Mengapa Kita Tidak Suka Lambang Capal Rasulullah?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Mengapa sesetengah orang terutamanya golongan Wahabi alah benar dengan lambang capal Rasulullah SAW, padahal capal baginda mulia dan pastinya mempunyai keberkatan jika dipakai? Saya pasti ramai orang awam pelik dan hairan dengan sikap dan perangai mereka ini. Jadi, di sini saya ringkaskan jawapan dalam beberapa noktah:

Pertama, ada perbezaan besar antara capal dengan lakaran capal. Yang boleh diambil berkat adalah capal Rasulullah SAW, bukan lakaran capal baginda. Capal adalah capal, lakaran adalah lakaran. Para sahabat dan salaf bertabarruk dengan jasad dan barang-barang baginda, bukan dengan lukisan.

Kedua, ia dikatakan mempunyai pelbagai fadilat dan khasiat semata-mata berdasarkan tajribah, sebagaimana yang disebut dalam kitab Fatḥ al-Muta‘āl fī Madḥ al-Ni‘āl setebal 600 halaman karya al-Maqqarī (1041 H) – antaranya terselamat daripada mara bahaya, gangguan syaitan, dan sihir – dan ini persis tangkal yang ditegah syarak.

Ketiga, penggunaan lakaran capal sebagai simbol atau sekadar hiasan, apatah lagi dengan niat tabarruk dan sebagai tangkal, adalah trend yang tidak sihat. Lambat-laun lakaran itu menjadi lambang dan simbol agama sebagaimana yang berlaku dalam agama lain seperti salib bagi kaum Kristian yang dianggap mulia dan dikaitkan dengan kepercayaan dan keyakinan tertentu. Fenomena seperti ini sudah tentu bersifat baharu dan menyalahi manhaj beragama para sahabat dan golongan mutaqaddimīn.

Keempat, lakaran capal ini dikuduskan dan diagungkan secara ghuluww. Perkara ini terbukti bilamana lakaran tersebut diperlakukan seperti kalimah Allah dengan cara dimakruhkan atau tidak digalakkan untuk dibawa masuk ke tandas, kononnya “sebaiknya buka atau menutupnya sebelum berada di dalam tandas sebagai tanda penghormatan kita pada bentuk capal Rasulullah SAW yang dimuliakan.”

Kelima, selain yang disebutkan, lakaran capal juga telah dimanipulasikan dan dikomersialkan oleh kapitalis untuk tujuan duniawi semata-mata. Merekalah yang bertanggungjawab mempopularkan lakaran capal dan kemudiannya menjual seribu satu produk berlakaran capal dengan slogan “cinta Nabi SAW”.

Tidak dinafikan bahawa ada ahli ilmu yang bertabarruk dengan lakaran capal, tetapi amalan ulama bukan hujah. Pada masa yang sama, sebahagian ulama secara jelas menolak tabarruk sebegini dan menyelarnya sebagai bidaah. Kata Ibnu al-Ḥāj (737 H), ulama yang semazhab dan datang ratusan tahun sebelum al-Maqqarī tadi lahir:

“Dan hendaklah ia berniat bilamana melihat kertas di tengah jalan mengangkat dan mengalihnya daripada tempat kerja (lalu lalang?) ke tempat yang suci dan selamat. Ia tidak boleh mencium atau meletakkannya di kepala kerana perbuatan itu bidaah.”

Di tempat lain, katanya tentang perkara yang sama:

“Demikian juga kertas yang dijumpai di jalan yang ada satu nama Allah taala atau nama seorang nabi AS, memuliakannya adalah dengan mengalihkan kertas itu daripada tempat yang dihinakan ke tempat yang tinggi, bukan dengan menciumnya…”

Wallahualam.



___________________________
Ustaz Mohd Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments