OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Dalam manuskrip Fawā’id Abī Bakr al-Zubayrī yang belum ditahqīq dan diterbitkan ini, dicatatkan bahawa Abū Bakr al-Zubayrī (332 H) mengatakan, "saya mendengar al-Rabī‘ b. Sulaymān mengatakan:"
كان الشافعي ختم القرآن في رمضان ستين ختمة.
“Al-Shāfi‘ī mengkhatamkan al-Quran dalam bulan Ramadan 60 kali.”
Walaupun sanad ini bermasalah kerana Abū Bakr al-Zubayrī tidak diketahui dianggap thiqah kecuali oleh Maslamah b. al-Qāsim (353 H) yang dituduh berdusta, namun ada riwayat lain yang sahih dan sabit juga daripada al-Rabī‘ b. Sulaymān (270 H), murid besar beliau mengatakan perkara yang sama.
Antaranya ialah riwayat al-Bayhaqī (458 H) dalam Manāqib al-Shāfi‘ī daripada Abū ‘Abd al-Rahmān al-Sulamī, daripada al-Dāraquṭnī, daripada Abū Bakr al-Naysābūrī, daripada al-Rabī‘ b. Sulaymān, katanya:
كان الشافعي يختم في كل شهر ثلاثين ختمة وفي شهر رمضان ستين ختمة سوى ما يقرأ في الصلاة.
“Al-Shāfi‘ī khatam 30 kali setiap bulan dan beliau khatam 60 kali dalam bulan Ramadan selain yang dibacanya dalam solat.”
Sanad ini sangat sahih.
Tetapi, dalam riwayat lain oleh al-Bayhaqī daripada jalan Muḥammad b. al-Mundhir b. Sa‘īd disebutkan wāsiṭah antara al-Rabī‘ dengan Imam al-Shāfi‘ī iaitu Imam al-Ḥumaydī. Lafaznya berbunyi:
كان الشافعي يختم في كل شهر رمضان ستين ختمة، لا يحسب شيئا من ذلك في الصلاة.
“Al-Shāfi‘ī khatam dalam setiap bulan Ramadan 60 kali. Tidak dikira sedikit pun daripada dalam solat.”
Walau bagaimanapun, sanad riwayat ini tidak sekuat riwayat sebelumnya.
Cuma, dua riwayat ini bertentangan dengan riwayat Ibnu Abī Ḥātim dalam Adab al-Shāfi‘ī yang menyebut bahawa “setiap kali (khatam) itu di dalam solat.” (Dan inilah yang rājiḥ sebagaimana yang disimpulkan dalam kajian lengkap).
Dalam riwayat al-Bayhaqī yang lain daripada jalan Abū al-Ḥusayn al-Ḥaddād daripada al-Rabī‘ disebutkan bahawa beliau mengkhatamkan:
ختمة بالنهار، وختمة بالليل.
“Sekali pada waktu siang, dan sekali pada waktu malam.”
Dalam riwayat lain iaitu riwayat al-Bayhaqī daripada jalan al-‘Abbās b. al-Faḍl al-Arsūfī disebutkan dengan terperinci bagaimana al-Rabī‘ mengetahui perkara ini. Al-Rabī‘ kononnya bercerita bahawa:
خرجت مع محمد بن إدريس الشافعي من الفسطاط إلى الإسكندرية مرابطا، وكان يصلي الصلوات الخمس في المسجد الجامع، ثم يسير إلى المَحْرَس فيستقبل البحر بوجهه جالساُ يقرأ القرآن في الليل والنهار حتى أُحصيت عليه ستين ختمة في شهر رمضان.
“Aku keluar bersama Muḥammad b. Idrīs al-Shāfi‘ī daripada Fustat ke Iskandariah murābitan (untuk mengawal sempadan?). Beliau solat lima waktu di masjid jamek. Kemudian, beliau ke maḥras (markaz kawalan?) lalu menghadapkan mukanya ke laut sambil duduk membaca al-Quran pada waktu malam dan siang sehinggalah aku mengiranya khatam sebanyak 60 kali.”
Sayangnya, riwayat ini tidak boleh diterima kerana al-‘Abbās b. al-Faḍl al-Arsūfī dituduh menipu. Matannya juga mengandungi keganjilan.
Kesimpulannya, sebagaimana yang disebutkan tadi, athar ini sabit daripada al-Rabī‘. Sama ada kita percaya atau tidak, riwayat ini sahih dan bukannya direka-reka seperti banyak kisah-kisah yang diceritakan oleh penceramah yang lain.
Selain Imam al-Shāfi‘ī, Imam Abū Ḥanīfah (150 H) juga diriwayatkan berjaya khatam sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan. Ibnu al-Ḥaddād (345 H), salah seorang rawi athar ini daripada al-Rabī‘ seperti dalam salah satu riwayat al-Bayhaqī tadi, juga diriwayatkan cuba melakukan perkara yang sama tetapi gagal. Beliau cuma berjaya khatam sebanyak 59 kali sahaja.
Wallahualam.

Comments
Post a Comment