Kitab Paling Penting Untuk Dibaca

OLEH: Dr Idris Sulaiman


- Kitab yang ‘mahjur’

Tular sebuah gambar karikatur pelukis terkenal tanah air yang memperlihatkan penjawat-penjawat awam dari pelbagai latar belakang masing-masing mengisi masa lapang untuk membaca buku-buku ilmu. 

Apa yang ingin dikatakan di sini ialah tajuk-tajuk yang tertera di muka hadapan buku-buku tersebut. 

Saya merasa sedikit ralat. 

Ini kerana kitab yang paling penting dan bermanfaat serta yang paling dianjurkan buat Muslim untuk banyak membacanya dalam setiap masa dan kesempatan tidak dinyatakan dalam tajuk buku-buku itu. 

Iaitu kitab suci Al-Quran. 

Muslim diperintahkan untuk banyak membaca dan menghayati isi makna ayat-ayat suci Al-Quran kerana ia merupakan kitab panduan kehidupan di dunia serta cahaya bagi memperoleh kejayaan di akhirat. 

Berbeza dengan kitab-kitab lain, Al-Quran merupakan kalam Allah ﷻ, wahyu diturunkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ yang terpelihara daripada kesalahan dan kekurangan. 

Tiada mana-mana kitab lain yang mempunyai kelebihan-kelebihan ini. 

Di samping faedah-faedah ilmu yang sangat banyak dan luar biasa, Al-Quran memberi ketenangan serta menjadi kitab penjana pahala bagi yang membacanya. 

Justeru setiap Muslim perlu berhati-hati jangan sampai mengabaikan Al-Quran dan tidak membacanya kerana terdapat ancaman buat mereka yang berbuat sedemikian. 

Firman Allah ﷻ: 

كِتَٰبٞ فُصِّلَتۡ ءَايَٰتُهُۥ قُرۡءَانًا عَرَبِيّٗا لِّقَوۡمٖ يَعۡلَمُونَ بَشِيرٗا وَنَذِيرٗا فَأَعۡرَضَ أَكۡثَرُهُمۡ فَهُمۡ لَا يَسۡمَعُونَ. 

“Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.  Ia membawa berita yang menggembirakan serta membawa amaran; dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar dan tidak mahu mendengarnya.”

[Al-Quran, Fussilat, 41: 3-4]

Firman Allah ﷻ: 

وَقَدۡ ءَاتَيۡنَٰكَ مِن لَّدُنَّا ذِكۡرٗا مَّنۡ أَعۡرَضَ عَنۡهُ فَإِنَّهُۥ يَحۡمِلُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وِزۡرًا خَٰلِدِينَ فِيهِۖ وَسَآءَ لَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ حِمۡلٗا.  

“Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu dari sisi Kami (sebuah Kitab Al-Quran yang menjadi) peringatan. Sesiapa yang berpaling ingkar daripada peringatan Al-Quran itu maka sesungguhnya dia pada Hari Kiamat menanggung beban (dosa) yang berat. Mereka kekal dalam (azab) dosa itu; dan amatlah buruknya tanggungan itu bagi mereka pada Hari Kiamat.” 

[Al-Quran, Taha, 20: 99-101] 

Ternyata benar-benar ada manusia yang berpaling daripada Al-Quran untuk mengambil selainnya, dan hal ini berlaku semenjak zaman Nabi ﷺ dan akan berterusan sampai ke Hari Kiamat.

Firman Allah ﷻ: 

وَقَالَ ٱلرَّسُولُ يَٰرَبِّ إِنَّ قَوۡمِي ٱتَّخَذُواْ هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ مَهۡجُورٗا.

“Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini sesuatu yang ditinggalkan, tidak dipakai."

[Al-Quran, al-Furqan, 25: 30] 

Ayat di atas menjadi peringatan buat Muslim supaya jangan sampai menjadikan Al-Quran sebagai sesuatu yang ‘mahjur’ - diabaikan dan ditinggalkan dek memilih kitab-kitab lain sebagai panduan.

Yakinlah bahawa barang siapa berbuat begitu maka dia akan sesat. 

Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ: 

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ.

“Aku tinggalkan buat kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya; Al-Quran dan Sunah NabiNya.” 

[Hasan. Riwayat Imam Malik]

CATATAN

Dalam kesibukan seharian, sedaya upaya luangkanlah masa untuk membaca Al-Quran. Jangan sampai nanti terlambat dan menyesal. 

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk. 


[Gerakan PENA Malaysia]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments