Ikut Hadis Atau Taklid Mazhab?

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


- Pendapat ulama

- Bila boleh taklid

Muslim wajib berpegang kepada nas Al-Quran dan hadis berbanding mengikat dirinya pada mana-mana mazhab fiqah. 

Ini kerana kedua-dua Al-Quran dan hadis menjadi rujukan utama agama. 

Adapun pendapat ulama dan mazhab, sejauh mana penerimaannya bergantung pada sejauh mana kesesuaiannya dengan nas Al-Quran dan hadis. 

Mana-mana pendapat ulama dan mazhab yang sesuai dengan nas diterima manakala yang bertentangan dengannya ditolak. 

Ini sebagaimana kata Imam Malik: 

لَيْسَ ‌أَحَدٌ ‌بَعْدَ ‌النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا‌‌ يُؤْخَذُ مِنْ قَوْلِهِ وَيُتْرَكُ إِلَّا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Tiada sesiapapun sesudah Nabi ﷺ melainkan kata-katanya boleh diterima dan ditolak melainkan Nabi ﷺ.”

Kerana itu beliau menegaskan: 

"Sesungguhnya aku manusia biasa, boleh jadi kata-kataku benar dan boleh jadi salah. Lihatlah pendapatku dan ambillah mana yang menepati Al-Quran dan hadis manakala yang menyalahinya tinggalkan."

[Ibnu Abdul Bar, Jamie Bayan al-Ilm]


Kata Imam al-Syafie:  

وَأَنَّهُ لَا يَلْزَمُ قَوْلٌ بِكُلِّ حَالٍ إلَّا بِكِتَابِ اللهِ أوْ سُنَّةَ رَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَّ مَا سِوَاهُمَا تَبَعٌ لَهُمَا.

“Dan sesungguhnya tiada kata-kata yang wajib dalam apa jua keadaan melainkan Kitab Allah atau Sunah RasulNya ﷺ dan bahawasanya apa yang selainnya kembali kepada kedua-duanya.”   

Kata beliau: 

"Umat Islam telah sepakat bahawa barang siapa sudah terjelas kepadanya 

Sunah Rasulullah ﷺ maka tidak halal baginya untuk meninggalkannya kerana mengambil pendapat orang lain." 

[Ibnu al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in]


Imam Abu Hanifah pula menjelaskan: 

إِذا صَحَّ الحَدِيث ‌فَهُوَ ‌مَذْهَبِي.

"Sekiranya sesuatu hadis itu sahih maka itulah mazhabku." 


Tegas beliau lagi: 

"Tidak boleh bagi seseorang itu berpegang kepada kata-kataku selagi mana dia tidak tahu daripada mana aku mengambilnya."

[Ibnu Abidin, Rad al-Muhtar] 


Atas dasar ini Imam Ahmad bin Hanbal berkata: 

"Jangan kamu bertaklid kepadaku dan jangan bertaklid kepada Malik, Syafie, al-Awza'i dan al-Thauri. Sebaliknya ambillah dari mana mereka ambil." 

[Ibnu al-Qayyim,  I’lam al-Muwaqqi’in] 




KESIMPULAN

Muslim wajib berpegang kepada Al-Quran dan hadis serta mendahulukannya atas pendapat ulama dan mazhab. Taklid tidak salah malah dibolehkan atas dasar darurat dan terpaksa. Apa yang salah ialah menjadikan taklid sebagai satu tuntutan yang wajib dalam agama. Sedangkan pendapat ulama dan mazhab ialah perantara dan bukan matlamat. Perantara untuk sampai kepada Al-Quran dan hadis. Matlamat setiap Muslim perlulah untuk beramal dengan Al-Quran dan hadis. Justeru tidak boleh berhujah dengan kata-kata ulama dan mazhab kecuali dalam apa yang menepati nas kerana pendapat ulama dan mazhab perlu dinilai ikut dalil, bukan dalil Al-Quran dan hadis dipaksa ikut pendapat ulama atau mazhab. Benar, ulama wajib dihormati tetapi jangan sampai taasub lalu menolak dan mengetepikan nas Al-Quran dan hadis. 

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk hidayah. 

[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments