gendang dan seruling, dan meninggalkan Nabi SAW berdiri di atas mimbar, dan pergi ke sana, lalu Allah turunkan ayat ‘dan apabila mereka melihat jual beli atau hiburan, mereka pergi ke situ’,” kemudian – selepas berusaha mensahihkan hadis ini – mengatakan:

“Aku tidak tahu bagaimana orang-orang yang mengharamkan muzik boleh mengabaikan hadis yang sahih ini, yang menunjukkan bahawa nyanyian pada majlis perkahwinan tidak terhad pada kompang, dan bahawa pernah juga digunakan seruling dan gendang daripada kategori alat-alat muzik pada majlis itu, dan saya tidak tahu apakah yang akan dijawab oleh tokoh-tokoh semasa daripada orang-orang yang mengecam dan mengingkari golongan yang mengharuskan?”

Lanjut beliau, 

“Aku sebutkan kepada anda apa yang akan dijawab oleh mereka: pertama, mereka akan cuba melemahkan hadis, tanpa pendahulu atau hujah. Kedua, mereka akan mendakwa ia dimansuhkan tanpa hujah atau bukti. Ketiga, mereka akan cuba mentakwil seruling dengan suara yang sedap dan gendang dengan kompang, dan ia adalah takwilan yang batil, yang tidak didahului sesiapa dan menyalahi zahir nas dan kefahaman al-Ṭabarī dan selainnya.”

Saya pelik, bagaimana orang yang mempunyai pengetahuan dalam ilmu hadis boleh berkata begini seolah-olah ia orang awam yang tidak tahu apa-apa tentang ilmu syariat, yang bercakap tentang agama berasaskan sentimen dan permusuhan. Saya jelaskan di sini hakikat hadis ini dan kekarutan kalamnya:

Pertama, hadis ini tidak diabaikan oleh golongan yang mengharamkan. Dalam kitab al-Radd ‘alā al-Qaraḍāwī oleh Syeikh ‘Abd Allāh Ramaḍān Mūsā hadis ini telah dikritik secara panjang lebar.

Kedua, rawinya, Yaḥyā b. Ṣāliḥ walaupun dianggap thiqah oleh sebahagian ulama rijāl, tidaklah dapat dihtimalkan riwayatnya secara bersendirian seperti ini, kerana beliau bermazhab Jahmī dan Murji'ah yang menyeru kepada bidaahnya, dan menurut Aḥmad b. Ṣāliḥ, terdapat 13 buah hadis yang diriwayatkannya daripada Mālik tidak mempunyai sokongan daripada orang lain. Kata Abū Aḥmad al-Ḥākim, “beliau bukan hāfiẓ di sisi mereka.”

Pada masa yang sama, guru kepada gurunya, Ja‘far al-Ṣādiq, ingatannya kadang-kadang bermasalah sehingga dikritik oleh beberapa orang ulama rijāl. Sungguhpun riwayat beliau daripada Sulaymān b. Bilāl disokong dengan riwayat lain oleh Ibnu Ṭāhir, tetapi riwayat tersebut ḍa‘īf jiddan disebabkan ‘Abd Allāh b. Shabīb dan kecacatan lain.

Ketiga, riwayat ini bercanggah dengan riwayat-riwayat al-Bukhārī, Muslim, dan lain-lain yang lebih sahih di mana Jābir menceritakan bahawa dalam peristiwa tersebut, pada sahabat meninggalkan Nabi SAW untuk menghadap kafilah yang baru pulang dari Syam membawa makanan. Antaranya ialah:

 بَيْنَمَا نَحْنُ نُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ ﷺ إِذْ أَقْبَلَتْ مِنْ الشَّأْمِ عِيرٌ تَحْمِلُ طَعَامًا، فَالْتَفَتُوا إِلَيْهَا حَتَّى مَا بَقِيَ مَعَ النَّبِيِّ ﷺ إِلَّا اثْنَا عَشَرَ رَجُلًا، فَنَزَلَتْ...
“Semasa kami solat bersama Nabi SAW, tiba-tiba datang kafilah membawa makanan. Lalu, mereka pergi ke sana sehingga tidak tinggal bersama Nabi SAW kecuali 12 orang. Maka, turunlah...”

Dalam riwayat ini langsung tidak disebutkan tentang majlis perkahwinan apatah lagi alat muzik seperti gendang dan seruling. Tiada riwayat lain yang menyokong penyebutan perkara-perkara tadi kecuali riwayat Imam al-Shāfi‘ī daripada Ibrāhīm b. Muḥammad yang matrūk al-ḥadith yang menyebut:

 ...وكان لهم لهو إذا تزوج أحدهم من الأنصار ضربوا بالكَبَرِ...
"...Dan mereka mempunyai hiburan, apabila salah seorang daripada Anṣār berkahwin, mereka akan memukul gendang...”

Keempat, walau bagaimanapun, ada kemungkinan kafilah tersebut disambut dengan paluan kerana begitulah adat orang Arab sejak zaman jahiliah menyambut kepulangan, dan dalam ayat tadi pun disebutkan “hiburan” selain “jual beli” dan perkara ini disokong dengan beberapa riwayat lain, namun kesemuanya tidak menyebut “gendang” atau “seruling”. Antaranya ialah:

1. Riwayat Ibnu al-Muẓaffar (379 H) daripada Abū Hurayrah RA, katanya: 
قَدِمَ دِحْيَةُ الْكَلْبِيُّ الْمَدِينَةَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ... وَخَرَجَ جَوَارِي مِنْ جَوَارِي الْمَدِينَةِ، وَهُنَّ يَضْرِبْنَ بِدِفُوفِهِنّ...
“Diḥyah al-Kalbī sampai di Madinah pada hari Jumaat... Dan keluar sebahagian hamba perempuan Madinah dalam keadaan memukul kompang mereka...” 

Riwayat ini lemah kerana tadlīs al-Ḥasan al-Baṣrī.
2. Riwayat Abū Dāwūd dalam al-Marāsīl daripada Muqātil b. Ḥayyān, katanya: 
 إِنَّ دِحْيَةَ بْنَ خَلِيفَةَ قَدِمَ بِتِجَارَتِهِ، وَكَانَ دِحْيَةُ إِذَا قَدِمَ تَلَقَّاهُ أَهْلُهُ بِالدِّفَافِ...
“Diḥyah b. Khalīfah pulang dengan dagangannya, dan Diḥyah apabila pulang, keluarganya akan menyambutnya dengan kompang...” 
Riwayat ini lemah disebabkan Bukayr b. Ma‘rūf.

Kelima, zahirnya, dari segi pelakuan para sahabat yang meninggalkan Rasulullah SAW yang sedang berkhutbah semata-mata untuk berjual beli dan berhibur, peristiwa ini berlaku pada peringkat awal zaman Madinah. Tambahan pula, menerusi hadis lain yang sahih, para sahabat sendiri pada suatu ketika tidak menyambut kepulangan Rasulullah SAW dengan memukul gendang atau kompang, walaupun itulah adat orang Arab ketika itu, sampaikan hamba perempuan yang meminta izin kerana telah bernazar untuk melakukannya.

Keenam, seandainya hadis tadi benar-benar sahih dan difahami oleh sahabat dan tabiin seperti kefahaman Ḥātim al-‘Awnī, tiada sebab untuk tabiin berasa hairan apabila melihat sekumpulan sahabat mendengar nyanyian dan paluan kompang dalam majlis perkahwinan, dan tiada sebab ‘Umar b. ‘Azīz RA menyelarnya sebagai “bidaah dalam Islam.”

Kesimpulannya, hadis yang dijadikan dalil oleh Ḥātim al-‘Awnī untuk membaham ulama-ulama yang mengharamkan muzik tidaklah kuat seperti yang dicanang, bahkan bertentangan dengan riwayat-riwayat lain - baik yang sahih dan mahupun yang lemah - serta bercanggah dengan amalan sahabat dan salaf.
Wallahualam.


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments