OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Menuntut ilmu menjadikan kita asing di tempat sendiri. Ini kerana, ilmu membawa kita meneroka sesuatu yang aneh dan pelik bagi ramai orang. Kita belajar sesuatu yang baharu, perkara yang sulit difahami oleh orang-orang kebanyakan.
Sebab itulah, jika jujur beramal dengan ilmu yang dipelajari, hidup kita akan berubah menjauh daripada kehidupan orang biasa. Cara hidup, minat, dan cita-cita akan bertukar. Tingkah laku kita menjadi canggung, kerana kita kini bisa melihat apa yang tidak dilihat oleh orang lain.
Kadang-kadang kita menyukai perkara yang dibenci oleh orang ramai. Kadang-kadang kita membenci perkara yang disukai oleh ramai orang. Dengan kata lain, kita hidup dalam keadaan menyelisihi masyarakat.
Tidak hanya orang-orang yang tidak atau kurang beragama, orang-orang yang saban waktu hadir ke masjid, berjubah dan berketayap pun kadang-kadang sama, melihat kita seolah-olah sesat atau ketat.
Nasyid yang menyebut-nyebut nama Allah pun kita tinggalkan, hanya kerana mengetahui kemungkaran muzik atau nyanyian perempuan. Seluar yang elok dipakai labuh pun kita singkatkan, hanya kerana tahu tentang hadis-hadis larangan isbāl.
Ceramah ustaz-ustazah popular pun kita abaikan, hanya kerana tahu tentang kesilapan penyampaian mereka. Cerita-cerita masyhur yang mengajak kepada kebaikan pun kita ingkari, hanya kerana tahu tentang kepalsuannya. Ramai orang tidak faham. Kata mereka, orang ini pelik!
Ya, pelik, kerana mengetahui sesuatu yang tidak diketahui oleh orang lain menjadikan kita tersisih dan tersakiti sendiri, tetapi usah gusar atau susah hati, kerana sememangnya “syurga diliputi oleh perkara-perkara yang dibenci.”
Comments
Post a Comment