Tersilap Berbuka Puasa Sebelum Masuk Waktu

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman

# Makan atau minum secara tidak sengaja atau meyakini sudah masuk waktu tetapi ternyata belum

Puasa sah; tidak terbatal. 

Ini berdasarkan dua bentuk dalil. 

Bentuk dalil pertama: 

Dalil-dalil umum yang menjelaskan bahawa sesuatu yang dilakukan secara tidak sengaja dimaafkan oleh Syariat.

1. Firman Allah: 

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَا. 

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami bersalah jika kami lupa atau kami tersilap.” 

[Surah al-Baqarah; 2:286]

Dalam riwayat Muslim, Allah membalas “Aku telah memperkenankannya.” 

2. Sabda Nabi ﷺ: 

إِنَّ اللهَ ‌تَجَاوَزَ ‌لِي ‌عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوَا عَلَيْهِ.

“Sesungguhnya Allah telah mengampunkan buatku untuk umatku apa yang tidak disengajakan, lupa dan dipaksa.” 

[Hadis sahih. Riwayat Baihaqi]

3. Dalam peristiwa Muawiyah bin al-Hakam as-Sulami RA solat berjemaah bersama Rasulullah ﷺ lalu dia berkata kepada seorang jemaah yang bersin “Yarhamukallah (semoga Allah merahmatimu)”, selepas selesai solat Rasulullah ﷺ menegur perbuatannya bercakap dalam solat tetapi tidak pula memerintahkannya supaya mengulangi solatnya. 

Ini kerana Muawiyah tersilap dan tidak tahu (waktu itu) tentang larangan bercakap dalam solat sedangkan maklum bahawa perbuatan sedemikian jika dilakukan secara sengaja dalam keadaan tahu akan membatalkan solat. 

Bentuk dalil kedua: 

Dalil-dalil khusus tentang orang yang berbuka puasa secara tidak sengaja. 

4. Sabda Nabi ﷺ: 

مَنْ ‌نَسِيَ ‌وَهُوَ ‌صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ، فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ، فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللهُ وَسَقَاهُ.

“Barang siapa lupa ketika berpuasa lalu dia makan atau minum maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya kerana sesungguhnya Allah telah memberinya makan dan minum.” 

[Hadis sahih. Riwayat Ahmad]

Kata Imam an-Nawawi RH: 

فِيهِ دَلَالَةٌ لِمَذْهَبِ الْأَكْثَرِينَ أَنَّ ‌الصَّائِمَ ‌إِذَا ‌أَكَلَ ‌أَوْ ‌شَرِبَ ‌أَوْ ‌جَامَعَ ‌نَاسِيًا ‌لَا ‌يُفْطِرُ وَمِمَّنْ قَالَ بِهَذَا الشَّافِعِيُّ وَأَبُو حَنِيفَةَ وَدَاوُدُ وَآخَرُونَ.

“Terdapat dalil buat mazhab majoriti bahawa orang yang berpuasa sekiranya dia makan, minum atau jimak kerana lupa maka puasanya tidak batal. Dan antara mereka yang berkata sedemikian ialah asy-Syafii, Abu Hanifah, Daud (az-Zahiri) dan yang lain.” 

[Syarah Muslim oleh an-Nawawi; 8:35]

5. Sabda Nabi ﷺ: 

مَنْ ‌أَفْطَرَ ‌فِي ‌شَهْرِ رَمَضَانَ نَاسِيًا فلَا قَضَاءَ عَلَيْهِ وَلَا كَفَّارَةَ.

“Barang siapa lupa lalu dia berbuka puasa di bulan Ramadan maka tidak ada qada ataupun kafarah atasnya.” 

[Hadis hasan. Riwayat Ibnu Khuzaimah]

Dalam hal ini Imam asy-Syafii RH berkata: 

وَإِذَا ‌أَكَلَ ‌الصَّائِمُ ‌أَوْ ‌شَرِبَ فِي رَمَضَانَ ... نَاسِيًا، فَصَوْمُهُ تَامٌّ وَلَا قَضَاءَ عَلَيْهِ.

“Sekiranya orang yang berpuasa makan atau minum di bulan Ramadan... kerana lupa maka puasanya sempurna dan tidak ada qada baginya.” 

[al-Umm oleh Imam asy-Syafii; 2:284]

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan panduan. 


[Gerakan PENA Malaysia]


PENJELASAN

Terdapat sebahagian ikhwah yang keliru dan salah faham dengan hantaran artikel semalam bertajuk ‘Tersilap Berbuka Puasa Sebelum Masuk Waktu’.

https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=10222114849372080&id=1588241794

Perlu dijelaskan bahawa topiknya berkenaan orang yang ‘Tersilap berbuka puasa sebelum masuk waktu lalu dia makan atau minum secara tidak sengaja kerana meyakini sudah masuk waktu tetapi ternyata belum’.

Perhatikan tajuk dan subtajuk artikelnya dengan baik.  

Terdapat beberapa kata kunci dalam tajuk serta subtajuk di atas iaitu: 

- Tersilap; 

- Tidak sengaja;

- Meyakini sudah masuk waktu tetapi ternyata belum.

‘Tersilap’ merupakan satu keuzuran syarii, sama seperti ‘lupa’. Kedua-duanya berlaku secara ‘tidak sengaja’. 

Nas-nas yang dikemukakan dalam artikel di atas adalah berkaitan dengan keuzuran bagi orang yang bertindak secara ‘tidak sengaja’ yang merangkumi kedua-dua orang yang ‘lupa’ dan orang yang ‘tersilap’; termasuklah penjelasan daripada Imam asy-Syafii dan Imam an-Nawawi berkenaan orang yang makan atau minum ketika berpuasa kerana ‘lupa’.

Seperti ‘yakin’, ‘sangkaan kuat’ juga mempunyai kedudukan yang sama di sisi syarak dari sudut ia diterima sebagai asas amal dan hukum. Berbeza dengan ‘sangkaan’ semata-mata yang tidak boleh digunakan dalam amal atau hukum. 

Maka jangan keliru antara orang yang tersilap berbuka puasa kerana ‘yakin’ atau mempunyai ‘sangkaan kuat’ dengan orang yang berbuka puasa kerana ‘menyangka’ sudah masuk waktu. 

Jika diperhatikan orang yang ‘yakin’ atau mempunyai ‘sangkaan kuat’ bahawa sudah masuk waktu lalu dia berbuka puasa berdasarkan ‘keyakinan’ atau ‘sangkaan kuatnya’ itu maka jelas orangnya ‘tersilap’ dan ‘tidak sengaja’ manakala asas amalannya berdasarkan ‘keyakinan’ atau ‘sangkaan kuat’ merupakan satu keuzuran syarii. 

Puasa orangnya dihukum sah dan tidak terbatal kerana tindakannya berdasarkan ‘keyakinan’ atau ‘sangkaan kuat’, dan bukan berdasarkan ‘sangkaan’ semata-mata. 

Adapun orang yang berbuka puasa kerana ‘menyangka’ sudah masuk waktu maka pendapat jumhur mewajibkan qada atasnya, berbeza dengan pandangan mazhab Zahiri dan Syeikhul Islam Ibnu Taimiah yang mengatakan tidak perlu qada.

Berkenaan isu yang berlegar mengenai ‘Masjid tersilap laung azan maghrib awal’, isu ini dibahaskan secara berasingan di sini: 

https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=10222114985335479&id=1588241794

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan hidayah.  

[Gerakan PENA Malaysia]


Comments