Manusia Boleh Melihat Jin?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Terdapat tiga riwayat daripada Imam al-Shāfi‘ī ditemui tentang kemustahilan manusia melihat jin.
Riwayat pertama, oleh al-Āburrī (363 H) dalam Manāqib al-Shāfi‘ī daripada al-Zubayr b. ‘Abd al-Wāḥid, daripada Muḥammad b. Sa‘īd al-Tusturī, daripada Yaḥyā b. Ayyūb al-‘Allāf, daripada Ḥarmalah b. Yaḥyā, bahawa beliau mendengar Imam al-Shāfi‘ī (204 H) mengatakan:

من زعم من أهل العدالة أنه يرى الجن أبطلنا شهادته لقول الله تعالى (إنه يراكم هو وقبيله من حيث لا ترونهم)، إلا أن يكون نبيٌ.
“Mana-mana orang yang adil (bukan fasik) mendakwa melihat jin, kami batalkan kesaksiannya kerana firman Allah taala ‘sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka,’ kecuali seorang Nabi.”

Sanad ini tidak sahih kerana Muḥammad b. Sa‘īd al-Tusturī ini majhūl.

Riwayat kedua, oleh Abū Nu‘aym (430 H) dalam Ḥilyah al-Awliyā’ daripada Muḥammad b. ‘Abd al-Raḥmān b. al-Faḍl, daripada Muḥammad b. Sa‘īd b. ‘Abd al-Raḥmān al-Qushayrī, daripada Yaḥyā b. Ayyūb al-‘Allāf, daripada “sebahagian aṣḥāb kami” – kata al-Qushayrī, “saya menyangkanya Ḥarmalah” – bahawa beliau mendengar Imam al-Shāfi‘ī mengatakan demikian.
Sanadnya hasan.

Riwayat ketiga, oleh al-Bayhaqī dalam Manāqib al-Shāfi‘ī daripada jalan al-Rabī‘ sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu Ḥajar al-‘Asqalānī (852 H) dalam Fatḥ al-Bārī dengan matan yang sama tanpa menyebut ayat al-Quran.

Saya tidak menemukan riwayat tersebut dalam kitab itu untuk menyemak sanadnya, namun dengan hasannya riwayat kedua dan sokongan dua riwayat lain, kata-kata ini dihukum sabit daripada Imam al-Shāfi‘ī.
Untuk menjamakkan kata-kata ini dengan hikayat-hikayat yang terlalu banyak tentang manusia melihat jin, Ibnu Ḥajar mentakwil kalam al-Shāfi‘ī dengan katanya:

وهذا محمول على من يدعي رؤيتهم على صورهم التي خلقوا عليها وأما من ادعى أنه يرى شيئا منهم بعد أن يتطور على صور شتى من الحيوان فلا يقدح فيه وقد تواردت الأخبار بتطورهم في الصور.
“Ini difahami merujuk orang yang mendakwa melihatnya dalam rupa asal mereka diciptakan, adapun orang yang mendakwa melihat sesuatu daripada mereka selepas berubah-ubah kepada bentuk haiwan yang pelbagai tidak dicela, dan telah datang hikayat-hikayat tentang perubah-ubahan mereka dalam pelbagai bentuk.”

Walau bagaimanapun, pendapat bahawa manusia tidak boleh melihat jin dalam rupanya yang asal tidak dipersetujui kesemua ulama. Imam Ibnu Taymiyyah (728 H) antara yang mempunyai pandangan yang berbeza. Apabila ditanya tentang ayat tadi, “adakah demikian itu umum, tidak ada seorang pun melihat mereka atau sebahagian manusia tanpa sebahagian yang lain melihat mereka?,” beliau menjawab:

الْحَمْدُ لِلَّهِ ، الَّذِي فِي الْقُرْآنِ أَنَّهُمْ يَرَوْنَ الْإِنْسَ مِنْ حَيْثُ لَا يَرَاهُمْ الْإِنْسُ وَهَذَا حَقٌّ يَقْتَضِي أَنَّهُمْ يَرَوْنَ الْإِنْسَ فِي حَالٍ لَا يَرَاهُمْ الْإِنْسُ فِيهَا وَلَيْسَ فِيهِ أَنَّهُمْ لَا يَرَاهُمْ أَحَدٌ مِنْ الْإِنْسِ بِحَالِ ؛ بَلْ قَدْ يَرَاهُمْ الصَّالِحُونَ وَغَيْرُ الصَّالِحِينَ أَيْضًا ؛ لَكِنْ لَا يَرَوْنَهُمْ فِي كُلِّ حَالٍ...
“Alhamdulillah. Yang tersebut dalam al-Quran bahawa mereka melihat manusia dalam keadaan manusia tidak melihat mereka, dan ini adalah kebenaran yang bermakna bahawa mereka melihat manusia dalam keadaan manusia tidak melihat mereka, dan tiada dalam ayat itu bahawa mereka tidak dilihat oleh manusia sama sekali, bahkan kadang-kadang mereka dilihat oleh orang soleh dan orang yang tidak soleh juga, tetapi mereka tidak melihat mereka dalam setiap keadaan.”

Wallahualam.


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments