Patahkan Gitar Orang Lain Tidak Perlu Ganti Menurut Imam Asy-Syafie R.A?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Menjawab soalan ini dijelaskan bahawa alat muzik di sisi mazhab Shāfi‘ī seperti gitar, piano, dan seruling hukumnya haram. Apabila haram, kesannya seperti berikut:

Pertama, tidak boleh diterima atau disimpan. Kata aṣḥāb:

... لِأَنَّ مَا حَرُمَ اسْتِعْمَالُهُ حَرُمَ اتِّخَاذُهُ كَالْأَوَانِي وَآلَاتِ اللَّهْوِ...“... 
“... kerana yang haram menggunakannya, haram mengambilnya seperti bekas (emas dan perak) dan alat-alat hiburan.”

Kedua, tidak boleh dijual beli, kerana tiada manfaat dan nilai di sisi syarak. Kata al-Ḥiṣnī (829 H):

وَأما آلَات اللَّهْو المشغلة عَن ذكر الله فَإِن كَانَت بعد كسرهَا لَا تعد مَالا كالمتخذة من الْخشب وَنَحْوه فبيعها بَاطِل لِأَن مَنْفَعَتهَا مَعْدُومَة شرعا وَلَا يفعل ذَلِك إِلَّا أهل الْمعاصِي.
“sementara itu, alat-alat hiburan yang melalaikan daripada mengingati Allah, maka sekiranya selepas dipatahkan tidak dianggap sebagai harta seperti yang diperbuat daripada kayu dan sebagainya, maka jual belinya batil kerana manfaatnya tidak wujud di sisi syarak dan perbuatan itu hanya dilakukan oleh kaki maksiat.”

Ketiga, pencurinya tidak dihukum hudud, kerana barang yang dicuri adalah alat maksiat dan ghayr muḥtaramah. Ini secara mutlak mengikut pendapat yang sahih, dan mengikut qawl yang lemah, terhad pada alat muzik yang diperbuat daripada benda-benda yang nilainya di bawah nisab. Dalam Minhāj al-Ṭālibīn disebut:

ولا قطع في طنبور ونحوه وقيل: إن بلغ مكسره نصابا قطع.
“dan tidak ada hukuman potong (tangan) pada gambus dan sebagainya. Dikatakan, kalau komponennya mencapai nisab, dipotong.”

Kata al-Bujayramī:

الْمُرَادُ بِمُكَسَّرِهِ خَشَبُهُ وَأَجْزَاؤُهُ مِنْ الْحِبَالِ عَلَى فَرْضِ لَوْ فُصِلَتْ وَأُزِيلَتْ صُورَتُهَا وَلَيْسَ الْمُرَادُ الْكَسْرَ الْحَقِيقِيَّ.
“yang dimaksudkan dengan barang yang dipatahkan adalah kayu dan komponen-komponennya berupa tali dengan anggapan sekiranya ia dileraikan dan dihilangkan rupa, dan bukannya menghancurkan sebenar.”

Keempat, perlu dihancurkan dan tidak boleh dibiarkan dimainkan dan dizahirkan walaupun oleh kafir zimmi. Kata Imam al-Ghazālī (505 H):

وَكَذَا الْخِنْزِير والملاهي أَيْضا غير مضمونة فَإِن تكسيرها وَاجِب، نعم لَا يتبع بيُوت أهل الذِّمَّة وَلَكِن إِذا أظهروها كسرناها.
“dan demikian babi, dan alat hiburan juga tidak digantikan kerana menghancurkannya wajib. Ya, tidak dirisik rumah-rumah kafir zimmi, tetapi jika mereka menzahirkannya, kita akan menghancurkannya.”

Kelima, gugur kewajipan menghadiri kenduri yang memainkannya. Kata Khatib al-Sharbīnī (977 H):

وَمِنْهَا أَن لَا يكون هُنَاكَ مُنكر لَا يَزُول بِحُضُورِهِ كشرب الْخمر وَالضَّرْب بالملاهي فَإِن كَانَ يَزُول بِحُضُورِهِ وَجب حُضُوره للدعوة وَإِزَالَة الْمُنكر.
“antaranya (syarat wajib hadir kenduri), tidak terdapat kemungkaran yang tidak hilang dengan kehadirannya seperti minum arak dan bermain alat hiburan. Sekiranya ia hilang dengan menghadirinya, maka wajib hadir kerana undangan dan menghilangkan kemungkaran.”

Walau bagaimanapun, semua hukum-hakam ini disebut oleh ulama-ulama berkenaan dalam suasana orang ramai maklum tentang keharaman dan kemungkaran muzik (sama seperti bahan lucah pada zaman kita pada hari ini). Namun, keadaan sudah berubah. Masyarakat awam sekarang mengikut alim-ulama yang mengharuskan muzik dan muzik sudah menjadi ‘umūm balwā yang kita sendiri sukar mengelaknya.

Jadi, seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, “disebabkan muzik tidak dapat dielakkan di tempat kita, kita tidak perlu lari atau menutup telinga apabila mendengarnya. Tetapi, kita tetap perlu menahan diri daripada memasang muzik kerana kita mampu melakukannya." Dengan kata lain, tindakan kita untuk orang lain khususnya perlu meraikan suasana dan keadaan. 

Namun begitu, apa yang disebutkan ini mengambil kira tempat dan zaman kita. Sekiranya kita hidup di tempat yang faham tentang keharaman muzik seperti di Mekah, Madinah, atau tempat-tempat pengajian bermanhaj Salafī, tidak ada masalah untuk bersikap keras terhadap muzik.

Terakhir, semoga Allah menutup aib dan mengampuni keterlanjuran kita semua.
Wallahualam.


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments