Dr Idris Sulaiman: Mutiara Ramadhan

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


BULAN RAMADAN

‌مَنْ ‌صَامَ ‌رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ‌وَمَنْ ‌قَامَ ‌رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.

“Barang siapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu, dan barang siapa mendirikan solat malam di bulan Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”

[Sahih. Hadis Bukhari dan Muslim]

Beriman dengan Allah ﷻ dan beriman dengan janji-janjiNya buat mereka yang berpuasa dan mendirikan solat malam di bulan Ramadan dengan mengharapkan ganjaran pahalanya kerana ikhlas beribadah kepadaNya.

Selamat menyambut kedatangan bulan Ramadan yang penuh berkat.

Moga-moga di bulan mulia ini dapat terus mendekatkan diri kepada Allah ﷻ dan tergolong dalam kalangan hambaNya yang bertakwa.


RAMADAN BULAN MENGIMARAHKAN MASJID

Muslim dianjurkan menghidupkan malam-malam Ramadan dengan mengerjakan solat Tarawih berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

مَنْ ‌قَامَ ‌رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.

"Barang siapa yang menunaikan solat (Tarawih) pada bulan Ramadan kerana beriman dan mengharapkan pahala akan diampunkan dosanya yang lalu".

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Solat Tarawih afdalnya dilaksanakan di masjid / surau secara berjemaah berbanding di rumah berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ ‌كُتِبَ ‌لَهُ ‌قِيَامُ لَيْلَةٍ.

"Sekiranya seseorang itu solat bersama imam sehingga imam selesai akan dikira untuknya solat sepanjang malam."

[Sahih. Riwayat Abu Daud]

Orang yang solat Tarawih berjemaah di masjid / surau mendapat pahala seperti jika dia solat sunat sepanjang malam.

Pahala yang cukup besar berbanding mereka yang solat di rumah atau mereka yang hanya solat sebahagian rakaat sahaja bersama imam lalu beredar sebelum imam selesai.

CATATAN

Sama ada imam solat 11 atau 23 rakaat tetap dianjurkan solat bersamanya sampai selesai bagi meraih pahala solat sepanjang malam sebagaimana dalam hadis.



PUASA SEBENAR

Puasa bukan sekadar dengan meninggalkan makan dan minum.

Tetapi puasa ialah dengan turut meninggalkan mengumpat, adu domba, mencela, memaki hamun, perkataan dan tulisan jelik, mendengar muzik, melihat benda-benda haram di samping hal-hal tiada faedah dan perkara-perkara haram lain.

Sebagaimana sabda Nabi ﷺ:

لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الْأَكْلِ وَالشُّرْبِ، إِنَّمَا الصِّيَامُ ‌مِنَ ‌اللَّغْوِ ‌وَالرَّفَثِ، فَإِنْ سَابَّكَ أَحَدٌ أَوْ جَهِلَ عَلَيْكَ فَلْتَقُلْ: إِنِّي صَائِمٌ.

“Tidaklah puasa itu (dengan sekadar) meninggalkan makan dan minum tetapi puasa itu ialah dengan meninggalkan perkara-perkara tidak berfaedah serta amalan-amalan keji. Sekiranya kamu dicemuh maka katakanlah: Sesungguhnya aku berpuasa.”

[Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah]

Justeru mereka yang tidak menjaga diri mereka daripada perkara-perkara haram sewaktu berpuasa dikhuatiri hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata; tiada pahala malah barangkali turut mendapat dosa.



PUASA SEBELUM ISLAM

Manusia sudah lama berpuasa sebelum kedatangan Islam.

Ini sebagaimana firman Allah ﷻ:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia telah diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu.”

[Al-Quran, al-Baqarah, 2:83]

Dan juga sabda Nabi ﷺ:

أَفْضَلَ الصِّيَامِ عِنْدَ اللهِ، صَوْمَ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلَام ‌كَانَ ‌يَصُومُ ‌يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا.

“Sebaik-baik puasa di sisi Allah ialah puasa (Nabi) Daud; beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Yakni berpuasa selang sehari.

Hanya sahaja terdapat perbezaan-perbezaan antara puasa kaum Muslimin dengan puasa kaum Ahli Kitab antaranya adalah dalam soal makan sahur dan berbuka di mana syariat Islam menganjurkan supaya sahur dilewatkan manakala berbuka disegerakan sedangkan Ahli Kitab pula tidak makan sahur dan mereka melewatkan waktu berbuka puasa.

Syukur atas nikmat Islam dan al-Sunah.


[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments