OLEH: Dr Idris Sulaiman
Sering apabila menegur kesalahan sebahagian orang lebih mudah menggunakan cara yang kasar berbanding cara yang lemah lembut.
Lalu terdengarlah ayat-ayat seperti:
“Eh, takkan ini pun tak tahu??”
“Hoi bodoh!”
“Takkan ini pun kena ajar!?”
“Aduhai, berapa kali aku nak cakap??”
Ini berlaku kerana cara yang kasar lebih mudah digunakan berbanding cara lemah lembut yang kebiasaannya memerlukan kesabaran serta masa yang lebih panjang untuk disampaikan apabila terpaksa menggunakan ayat-ayat yang berbunga.
Sedangkan maklum bahawa teguran dengan cara lemah lembut jauh lebih berkesan berbanding cara kasar.
Dari satu sudut, kesalahan ini berlaku antaranya kerana kejahilan tentang asas dalam uslub dakwah yang tidak membezakan antara jihad dakwah dan jihad perang.
Asas uslub dalam jihad dakwah ialah lemah lembut dan bersopan santun manakala asas uslub dalam jihad perang ialah kekerasan dan kekasaran.
Dalam jihad dakwah Allah ﷻ berfirman:
ٱذۡهَبَآ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ. فَقُولَا لَهُۥ قَوۡلٗا لَّيِّنٗا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوۡ يَخۡشَىٰ.
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut semoga dia beringat atau takut.”
[Al-Quran, Taha, 20:43-44]
Dalam jihad perang pula Allah ﷻ berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ جَٰهِدِ ٱلۡكُفَّارَ وَٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱغۡلُظۡ عَلَيۡهِمۡۚ وَمَأۡوَىٰهُمۡ جَهَنَّمُۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ.
“Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keraslah terhadap mereka, dan (sebenarnya) tempat mereka ialah Neraka Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”
[Al-Quran, al-Taubah, 9:73]
Ternyata Allah ﷻ membezakan antara uslub jihad dakwah dan jihad perang di mana yang pertama perlu secara lemah lembut manakala yang kedua dengan cara yang keras.
Justeru orang yang tidak membezakan antara kedua-dua uslub kesudahannya akan memberi gambaran yang tidak baik terhadap dakwah khususnya jika dia menggunakan kekasaran, kata-kata kesat serta tidak berhemah dalam penyampaian dakwahnya.
Sedangkan Firaun yang bersikap begitu kufur dan melampau pun Allah ﷻ perintahkan rasulNya supaya berlemah-lembut dengannya maka orang-orang lain lebih patut untuk dilayan dengan cara yang sedemikian lebih-lebih lagi dengan sesama saudara seagama.
Comments
Post a Comment