Tidak Akan Berjaya Suatu Kaum Yang Menjadikan Seorang Perempuan Sebagai Pemimpin

 OLEH: Zulfikar Egar

Tentu kita pernah mendengar sebuah hadis yang berbunyi:

"Tidak akan berjaya suatu kaum yang menjadikan seorang perempuan sebagai pemimpin".

Di mana hadis ini asbab wurudnya yakni sebab ia diriwayatkan adalah berkaitan dengan berita penobatan puteri Kisra menjadi Raja Parsi.

Bertitik tolak dari hadis ini, para ulama bersepakat tidak membenarkan wanita menjawat jawatan Khalifah yakni kepimpinan tertinggi negara yang memiliki kuasa mutlak ke atas seluruh umat Islam.

Walaupun ada perbahasan dan perbezaaan pendapat dalam kalangan ulama (kalau boleh dikatakan pendapat ulama muktahir ini) berkenaan keharusan seorang wanita menjadi pemimpin negara.

Contohnya seorang wanita boleh menjadi Presiden atau Perdana Menteri dalam konteks sistem demokrasi yang diamalkan pada zaman sekarang.

Di mana dikatakan kuasa Presiden atau Perdana Menteri tidak seperti atau kuasanya tidak menyamai Khalifah yang memiliki kekuasaan mutlak. 

Hanyasanya kuasa Presiden atau Perdana Menteri itu tertakluk kepada keputusan parlimen yakni secara kolektif.

Wallahualam. Hal ini biarlah ahli ilmu yang membicarakannya.

Berbalik kepada hadis di atas yang ada kisah sirah di sebaliknya.

Hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, al-Tirmizi dan al-Nasaie daripada seorang sahabat Nabi yang bernama Abu Bakrah R.A.

Abu Bakrah R.A ini diriwayatkan hampir bergabung atau masuk dalam pasukan yang diketuai oleh Saidatina Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq R.A semasa Perang Jamal hampir meletus.

Namun bilamana Abu Bakrah R.A teringat akan kalimat kata-kata Rasulullah S.A.W, beliau telah mengundurkan diri dan menyatakan sepatah kalimat sabda yang didengar daripada baginda itu telah menyelamatkan dirinya.

Tatkala nak tercetus Perang Jamal yang mana beliau hampir bergabung dengan pasukan Saidatina Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq R.A dalam pertembungan dengan tentera pimpinan Saidina Ali bin Abu Talib R.A.

Apakah kalimat kata-kata atau sabda baginda Nabi S.A.W itu?

Kata Abu Bakrah R.A;

"Apabila Rasulullah mendengar bahawa negeri Parsi telah menobatkan puteri Kisra sebagai ratu mereka, baginda bersabda: "Tidak akan berjaya suatu kaum yang menjadikan seorang perempuan sebagai pemimpin".

Sepatah kalimat sabda Nabi inilah menyebabkan beliau tidak turut serta dalam pasukan tentera yang dipimpin oleh Saidatina Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq R.A itu.

Serba sedikit mengenai kisah Abu Bakrah R.A. Beliau sememangnya merupakan seorang sahabat Nabi yang dipercayai.

Walaupun beliau pernah dihukun sebat pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar Al-Khattab R.A kerana menuduh Mughirah bin Syu'bah berzina tanpa bukti yang cukup.

Namun kes tersebut bukan alasan untuk menolak riwayat beliau. Di mana beliau tetap diakui sebagai seorang perawi yang jujur mengikut pendirian mahupun pandangan seluruh ahli hadis.

Bahkan status ini Imam al-Bukhari telah meletakkannya sebagai sahih dalam Kitab Sahih nya yang mana Imam al-Bukhari hanya memuatkan hadis-hadis sahih sahaja.

Manakala Imam Al-Tirmizi menilai hadis ini sebagai hadis hasan sahih.

Senang cerita, berkenaan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah R.A ini daripada aspek sanad, tiada kecacatan yang dapat melemahkan hadis tersebut.

Semua perawi yang terdapat dalam sanad hadis tersebut termasuk dalam kategori tokoh-tokoh yang dipercayai.

Wallahualam.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments